Social Icons

Thursday, November 07, 2013

Cerpen | Second Hero



            


            Nur Hakimah memainkan lagu ‘We Are Never Ever Getting Back Together’ nyanyian Taylor Swift dengan kuat. Tidak cukup dengan itu, dia turut menyumbangkan suaranya yang sedikit lagi akan masuk kategori sumbang itu dengan bersungguh-sungguh menyanyikan lagu tersebut sambil turut mengangguk-anggukkan kepala mengikut rentak lagu. Hayfa Zafirah, teman sebiliknya yang baru keluar dari bilik air menggelengkan kepala. Mereka berdua menyewa bilik utama yang turut dilengkapi dengan bilik air manakala dua buah bilik yang lain dihuni oleh penyewa lain. Dia sudah lali dengan hobi Nur Hakimah yang satu ini. Kadang-kala dia juga turut menyanyi bersama-sama Nur Hakimah, membuat pencemaran bunyi di kawasan taman perumahan itu. Cuma, apabila Nur Hakimah menyanyikan lagu ibarat orang baru putus cinta dia tidak akan turut serta. Dia sebenarnya tidak mahu emosi Nur Hakimah terbawa-bawa seperti dahulu.

            “Sudah-sudahlah tu Kim. Memang korang takkan kembali bersama pun. Usah dikenang barang yang lepas, kalau dikenang merajuklah hati. Eh, betul ke dialog aku ni. Nak ciplak tapi tak ingat pulak. Hehe.”

            Hayfa Zafirah bersuara apabila lagu sudah di penghujung. Nur Hakimah menarik muka masam. Dia sungguh tidak berkenan apabila dia sedang melayan lagu kategori sebegini, Hayfa Zafirah pasti akan mengeluarkan ayat yang sama. Sememangnya dia suka mendengar lagu dan menyanyi tetapi tidak bermaksud apabila lagu kategori sebegini dia akan kembali teringatkan kisah lama. Walaupun kadang-kala dia turut melayan hati dan perasaan apabila lagu kategori sebegini dimainkan.

            “Kau ni kan kalau tak sakitkan hati aku dalam sehari tu gamaknya kau boleh sakit kronik kot. Aku menyanyi je lagu ni, bukan aku teringat kisah silam duka paling dalam pun. Untuk pengetahuan kau wahai Cik Hayfa Zafirah, seratus lima puluh juta kali kalau dia nak minta kitorang berbaik sekalipun aku tak kan terima la. Aku waras lagi.”


            Nur Hakimah menjawab dengan muka sedikit masam. Dia tahu sahabat baiknya itu mahukan yang terbaik untuk dirinya malahan dia sangat bersyukur yang sahabatnya itu sentiasa bersamanya semasa menghadapi saat dia kecundang dahulu walaupun dari jarak jauh. Skype sentiasa menjadi penghubung mereka.

            “Hehe. Sorry dear. Aku bukan nak sakitkan hati kau. Aku just tak nak kau sedih macam dulu. Kau tahu yang aku sayangkan kau kan.”

            Hayfa Zafirah menghampiri Nur Hakimah dan memeluk lembut rakannya itu. Dia sedar kadangkala caranya sedikit mengecilkan hati Nur Hakimah tetapi dia betul-betul tidak sanggup untuk melihat Nur Hakimah bersedih lagi. Nur Hakimah membalas pelukan Hayfa Zafirah. Dia bersyukur kerana dikurniakan sahabat yang begitu mengambil berat tentang dirinya.

            It’s okay dear. I know that you want the best for me and I want the best for you too.”

            Nur Hakimah berkata sambil melemparkan senyuman. Mereka meleraikan pelukan dan duduk bertentangan.

            Babe, esok jangan lupa teman aku pergi beli barang-barang hantaran.”

            Hayfa Zafirah kembali bersuara mengingatkan rakannya yang sedikit pelupa itu.

            “Oh ye la. Lupa pula aku. Nasib baik kau ingatkan. Alah kita duduk sebilik pun, pagi esok kau kejutkan aku bangun Subuh lepas tu kita terus pergi la.”

            “Amboi, kau! Tak beragak. Shopping mall pun belum buka lagi lepas subuh. Kau nak tolong diorang buka kedai ke?”

            “Haha. Takde la. Tak kuasa aku nak tolong buka kedai. Dah kau tu gaya macam tak sabar sangat. Tau lah dah nak kahwin kan. Tinggal la kita sorang-sorang. Kita kena la cari roommate baru kalau tak nanti tak mampu kita nak bayar sewa bilik ni.”

            Nur Hakimah sengaja membuat suara seperti dia berjauh hati di hujung ayatnya.

            “Haha. Dah kita ajak dia kahwin serentak dengan kita dia tak nak. Kalau tak mesti sekarang dia pun tengah sakan buat persiapan kahwin. Kalah kita agaknya. Dia tak payah cari roommate baru, cari soulmate baru je.”

            “Haha. Dah lah weyh. Geli pula aku guna kita dia ni. Ok kawan, esok aku teman kau. Aku bagi khidmat nasihat baik punye!”

            “Kim, kau nak berkenalan tak dengan sorang mamat ni tak? Dia baik weyh. Kalau aku ada kakak, memang aku dah kenenkan dah dengan kakak aku. Apakan daya, aku ada adik perempuan tapi baru tujuh belas tahun. Tak kan nak suruh dia kahwin dengan mamat tu.”

            “Mamat mana pula ni? Kau ni kan, tak habis-habis nak kenenkan aku dengan kawan-kawan kau. Dah lah kebanyakan kawan-kawan kau tu kawan-kawan aku juga. Apa barang weyh. Lagipun aku malas la. Ok, lebih tepat aku dah serik. Nak-nak kalau sebaya. Biarlah mak aku je yang uruskan soal jodoh ni.”

            “Kim, chill Kim. Chill. Amboi, macam perli aku pula. Tahulah aku dengan Talhah tu sebaya. Tapi Kim, kali ni aku guarantee kau suka punye. Dia sepupu Talhah. Tua tiga tahun dari kita. Ha, age requirement tu dah satisfy dah kan?”

            “Malas aku layan kau. Tak habis-habis. Baik aku pergi tengok drama Korea.”

            Nur Hakimah terus bangun dan keluar bilik untuk menuju ke ruang tamu bagi menonton televisyen. Persoalan dari Hayfa Zafirah dibiarkan sahaja.

***********

            Mereka berdua tiba di pusat membeli-belah yang dijanjikan sedikit awal dari waktunya. Dari jauh, kelihatan kelibat Talhah Akhtar, tunangan Hayfa Zafirah datang menghampiri mereka bersama seorang lelaki di sebelahnya. Sememangnya jika Hayfa Zafirah keluar bersama tunangannya, Nur Hakimah akan menemaninya tetapi tiba-tiba pada hari ini ada orang lain pula turut serta.

            “Assalaamu`alaikum, Hayfa, Kim. Sorry lambat sikit.”

            Talhah Akhtar memberi salam serta turut meminta maaf kerana sedikit lambat.

            “Wa`alaikumussalam.”

            Nur Hakimah dan Hayfa Zafirah menjawab salam hampir serentak.

            “Eh, takde la lambat mana, baru juga sampai ni. Ini ke sepupu yang awak cakap tu?”

            Hayfa Zafirah berkata sambil memandang lelaki yang berdiri sebelah Talhah Akhtar. Nur Hakimah pula sudah berasa tidak selesa dengan pandangan mata lelaki yang dikatakan sepupu Talhah Akhtar itu.

            Yup. Inilah sepupu yang saya cakap tu. Kenalkan, Muhammad Nasrun. Nasrun, ini tunang aku, Hayfa Zafirah, boleh panggil Hayfa. Sebelah Hayfa ni pulak best friend dia dan sekarang secara tak rasmi dikira best friend aku jugalah, Nur Hakimah. Panggil Kim.”

            Nur Hakimah dan Hayfa Zafirah memandang Muhammad Nasrun dan menundukkan sedikit kepala tanda hormat. Muhammad Nasrun juga melakukan perkara yang sama.

            Sorry, girls. Tadi kereta saya buat hal pula, kena hantar masuk bengkel, tu yang Talhah kena datang ambil saya. Kesian you all kena datang sendiri.”

            Muhammad Nasrun turut melahirkan rasa bersalah kepada kedua-dua gadis di hadapannya. Nur Hakimah hanya mampu tersenyum segaris kerana sedari tadi dia sudah tidak selesa dengan pandangan dari Muhammad Nasrun. Melihat Nur Hakimah yang seperti tidak akan memberi respons, Hayfa Zafirah akhirnya terpaksa bersuara.

            “Eh, takpe. Tak kisah pun. Lagipun rumah sewa we all tak jauh dari sini. Naik public transport je. Bukan susah. Kalau you all nak patah balik jemput we all tadi lagilah susah. Chill ok.”

            “Ok semua. Kalau nak cakap sorry je dari tadi sampai esok pun tak habis. Ada aje benda yang nak di sorrykan nanti. Shall we?

            Talhah Akhtar bersuara dan mereka yang lain hanya tersenyum lalu mula bergerak untuk mencari barangan hantaran bagi kedua-dua belah pihak. Hayfa Zafirah berjalan beriringan dengan Talhah Akhtar dan kebiasaanya Nur Hakimah akan berjalan sebelah Hayfa Zafirah tetapi pada hari ini Muhammad Nasrun berjalan bersebelahan dengan Nur Hakimah. Nur Hakimah kurang selesa dengan keadaan begini. Memanglah mereka bukan berjalan rapat-rapat mahupun  bergandingan tangan, tetapi perkara yang membuatkan Nur Hakimah bertambah tidak selesa adalah kerana renungan mata dari Muhammad Nasrun sejak tadi. Nur Hakimah akui, Muhammad Nasrun boleh dikategorikan sebagai segak dan sedap mata memandang, namun, hanya itu sahaja.Tidak lebih. Dia sudah serik dengan pengalaman dahulu.

            “Nur, kenapa awak diam je? Tak suka saya jalan sebelah awak ke?”

            Muhammad Nasrun memulakan bicara dan menoleh ke arah Nur Hakimah setelah mereka menapak beberapa langkah. Nur Hakimah memandang ke arah lain dan membuat muka.
            Sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula. Aku jawab ye karang mau kau terus balik sekarang juga.Tak kesah la kau sepupu dengan Talhah ke tak. Ni yang sesedap rasa je panggil aku Nur ape kes pula ni?

            Nur Hakimah mengomel di dalam hati. Hakikatnya dia tidak sanggup pula ingin menzahirkan kata-kata tersebut. Akhirnya dengan berat hati dia bersuara juga.

            “Hmm. Bukan tak suka, bukan juga suka tapi kurang selesa je. And please, call me Kim.”

            “Oh yeke. Sorry lah kalau Nur tak selesa and sorry for calling you Nur. But I will still use it. Nur suits you better than Kim. Saya pun sebenarnya datang sekali ni pun sebab kena paksa dengan Talhah. Sejak minggu lepas lagi bersungguh-sungguh dia ajak datang sekali.”

            Muhammad Nasrun kembali bersuara. Sememangnya dia gembira dapat bertemu dengan Nur Hakimah tetapi apakan daya tuan punya badan pula yang kurang selesa dengan kehadirannya.

            Cit! Ni mesti Hayfa dengan Talhah punya kerja ni. Nak kenenkan aku dengan sepupu Talhah sampai kes paksa-paksa ni ape ke hal? Pastu si sepupu ni still nak panggil aku Nur. Mana dapat mandat, bro? Haish!

            “Oh, really? Kesian you kena paksa. Kalau I ni lainlah. Memang akan jadi ‘orang ketiga’ bila dorang keluar.”

            Nur Hakimah masih cuba berhemah.

            It’s ok. I don’t mind at all. Lagipun Talhah tu sepupu saya yang paling rapat walaupun beza umur kami tiga tahun. Mula-mula tadi memang rasa macam terpaksa tapi sekarang saya tersangatlah rela.”

            Ujar Muhammad Nasrun sambil mempamerkan senyuman lebar. Nur Hakimah hanya mampu tersenyum segaris. Dia tidak berniat untuk melanjutkan perbualan yang sememangnya sejak dari mula dia tidak rela. Muhammad Nasrun menyambung bicara.

            “Awak lebih cantik bila bertudung.”

            I’m sorry, come again?

            “Awak tepi sikit, jangan lindung.”

“Ha?!”

“Tu cuba awak tengok depan tu, ada drama sebabak.”

            Muhammad Nasrun menudingkan jari ke arah seorang wanita yang berdiri di antara dua orang lelaki tidak jauh dari mereka. Lelaki yang berdiri di sebelah kanan wanita tersebut menarik wanita itu mendekatinya dan kelihatan seperti memberi amaran kepada lelaki yang berada di sebelah kiri wanita tersebut. Lelaki yang berada di sebelah kiri wanita itu pula seperti merayu kepada wanita itu tetapi lelaki yang sedang memegang tangan wanita itu membawanya terus pergi dari situ.

            “Hmm. Second hero. Kesian. Memang macam tu lah nasib jadi second hero.”

            Nur Hakimah memberi komen ringkas mengenai drama sebabak yang secara tidak sengaja menjadi tontonan mereka. Dia meneruskan perjalanan. Kelibat Hayfa Zafirah dan Talhah Akhtar sudah jauh di depan mereka. Ini semua gara-gara mereka berhenti melihat drama sebabak sebentar tadi. Muhammad Nasrun yang tidak faham dengan komen Nur Hakimah meringankan mulut untuk bertanya.

            Second hero? Maksud awak?”

            Second hero tu maksudnya hero kedua lah. You tak perasan ke kalau dalam dalam cerita mesti ada watak kedua lelaki yang akan suka watak utama perempuan. Biasanya watak kedua tu yang mula dulu suka watak utama perempuan, tolong watak utama perempuan, beri kata-kata semangat tapi watak utama perempuan akan tak nampak ataupun still memilih watak utama lelaki walaupun watak utama lelaki dalam kebanyakan cerita pada awalnya mesti tak suka atau menyeksa watak utama perempuan. You faham tak apa yang I sampaikan ni?”

            “Ayat awak panjang sangat tapi saya fahamlah. Maksudnya kesian lah jadi second hero ni?”

            Well, pada pandangan I memang kesian sangatlah jadi second hero ni. Alih-alih buat ending second hero pergi sambung belajar dekat oversea ataupun mati menyelamatkan watak utama perempuan tu. Yang lagi kesiannya penonton macam I ni, yang fall for second hero because of his honesty, sincerity and loyalty tapi ending untuk second hero macam hampeh. Kalau I kat tempat watak utama perempuan tu, I akan pilih second hero tu tahu. Eh, kejap, tahniah ye Encik Nasrun kerana telah berjaya mengalih perhatian I tapi I rasa you cakap pasal lain tadi, bukan suruh I ke tepi.”

            “Eh eh, mana ada. Memang saya suruh awak ke tepi semata-mata nak tengok drama sebabak free tadi. Jomlah jalan laju sikit, nanti tak dapat kejar Talhah dengan Hayfa.”

            Muhammad Nasrun terus melangkah lebih laju dan Nur Hakimah terpaksa turut sama melajukan langkahnya.

***********

            Peristiwa Nur Hakimah menemani Hayfa Zafirah membeli barangan hantaran sudah sebulan berlalu. Dalam sebulan ini juga tidak habis-habis Hayfa Zafirah menyatakan bahawa Muhammad Nasrun sangat sepadan dengannya. Jika sehari mulut Hayfa Zafirah itu tidak memuji kebaikan Muhammad Nasrun di hadapannya memang tidah sah. Kadang-kala dia merasakan bahawa Hayfa Zafirah lebih banyak memuji Muhammad Nasrun berbanding memuji tunangannya sendiri.  Nur Hakimah hanya mampu memekakkan telinga kerana dia tahu jika dilayan kerenah Hayfa Zafirah ini, maka dia akan lebih menjadi-jadi. Apa yang paling Nur Hakimah tidak tahan adalah Hayfa Zafirah mengajak mereka melangsungkan perkahwinan serentak. Menurut Hayfa Zafirah dia mahu berbiras dengan Nur Hakimah walaupun sepupu. Memang kerja gila! Sudahlah perkahwinan Hayfa Zafirah hanya tinggal lagi sebulan, masakan sempat untuk dia menyiapkan persiapan perkahwinan dalam masa yang singkat.

            Eh, Kim, gaya kau macam la kau nak kahwin dengan Nasrun, setuju nak ‘berbiras sepupu’ dengan Hayfa. Nasrun tu nak ke dekat kau? Gila!

            “Apa yang gila Kim?”

            Hayfa Zafirah bertanya kepada Nur Hakimah. Mereka sedang mononton drama Korea di komputer riba Nur Hakimah apabila tidak semena-mena Nur Hakimah bersuara sebentar tadi.

            “Hah! Apa yang gila? Mana ada orang gila.”

            “Dah tu yang kau tiba-tiba cakap gila orang tengah khusyuk tengok drama ni kenapa?”

            Oh, man! Perkataan gila tadi terkeluar ke? Aku rasa aku cakap dalam hati je. Mulut, kenapa kau khianati hati ini? Kita bermonolog dalaman je sudahlah, jangan bermonolog luaran. Cepat Kim, ayat cover!

            “Oh aku cakap pasal drama ni lah. Gila lah second hero ni, dah kena macam tu pun setia lagi. Respect gila!”

            Nur Hakimah kembali membuka mulut untuk menyambung bicaranya tetapi cepat-cepat dipotong oleh Hayfa Zafirah.

            Okay, stop! Kalau kau nak sambung pasal prinsip second hero kau tu lupakan je niat murni tu. Dah seratus lima puluh juta kali aku dengar. Tak larat dah. Kau dah jumpa second hero kau belum?”

            Second hero aku? No comment. Aku dah serik. Malas nak fikir dan cakap pasal ni. Dah, sambung tengok drama ni lagi bagus!”

***********

            Hari yang dinanti-nantikan oleh Hayfa Zafirah dan Talhah Akhtar akhirnya tiba. Mereka telah selamat diijabkabulkan di masjid pada sebelah pagi. Nur Hakimah gembira tatkala melihat kawan baiknya yang kini sudah bergelar isteri orang kelihatan bahagia sekali. Dia berdoa agar kebahagiaan kawan baiknya ini akan berkekalan sampai syurga nan abadi. Kebahagiaan dia sendiri, dia tidak pasti. Dia tahu yang dia harus berusaha untuk mengecap bahagia, namun kakinya seperti terpaku untuk mengorak langkah meninggalkan episod duka. Nur Hakimah tersenyum nipis. Dia baru tersedar yang dia kini di atas pelamin kawan baiknya sendiri sedang mengipas pengantin yang sedang bersanding. Agak jauh dia mengelamun sebentar tadi.

            Kedua-dua mempelai bangun untuk ke meja makan pula. Nur Hakimah hanya mengikut Hayfa Zafirah dari belakang dan berhenti selepas dia menuruni tangga terakhir pelamin. Kedua-dua mempelai seterusnya diiringi oleh ibu bapa masing-masing ke meja makan. Nur Hakimah tidak mahu turut serta. Tempat pengapit di meja makan sudah dia pesan kepada adik Hayfa Zafirah untuk menggantinya. Dia akan mengambil kesempatan ini untuk merakamkan seberapa banyak foto yang mampu.

            “Awak bila pula nak naik pelamin?”

            Nur Hakimah sedikit terkejut apabila satu suara tiba-tiba kedengaran di sebelahnya. Suara tersebut tidak lain dan tidak bukan milik pengapit pengantin lelaki, Muhammad Nasrun. Nur Hakimah hanya tersenyum dan membalas.

            Literally, I baru je turun pelamin. Sepatutnya you tanya sebelum I naik pelamin tadi. Boleh juga I jawab, I nak naik pelamin la ni kejap lagi.”

            Muhammad Nasrun ketawa kecil dengan jawapan yang diberikan oleh Nur Hakimah.

            “Nur, saya tanya betul-betul ni awak jawab macam tu pula.”

            “Pelamin angan I musnah,”     Jawab Nur Hakimah pendek. Muhammad Nasrun kembali bermuka serius.

            “Tapi, pelamin angan saya tak musnah... Yet.”

            So?”

            Muhammad Nasrun tersenyum.

             So, sudikah awak tidak memusnahkan pelamin angan saya dan menjadikan angan serta impian saya itu satu kenyataaan?”

            Wait a second, mister! Are you proposing me? At my best friend’s wedding, depan pelamin pula tu? How ‘sweet’! Are you kidding me?

            Nur Hakimah bersuara dan perkataan ‘sweet’ itu dia sebut dengan matanya memandang ke atas.

            Well, I’m not sure about the ‘sweetness’ but I’m sure that I’m not kidding you.  I’m proposing you, Nur Hakimah! Oleh sebab saya sangatlah baik hati dan penyabar, saya akan bagi awak masa untuk awak buat istikharah dan fikir masak-masak. But please, don’t take too much time okay my dear.

            Muhammad Nasrun kemudiannya terus berlalu menghampiri meja makan pengantin. Tidak ada orang menggantikan tempatnya seperti Nur Hakimah yang sudah ada ‘pengapit gantian’ di meja makan. Nur Hakimah sedikit terkejut dengan apa yang berlaku. Dia tidak menyangka akan menerima lamaran di majlis perkahwinan kawan baiknya sendiri. Lidah Nur Hakimah kelu.

***********

Nur Hakimah pelik memandang kereta yang berhenti di hadapan rumah sewanya. Seingatnya tiada pula Hayfa Zafirah memberitahunya bahawa Talhah Akhtar ada menukar kereta. Tiba-tiba telefon bimbit yang berada di tangan kanannya berbunyi. Panggilan dari Hayfa Zafirah. Dia terus menjawab panggilan tersebut.

            “Assalaamu`alaikum, Hayfa. Mana kau? Kereta siapa berhenti depan rumah sewa aku ni?”

            “Wa`alaikumussalam, Kim. Kim, sorry sangat-sangat weyh. Mak mertua aku tak sihat, aku dengan Talhah on the way balik kampung ni. Kitorang pun baru je tahu. Memang dah nak gerak pergi rumah kau dah tadi. Sorry, dear. Tak dapat temankan. Kitorang dah minta tolong Nasrun teman kau pergi wedding Ayie tu. Kereta dialah tu. Sorry sangat-sangat weyh.”

            “Oh, it’s okay. Dah mak mertua kau sakit, nak buat macam mana kan. Patutnya kau cakap je dari tadi. Aku boleh pergi sendiri, tak payah lah sampai nak minta tolong Nasrun.”

            “Sebab aku tahu kalau aku beritahu awal-awal kau mesti nak pergi sendiri la aku tak beritahu awal-awal. Bukan aku tak percayakan kau, tapi aku risaukan kau je babe. Aku cakap tak payah pergi kau nak pergi juga. Memang la Ayie ada jemput kau tapi tak semestinya kau kena pergi.”

            “Oh, chill Puan Hayfa! Itu tak betul. Selagi kita tak ada aral melintang, kalau kita dapat undangan perkahwinan kita dikira kena pergi tahu. Relax, babe, aku ok. Jangan risau. Kau balik kampung jaga mak Talhah elok-elok. Pandai-pandailah aku bawa diri. Nanti apa-apa hal aku inform. Assalaamu`alaikum.”

            Fine! Take care tau. Wa`alaikumussalam.”

            Nur Hakimah berjalan menuju ke kereta yang berada di hadapan rumah sewanya. Cermin kereta yang gelap menyebabkan dia tidak dapat melihat makhluk yang berada di dalam kereta tersebut. Nur Hakimah memberanikan diri membuka pintu kereta dan dia dapat melihat Muhammad Nasrun tersenyum di tempat pemandu. Dia memberi salam seraya duduk dan menutup pintu. Muhammad Nasrun menjawab salamnya dan melihat kad jemputan perkahwinan yang baru dihulurkan oleh Nur Hakimah. Setelah melihat peta di kad tersebut sekali imbas, Muhammad Nasrun terus memulakan perjalanan. Suasana di dalam kereta itu agak sunyi melainkan bunyi radio yang dibiarkan perlahan. Muhammad Nasrun memulakan perbualan dengan bertanyakan soalan pendek.

            “Nur, awak ok?”

            “Selain daripada tiba-tiba I kena pergi wedding ni dengan you, I okay je. No offense. But sorry kalau menyusahkan you. I boleh je pergi sendiri walaupun Hayfa tak dapat temankan. Tapi si Hayfa tu nak juga you temankan. Mesti you kena paksa macam kena paksa temankan Talhah beli barangan hantaran dulu kan?”

            No, Nur. Please, jangan cakap macam tu. Saya minta maaf kalau awak rasa kurang selesa. Saya memang rela temankan awak hari ni. Kalau saya perlu teman awak sepanjang hayat saya pun saya sanggup.”

            Nur Hakimah terdiam mendengar jawapan dari Muhammad Nasrun. Dia kembali memandang ke luar kereta. Muhammad Nasrun pula kembali fokus kepada pemanduan. Jauh di sudut hati dia berharap agar lamarannya sebulan lepas mendapat respons positif namun sehingga ke hari ini dia masih belum menerima sebarang jawapan malahan hari ini merupakan pertama kali mereka bersua sejak majlis perkahwinan Hayfa Zafirah dan Talhah Akhtar yang lalu.
            “Nur, awak ok?”

            Sekali lagi Muhammad Nasrun bertanya kepada Nur Hakimah.

            Yup, I’m okay. You don’t have to ask me the same question twice. Chill okay.”

            “Saya maksudkan awak ok ke nak pergi wedding ex-boyfriend awak ni?”

            Nur Hakimah yang terkejut dengan pertanyaan Muhammad Nasrun memandangnya yang sedang memandu. Nur Hakimah kembali memandang ke hadapan. Nur Hakimah membiarkan soalan itu tanpa memberikan jawapan.

            Ya Allah, Puan Hayfa Zafirah! Seratus lima puluh juta kali kau minta tolong dia teman aku pun kau tak payah laa cerita kat dia yang aku nak pergi wedding ex-boyfriend aku. Cakap kawan je sudah. Sungguh la kau Hayfa! Mana aku nak letak muka ni. Malu tahu tak? Itu semua zaman jahiliah aku.

***********
           
Sesudah Muhammad Nasrun memarkirkan kereta, mereka berdua keluar berjalan menuju ke rumah pengantin. Sebenarnya ini adalah kenduri sebelah pengantin perempuan. Oleh kerana rumah pengantin perempuan lebih dekat dan demi mengelak kawan-kawan zaman universitinya yang akan datang semasa kenduri di sebelah pengantin lelaki, Nur Hakimah memilih untuk datang ke kenduri di sebelah perempuan memandangkan di dalam kad jemputan ada menjemput ke kedua-dua belah kenduri. Nur Hakimah berjalan dua langkah di hadapan Muhammad Nasrun. Dia meletakkan hadiah yang dibawa bersamanya tadi di meja khas yang disediakan untuk meletak hadiah.
           
Dia memandang ke arah pelamin tetapi pandangannya ke arah kedua-dua mempelai terhalang oleh beberapa orang yang rata-ratanya menggunakan gajet yang canggih pelbagai saiz untuk mengambil gambar pengantin. Setelah pandangannya tidak terhalang, dia dapat melihat dengan jelas wajah Azfar Azhari dan isterinya yang sedang tersenyum di pelamin nan indah itu. Sejurus melihat wajah itu, air matanya berjuraian jatuh membasahi pipi. Dia seperti tidak dapat mengawal kilang air matanya lagi. Perasaan dikhianati itu kembali lagi. Dia terus berpaling dan melangkah meninggalkan majlis tersebut sebelum orang ramai pelik melihat dirinya yang menangis.

Muhammad Nasrun yang sedari tadi berada di belakang Nur Hakimah tergamam dengan apa yang dilihatnya sewaktu Nur Hakimah berpaling sebentar tadi. Namun, dia tidak berlengah, dia mengejar Nur Hakimah dari belakang. Setibanya di kereta, Nur Hakimah kelihatan mengesat air matanya menggunakan sehelai sapu tangan dan menggenggam sapu tangan itu dengan kemas. Muhammad Nasrun membuka pintu kereta untuk Nur Hakimah dan tanpa disuruh Nur Hakimah terus duduk. Sesudah Muhammad Nasrun menutup pintu kereta, dia bergegas ke tempat pemandu pula. Tidak lama kemudian, enjin kereta dihidupkan dan dia memandu keluar dari taman perumahan tersebut.

Muhammad Nasrun yang tidak tahu ke mana perlu dia tuju mengambil keputusan untuk ke taman tasik yang tidak jauh dari taman perumahan tadi. Dia tahu jika dia bertanya kepada Nur Hakimah sekalipun nescaya dia tidak akan mendapat jawapan yang dikehendaki. Ketika kereta sudah selamat diberhentikan di kawasan meletak kenderaan taman tasik tersebut, Muhammad Nasrun memandang Nur Hakimah sekilas. Tangisan gadis itu sudah reda namun tangan kanannya kelihatan menggenggam kuat sapu tangan yang dilihatnya tadi.

Nur Hakimah yang dapat merasakan bahawa kereta sudah diberhentikan memandang kawasan sekeliling. Dia memandang sebuah pondok rehat berhampiran sebatang pokok yang tidak jauh dari kereta diparkirkan. Dia dapat melihat seorang pemuda sedang berdiri membelakangkan seorang gadis yang sedang duduk di pondok itu. Dia amati wajah gadis itu. Dia seperti kenal sekali dengan gadis itu. Matanya yang bersisa air mata dikesat dengan sapu tangan agar dia dapat melihat gadis tersebut dengan lebih jelas. Gadis itu! Dia dapat melihat dirinya sendiri. Memori pahit tiga tahun dahulu menjelma seperti ada tayangan video di hadapannya.

“Kim, Ayie rasa sampai sini saja hubungan kita,” Azfar Azhari bersuara sambil membelakangkan Nur Hakimah.

Dia tahu hati Nur Hakimah bakal ataupun mungkin sudah kecewa dengan keputusannya ini tetapi dia sendiri tidak sanggup untuk berpura-pura lagi. Teruk juga dia dimarahi oleh kawan serumah sewanya apabila dia masih lagi belum berterus terang dengan Nur Hakimah. Atas nasihat kawan serumahnya itu jugalah dia dan Nur Hakimah berada di sini. Dia tahu dia perlu merungkaikan kekusutan ini. Sememangnya dia yang meminta agar hubungan mereka ‘direhatkan’ seketika namun tidak diduga dalam tempoh itu dia sudah jatuh hati pada orang lain. Kini, setelah dua bulan berlalu baru dia akan berterus-terang dengan Nur Hakimah. Berharap agar Nur Hakimah tidak lagi menunggunya dan berharap agar Nur Hakimah faham akan keadaannya.

“Kim tak faham. Cuba Ayie terangkan kenapa? Kan kita sekarang dalam tempoh rehat aje. Kita bukannya clash pun. Kita dah lama tak contact each other Ayie, kenapa tiba-tiba nak putus ni?”

“Ayie minta maaf sangat-sangat. Memang betul Ayie ada cakap kita ambil tempoh rehat dalam hubungan kita, fokus pada pelajaran dan Ayie tahu Kim memang buat semua tu. Tapi Ayie yang yang cukup baik, dalam tempoh tu Ayie jatuh cinta pada orang lain. Maafkan Ayie, Kim. Ayie tahu Kim akan jumpa orang yang lagi baik dari Ayie.”

Azfar Azhari bersungguh-sungguh meminta kemaafan dari Nur Hakimah. Nur Hakimah pula masih lagi cuba untuk menayangkan riak selamba walaupun dia sebenarnya terkejut dengan perkhabaran ini.

“Senanglah Ayie cakap. Ayie tengah bahagia dengan perempuan tu. Dah berapa lama Ayie couple dengan dia?”

Azfar Azhari diam beberapa saat sebelum menjawab, “Dua bulan.”

“Dua bulan? Dua bulanlah Kim macam orang bodoh setia pada Ayie tak cari orang lain. Kim ingatkan bila mula-mula couple dulu Ayie cakap pasal kepercayaan tu penting, so Kim boleh percayakan Ayie, rupa-rupanya Ayie sama je macam lelaki lain. Thanks Ayie. Semoga Ayie bahagia.”

Nur Hakimah terus berlalu pergi sambil memegang beberapa buah buku di tangan kerana dia baru sahaja habis kuliah pada hari tersebut. Dia tidak mengendahkan panggilan dari Azfar Azhari. Sedang dia berjalan dengan laju, tidak semena-mena dia terlanggar seseorang. Buku-buku yang berada di tangannya jatuh dan pemuda yang tidak sengaja dilanggarnya sebentar tadi menghulurkan bantuan mengutip buku-buku tersebut. Nur Hakimah meminta maaf kepada pemuda tersebut tetapi dia tidak berani untuk mengangkat muka kerana hakikatnya sebaik sahaja dia mula berjalan pergi dari Azfar Azhari sebentar tadi, air matanya juga turut berjalan mencari jalan keluar dari kelopak mata. Dia tidak mahu pemuda tersebut melihatnya menangis. Rambutnya yang panjang melepasi bahu dan tidak diikat sedikit membantu menyorokkan mukanya dari sisi kanan dan kiri. Pemuda tersebut menghulurkan kembali buku-buku Nur Hakimah dan dia turut meletakkan sapu tangannya di buku yang paling atas. Nur Hakimah mengambil buku-bukunya dari pemuda tersebut dan belum sempat untuknya mengucapkan terima kasih, pemuda tersebut sudahpun berlalu pergi.

***********

Nur Hakimah masih setia menggenggam sapu tangan di tangan kanannya. Suatu ketika dahulu dia pernah berkata kepada Hayfa Zafirah bahawa drama-drama yang menunjukkan si jejaka memberi sapu tangan kepada si gadis untuk mengelap air mata adalah adegan yang poyo kerana pada pendapatnya tiada sesiapa yang akan bawa sapu tangan ke mana-mana mereka pergi. Namun kini, sapu tangan Jejaka Poyo itulah yang menjadi pengelap setia air matanya. Sekali pada hari Azfar Azhari memutuskan hubungan mereka dan sekali lagi pada hari ini, hari Azfar Azhari bersanding dengan isterinya. Sememangnya dia menyimpan sapu tangan itu di dalam beg tangannya walaupun dia pernah beberapa kali bertukar beg tangan. Hati kecilnya berharap agar dia dapat berjumpa dengan Jejaka Poyo itu sekali lagi untuk memulangkan sapu tangan tersebut sekaligus mengucapkan terima kasih.

“Lelaki semuanya sama je!” Nur Hakimah bersuara seperti melepaskan geram.

Muhammad Nasrun sedikit terkejut dengan nada marah yang keluar dari bibir Nur Hakimah.

“Nur, awak ok tak ni?”

Nur Hakimah kembali menyambung bicaranya.

“Mula-mula cakap kepercayaan tu penting dalam sebuah perhubungan, kita cakap kesetiaan tu yang penting. Since dia beria cakap kepercayaan tu penting, kita percaya la yang dia lain dari lelaki lain yang kita dengar orang lain cerita. Rupa-rupanya dia pun sama je dengan lelaki lain.”

Nur Hakimah kembali diam. Walaupun dia masih belum puas melepaskan geram, namun sedikit sebanyak dia agak segan kerana Muhammad Nasrun perlu melihat ini semua. Setelah Nur Hakimah lama mendiamkan diri. Muhammad Nasrun memecahkan kesunyian.

“Nur, kalau saya cakap ni awak jangan marah tau, ni pandangan saya je. Awak tak boleh cakap semua lelaki tu sama je. Itu tak adil untuk lelaki lain yang baik pada perempuan. Kalau awak cakap macam tu, lelaki lain yang ada pengalaman buruk dengan perempuan pun boleh cakap perkara yang sama. Mesti awak marah kalau dengar orang cakap macam tu kan? Sebab hakikatnya semua orang tak semestinya sama. Semua orang tak semestinya melukakan hati dan perasaan orang lain. Come on, Nur. I know you are stronger than this. Awak tak payah nak ingat pasal Azfar dah. Dia yang bodoh tinggalkan perempuan sebaik awak.”

Nur Hakimah hanya menundukkan pandangan. Ada betulnya dengan apa yang Muhammad Nasrun katakan itu. Dia sebenarnya bukan kecewa kerana Azfar Azhari berkahwin dengan orang lain kerana dia tahu jodoh Azfar Azhari pasti Allah telah tetapkan bersama isterinya itu. Namun, apa yang membuatkan dia terkilan adalah kerana kenangan pahit tiga tahun lepas, Azfar Azhari sudah dua bulan berhubung dengan perempuan itu barulah dia memberitahu Nur Hakimah. Nur Hakimah merasakan bahawa dia tertipu dan kesetiaannya dalam tempoh dua bulan itu sia-sia sahaja. Nur Hakimah menarik nafas dengan dalam dan melepaskannya. Dia tersenyum segaris. Dia sedar tiada gunanya dia mengingati kisah lalu. Nur Hakimah menoleh ke arah Muhammad Nasrun yang masih setia di tempat pemandu. Dia menghadiahkan sebuah senyuman ikhlas.

Thanks Nasrun.”

My pleasure, my dear.”

Eh mamat ni! Nak ber‘dear-dear’ lak dengan aku. Dapat mandat baru ke bro?

“Insya Allah. I’m okay now. Dah lah jom balik. Buat apa duduk dekat sini lama-lama.”

Muhammad Nasrun tidak mempedulikan kata-kata Nur Hakimah sebaliknya dia mengambil buku nota dan pen dari dalam beg bimbitnya yang sememangnya berada di kerusi belakang kereta. Dia menulis sesuatu di buku nota tersebut dan memberikannya kepada Nur Hakimah. Walaupun sedikit pelik apabila Muhammad Nasrun tiba-tiba memberi buku nota tersebut, Nur Hakimah menyambut juga dan membacanya. Riak terkejut jelas di wajah Nur Hakimah.

Nur Hakimah, sudikah awak menjadi suri di hati saya?
       Yes
       Not now

Nur Hakimah masih memandang tulisan tangan Muhammad Nasrun pada buku nota tersebut.

Ini tidak adil! Bukan ke checkbox dia buat ni maksudnya sama je? Kalau aku tanda kat ‘Yes’ maksudnya aku terima. Kalau aku tanda kat ‘Not now’ maksudnya bukan sekarang tapi setuju juga la kan kahwin dengan dia? Bukan macam tu ke maksudnya? Dah berat sebelah dah ni, bro!

Nur Hakimah menadah tangan kanannya tanda meminta pen yang dipegang oleh Muhammad Nasrun. Dia menulis sesuatu di muka surat yang sama pada buku nota tersebut dan memberikan kembali kepada Muhammad Nasrun.

Saya ada wali, kalau berani pergilah jumpa! Baru gentleman, bro!

Muhammad Nasrun tersenyum membaca tulisan tangan Nur Hakimah itu. Dia pula membuat isyarat meminta pen seperti yang Nur Hakimah buat sebentar tadi. Sekejap sahaja dia menconteng buku nota tersebut dan dia menghulurkannya kembali kepada Nur Hakimah. Terbeliak mata Nur Hakimah kerana terkejut dengan contengan itu. Muhammad Nasrun hanya menambah lukisan kotak sederhana besar di sebelah tulisan tangan Nur Hakimah dan pada kotak tersebut dia letakkan tanda ‘tick’. Nur Hakimah memandang Muhammad Nasrun di sebelah. Muhammad Nasrun mempamerkan senyuman dan mengangkat-angkat keningnya.

***********

Nur Hakimah menangis di dalam biliknya. Mengingati peristiwa pagi tadi, air matanya mengalir tanpa dapat ditahan lagi. Air mata gembira. Dia bangun menuju ke meja solek menghampiri beg tangannya dan menggagau sapu tangan yang senantiasa berada di dalam beg tangannya itu. Tidak semena-mena, ada tangan yang melekap di pipinya dan ada jari yang mengelap air matanya. Dia memandang susuk tubuh yang berada di hadapannya. Dia sangkakan hanya dia seorang yang berada di dalam biliknya.

“Tuan punya sapu tangan tu dah halal, tak perlukan sapu tangan tu lagi.”

Nur Hakimah memandang sapu tangan yang berada di tangannya dan memandang lelaki yang berada di hadapannya pula. Muhammad Nasrun tersenyum seraya mengangguk.

“Jadi, awak lah JP tu? You owe me an explanation,” Nur Hakimah bersuara.

“Ok. Sayang nak tahu dari mana? Eh, kejap, JP apa pula ni? Kalau JYP abang tahulah juga.” Muhammad Nasrun bertanya seraya memegang tangan Nur Hakimah dan berjalan beriringan menuju ke arah katil dan sama-sama duduk di katil tersebut.

I want to know everything! From A to Z. Oh, JP tu Jejaka Poyo. Heheujar Nur Hakimah dengan muka yang sudah tidak sabar tetapi sempat tersengih apabila memberitahu maksud JP kepada Muhammad Nasrun.

“Ok. You owe me an explaination for that JP thingy.

“Hehe. Ok. Nanti-nanti saya cerita. Tapi awak cerita dulu from A to Z.”

“Macam mana nak cakap ek. Abang pun tak tahu nak mula dari mana. Ok, abang start dari awal-awal abang ‘kenal’ Nur. Masa tu abang tengah menyewa dekat sebuah rumah sewa. Kebetulan senior satu course yang sama-sama menyewa tu nak keluar rumah lepas dia nikah dan ada junior sekolah menengah tanya pasal rumah sewa. So, abang ajaklah dia menyewa sekali. Abang memang baiklah dengan junior sekolah menengah abang tu walaupun kami lain universiti. Satu hari abang ternampak dia tengah tengok gambar dia ramai-ramai dengan classmates dia. Abang terberkenan dekat sorang dalam gambar tu dan belum sempat abang nak tanya dia, dia tunjuk pada abang girlfriend dia yang dia selalu cerita and it turns out that girlfriend tu yang abang terberkenan. Terkedu abang sekejap, terminat awek orang.”

“Ok, Lepas tu ape jadi? Bila awak kenal saya?”

“Ya Allah, isteri abang ni, sabar ajelah. Takkan tak faham? Orang tu sayang lah.”

“Eheh, saya ke orang tu! Mana nak tahu. Oh, kira awak dah lama suka saya la ek.”

Hmm, entahlah. Suka ke? Abang pun tak pasti waktu tu. Sebab abang nak cari bakal ibu kepada bakal anak-anak abang yang menutup aurat. Tapi mungkin instinct tu kuat bila abang rasa yang Nur adalah my other half, walaupun masa tu Nur still girlfriend Ayie. I know based on Ayie’s stories that you are such a nice lady. Nak ajak keluar makan sama-sama pun susah, mesti nak ada kawan perempuan lain teman, nak study pun sama, mesti ada kawan lain teman. So, from that I know that you are good and you will be better if you cover your aurah. Abang geram bila Ayie mula serius  keluar dengan perempuan lain dan tak putuskan hubungan dengan Nur. Abang cakap kat dia suruh terus terang dengar Nur. Mula-mula dia tak nak, tapi lepas tu dia setuju juga. So, hari yang dia janji nak jumpa Nur tu abang dah tunggu siap-siap dekat taman tasik tu.”

Muhammad Nasrun menghentikan penceritaannya. Sengaja dia ingin tahu reaksi isterinya itu.

So, awak nampaklah drama sebabak adegan sorok air mata saya?”

Nur Hakimah bertanya. Muhammad Nasrun mengangguk.

In fact, abang yang sengaja berjalan ke arah Nur dan buat-buat terlanggar. Because I hate the fact that I can’t do anything about your tears. I can’t wipe them with my own hands. I can’t even let you cry on my shoulders. That was why I gave you the handkerchief and I’m so touched that you still keep it. Thanks my dear.

Sebelah tangan Muhammad Nasrun merangkul bahu Nur Hakimah. Nur Hakimah pula malu-malu memeluk pinggang suaminya.

“Saya yang kena berterima kasih pada awak. Sebab mesej pada sapu tangan tu saya tergerak hati untuk berubah. Saya lebih banyak mendekatkan diri pada Allah. Saya dapat merasakan ketenangan yang saya tak pernah rasa sebelum ni. Alhamdulillah. Sebab tu saya selalu bawa sapu tangan tu dalam handbag saya, dengan harapan saya dapat jumpa kembali Jejaka Poyo yang bagi saya sapu tangan tu dan berterima kasih pada dia. Walaupun pada hakikatnya muka dia pun saya tak ingat.”

“Maksudnya sayang dapatlah mesej yang abang cuba nak sampaikan? Alhamdulillah.”

“Tengok oranglah. Kita belajar sampai kat bangunan tinggi-tinggi, takkan kita tak dapat nak tinggikan sikit pemikiran kita,” Nur Hakimah bersuara dan sengaja membuat nada seperti berlagak. Dia meneruskan bicaranya.

“Tapi mula-mula saya pening juga fikir. 13:28. Saya ingatkan ratio apalah pada handkerchief tu. Rupa-rupanya nombor yang saya ingat ratio tu merujuk kepada surah ke tiga belas, ayat ke dua puluh lapan. Alhamdulillah.”

Tiba-tiba Nur Hakimah menekup mulutnya. Dia teringat akan sesuatu.

Alamak! Aku dah tersalah tuduh la ni?

“Kenapa sayang?” Muhammad Nasrun bertanya dengan kelakuan Nur Hakimah yang tiba-tiba itu.

“Awak, maknanya waktu awak teman saya pergi wedding Ayie, awak dah tahulah ya pasal kami? Bukan Hayfa yang beritahu?”

Yup, waktu tu abang memang dah tahu dan abang pun dapat undangan yang sama. Tapi sebab abang tak sempat nak jumpa Ayie masa kenduri belah perempuan, so abang datang kenduri belah lelaki.”

Ohho! Sorry lah Hayfa. Aku ingat kau yang beritahu Nasrun time tu. Beria-ria aku marah kau dalam hati. Hehe.

Nur Hakimah hanya tersengih. Dia dan Muhammad Nasrun kedua-duanya tidak putus-putus memanjatkan kesyukuran di dalam hati. Semuanya sudah terlerai kini. Muhammad Nasrun kembali bersuara.

“Sayang, kenapa Nur ambil masa lama sangat nak terima lamaran abang? Dalam sebulan tu abang memang nervous tak ingat dunia. Tak putus-putus abang berdoa agar Allah beri yang terbaik buat kita.”

“Saya memang dah dapat jawapan untuk istikharah saya, tapi lepas tu awak tak pernah tanya pun. Macam mana saya nak cakap, seganlah! Lagipun mana nak tahu awak dah pernah jumpa mak ayah saya. Dua-dua tak pernah cakap apa-apa pada saya.”

“Laa yeke. Mati-mati abang ingat dah kena reject dengan Nur. Abang memang dah minta pada mak dan ayah jangan pressure Nur untuk buat keputusan. Salah abang juga tapi yang penting sekarang kita dah selamat dinikahkan pun. Alhamdulillah. Sayang, maknanya abang ni second hero Nur lah?”

Hmmm. Jap, biar saya fikir. Second hero biasanya tak dipilih oleh heroine. In our case, kita dah selamat nikah dah ni. Kira awak first hero lah kot,” kata Nur Hakimah dengan muka berfikir dan tersengih di hujung ayat.

“Kot? Amboi, macam tak pasti je sayang! Jangan menyesal kahwin dengan abang. Tapi, kalaupun betul abang second hero dalam cerita Nur, abang tetap first hero dalam cerita abang dan Nur tetap heroine abang,” ujar Muhammad Nasrun sambil tersenyum bangga.

“Tak menyesal punye. Thanks, awak,” ujar Nur Hakimah sambil membuat muka comel.

Thanks to you too, my dear. And call me abang, please.”

“Ala awak. Kita take one step at a time la ye. Saya sekarang ni macam tergeliat lidah lagi guna saya awak. Nanti dah ok saya akan guna juga.”

Okay, then I have to make sure that your one-step-at-a-time will be one step for every hour so that I can hear you call me ‘abang’ as soon as possible.”

.:|[ TAMAT ]|:.

 “Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan berzikir (mengingat) Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah hati menjadi tenteram” (13:28)


Kepada semua yang sudi membaca,
Terima kasih kerana meluangkan masa anda untuk membaca karya saya yang tidak seberapa ini. Ini adalah cubaan cerpen kedua saya menulis cerpen. Segala kritikan membina amatlah saya alu-alukan. Terima kasih.
Suha Fasihah

6 comments:

  1. Menarik. Suka olahan ceritanya - kisah pertemuan Nasrun & Nur.

    ReplyDelete
    Replies
    1. kak sha :)

      thanks sudi luangkan masa untuk baca... hehehe imaginasi hasil ilham dari Ilahi... kisah benar selit sikitttt je... hehehe

      Delete
  2. Boleh nampak kesinambungan dari kisah sapu tangan..ke part Nur nangis masa attended kenduri Ayie. Akak suka ceritanya...nice

    ReplyDelete
    Replies
    1. hehe... thanks kak... insya Allah suha akan keep on improving...

      Delete
  3. Tahniah...kreatif sungguh pada part sapu tangan pun boleh jadi elements utk berdakwah...keep up the ggod work....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih sudi baca dan komen... Sebab Nasrun dah dapat agak perkara tu akan berlaku jadi dia dah prepare awal²... Insya Allah akan terus menulis dan cuba sampaikan mesej berguna...

      Dan dalam dunia nyata, banyak sebenarnya peluang/cara kita boleh berdakwah terutamanya dengan cara menunjukkan akhlak yang baik sebagai seorang Muslim...

      Delete

manis bicara indah tutur kata...
selamat meninggalkan jejak kasih anda...