Social Icons

Tuesday, June 24, 2014

Cerpen | Can't Take My Heart Off Of You .:|[ FULL ]|:.



** kepada yang pernah baca sneak-peek version cerpen ni, kalau boleh bacalah full version ni dari awal sebab dari awal dah ada penambahan watak... Enjoy reading ;) **


            SEMESTER baru sudah bermula. Hari ini merupakan hari ketiga bermulanya pengajian. Hidayu Aishah dan rakan baiknya sejak semester pertama pengajian Ijazah Sarjana Muda, Husna Asyikin, berjalan laju menuju ke dewan kuliah. Mereka sebetulnya sudah terlewat sepuluh minit. Kelas di dewan kuliah kali ini adalah kelas Ekonomi yang memang diwajibkan bagi semua pelajar untuk mengambilnya. Walaupun mereka sepatutnya mengambil subjek ini pada semester yang lepas tetapi mereka memilih untuk menangguhkannya dan mengambilnya pada semester kali ini. Bagi kelas Ekonomi ini, mereka akan bergabung dengan kumpulan lain walaupun dari jurusan yang sama. Oleh yang demikian, mereka akan cuba sedaya upaya untuk tidak lewat ke kelas kerana malu menjadi muka lewat sampai ke kelas apabila ada kelas gabungan seperti ini. Antara sebab yang lain, mereka perlu hadir awal untuk mendapatkan tempat duduk yang strategik.

            Hidayu Aishah dan Husna Asyikin membuka pintu Dewan Kuliah 3 dengan debaran akibat jantung mereka yang berkerja lebih masa. Apabila melihat bahagian tempat duduk pensyarah yang masih kosong, mereka melepaskan nafas lega dan berjalan mengambil tempat duduk terdekat. Seperti biasa minggu pertama bermulanya semester baru ada sahaja pelajar yang tidak hadir ke kelas. Para pelajar yang hadir pula rata-rata masih lagi bertukar-tukar cerita mengenai aktiviti masa cuti mereka. Semua pelajar senyap apabila pintu Dewan Kuliah 3 tersebut dikuak dari luar dan muncul seseorang yang kelihatan seperti pensyarah.

            “Assalaamu`alaikum class. My name is Qasrina Ahmad, you can call me Madam Rin. I’ll be teaching you Economics, of course, since this is Economics class not cosmetics class.” Puan Qasrina Ahmad bersuara sambil tersenyum mesra. Para pelajar sudah tersengih dengan kata-katanya. Mereka sudah mula terbuka hati untuk belajar subjek Ekonomi ini jika pensyarahnya seorang yang ‘sporting’.

            “I know that this class consists of three groups, right? May I know who will be your class rep?” Puan Qasrina sudah mula bertanya akan siapa yang bakal menjadi wakil kelas mereka.


            Kedengaran beberapa suara sumbang menyebut nama satu sama lain. Rata-rata tidak mahu menjadi wakil kelas kerana wakil kelas akan dipertanggungjawabkan untuk menyampaikan segala maklumat dari pensyarah kepada semua rakan sekelas. Memandangkan kelas Ekonomi ini menggabungkan tiga kumpulan pasti lebih mencabar tanggungjawab yang bakal wakil kelas galas. Namun, di era teknologi serba-serbi canggih seperti kini selalunya media sosial akan dimanfaatkan untuk menyampaikan maklumat dengan lebih pantas.

            “Oh, come on class! I don’t like random names like that. Be active and progressive, please. Any volunteer, maybe?” Puan Qasrina bersuara lagi setelah masih tiada kata putus untuk menjadi wakil kelas.

            Seorang pelajar mengangkat tangannya, “Madam Rin, I can be the class rep.”

            “Great! Two extra marks for your carry marks later on, young man. What’s your name and group?”

            “Adenan Faiz. You can call me Aden, madam. Group B.” ujar pelajar tersebut bersama sengihan lebar apabila dia mendapat tahu bahawa dia bakal mendapat dua markah tambahan. Puan Qasrina menanda nama Adenan Faiz pada senarai nama yang ada padanya.

            “Okay, who will be the assistant class rep?”

            Ramai pelajar mengangkat tangan untuk menjadi pembantu wakil kelas secara sukarela. Bila ada ganjaran seperti markah tambahan mahu pula mereka menawarkan diri tanpa perlu dipaksa.

            “Hmm, now that you know the class rep and assistant class rep will get two extra marks, you want to volunteer yourselves. Hmm. Aden, how about you choose the person that will be your assistant. To be fair, choose one of the ladies from another group. I think you know your friends right?” resolusi dari Puan Qasrina yang membuatkan mata para pelajar perempuan dari Kumpulan A dan C bersinar-sinar dengan harapan.

            “Madam, I think Hidayu Aishah from Group A will be a great assist for me.”

“For you? Ehem ehem. I thought that it’s for the Economics class.” Puan Qasrina bergurau diikuti dengan ketawa para pelajarnya. Petanda awal Puan Qasrina bakal menjadi antara pensyarah kesukaan mereka. Adenan Faiz hanya tersengih sambil tangan kanan dan kirinya menunjukkan symbol ‘v’ tanda aman.

“May I know who’s this lucky young lady?” ujar Puan Qasrina yang tadinya turut tersenyum dengan kelakuan Adenan Faiz. Hidayu Aishah mengangkat tangan.

“Are you fine with this Hidayu?”

“Yes, Madam. I’m fine with this. By the way, Madam Rin, you can call me Hida.” kata Hidayu Aishah dengan wajah yang disertakan dengan senyuman. Dia sebenarnya bukanlah suka sangat menjadi penolong wakil kelas, tapi memandangkan si wakil kelas sudah memilihnya dan dia bakal dapat dua markah tambahan, dicekalkan juga hatinya.

            Kelas Ekonomi pada kali pertama ini tamat awal setelah Puan Qasrina Ahmad hanya menyentuh skop yang akan mereka pelajari serta peratusan pembahagian kerja kursus dan peperiksaan akhir. Semestinya para pelajar gembira dengan kelas pengenalan yang ringkas dan dapat pulang awal. Hidayu Aishah dan Husna Asyikin berlalu untuk keluar dari dewan kuliah. Semasa melalui anak tangga bersebelahan dengan tempat duduk Adenan Faiz, bekas pensel Hidayu Aishah terjatuh dan belum sempat untuk Hidayu Aishah mengambil bekas pensel tersebut, Adenan Faiz terlebih dahulu mengutipnya.

            “Adakah ini dinamakan cinta?” ujar Adenan Faiz sambil menghulurkan semula bekas pensel itu kepada tuannya. Hidayu Aishah dan Husna Asyikin yang memang sudah tahu perangai Adenan Faiz yang memang gila-gila sebegitu hanya ketawa kecil. Hidayu Aishah mengambil semula bekas penselnya itu. Hanif Hanzalah pula, kawan baik Adenan Faiz tidak terkecuali menggelakkan rakan baiknya itu.

            “Amboi, Aden, pick-up line ke?” ujar Husna Asyikin yang berdiri di sebelah Hidayu Aishah.

            Pick-up line apanya Nash, pick-up pencil case. Haha. Epic fail betul. Kau kena menuntut ilmu dengan aku lagi ni bro.” ujar Hanif Hanzalah sambil tangannya menepuk bahu Adenan Faiz.

            “Aden, ini namanya bekas pensel, bukan cinta. Thanks.” ujar Hidayu Aishah pula.

            Fine! Eh, dengar macam pick-up line ke Nash? Aku saja cuba nasib. Haha. Anip, kau ni tak supportive betullah. Adoi! Hida, bagi aku phone number kau. Nanti senang nak pass info. Kau dah lah group lain.” Adenan Faiz berbicara. Mereka bertukar-tukar nombor telefon lalu membawa haluan masing-masing.

*************

            Minggu demi minggu berlalu. Kehidupan Hidayu Aishah pada semester pertama di tahun akhirnya ini lebih sibuk berbanding semester-semester yang lepas. Hujung minggu seperti ini dia memang suka menghabiskan masa menyiapkan tugasan di bilik di kolej kediamannya sahaja jika tugasan tersebut bukan berkumpulan. Sudah menjadi kebiasaanya juga untuk memasang lagu-lagu sambil menyiapkan tugasan. Kali ini sudah beberapa kali lagu Menjadi Diriku dendangan kumpulan Edcoustic dibiarkan beralun berulang-ulang kali. Tidak cukup dengan itu, dia turut sama-sama menyanyikan lagu tersebut. Kadang-kala sengaja dia berdiri di tingkap biliknya dan menyanyikan lagu. Dia rasa bebas apabila berbuat demikian. Namun, dia hanya membuat aktiviti tersebut pada hujung minggu kerana kebanyakan pelajar keluar pada hujung minggu jadi kurang sedikit rasa bersalah walaupun pada hakikatnya dia boleh dikategorikan sebagai mengganggu ketenteraman awam.

            “Moon, sorry kalau aku memekak. Aku memang macam ni. Hehe.” Ujar Hidayu Aishah kepada Munirah yang merupakan satu-satunya teman sebiliknya kerana mereka duduk di bilik yang hanya menempatkan dua orang pelajar. Hidayu Aishah berada di meja belajarnya manakala teman sebiliknya itu berada di atas katil sambil membaca buku.

            Oh, it’s okay. Aku tak kisah sangat lagipun best juga lagu-lagu nasyid yang kau selalu play tu.” Munirah membalas kata-kata Hidayu Aishah.

            “Hida, aku nak tanya kau something boleh?” Munirah bersuara dan kali ini dia sudah menutup buku yang berada di tangannya. Hidayu Aishah menoleh dari meja belajarnya.

            Sure, tanya je.”

            “Kenapa kau baik dengan aku ek? Aku dah lah free hair tak macam kau. Kawan-kawan yang baik dengan aku pun semua free hair. Kawan-kawan yang bertudung dekat course aku layan kami ni biasa-biasa je. Kau orang pertama yang aku jumpa layan aku dengan baik. Siap boleh turun makan dekat cafĂ© sama-sama lagi.” Munirah akhirnya meluahkan apa yang terpendam di benaknya selama ini.

            First time aku dapat soalan macam ni Moon. Hehe. Berbuat baik tu kan memang sifat yang perlu ada pada semua orang Islam. Tak kisahlah dia bertudung ataupun tidak. Islam sendiri menggalakkan kita bersangka baik dan jangan pandang serong pada orang lain. Mungkin hari ni dia free hair tapi esok lusa mana tahu bila hidayah menyapa, dia pakai tudung lagi labuh dari kita.” Jelas Hidayu Aishah kepada Munirah.

            “Bertudung tu wajib ke Hida? Parents aku tak pernah paksa aku bertudung pun. Bukan ke tiada paksaan dalam Islam?” Munirah berminat untuk bertanya lanjut kepada Hidayu Aishah.

            “Tak lah. Siapa cakap bertudung tu wajib. Kau tanyalah mana-mana ustaz ustazah, mesti mereka cakap bertudung tu tak wajib, tapi menutup aurat dengan sempurna tu yang wajib. Tiada paksaan dalam Islam tu ditujukan kepada mereka yang belum Islam. Kita tak paksa dia peluk Islam, tapi bagi yang dah Islam, kita wajib taat pada perintah Allah dengan melakukan semua suruhan Allah dan meninggalkan semua laranganNya. Salah satunya menutup aurat tu lah.”

            “Oh macam tu ke. Baru aku tahu. Aku ingatkan yang tiada paksaan dalam Islam tu kita tak paksa diri bertudung tapi bertudung bila terbuka hati. Boleh kau terangkan tak yang bertudung tu tak wajib tapi menutup aurat tu wajib? Aku kurang jelaslah.”

            “Oh pasal tu. Itu kita kena faham bahagian mana dikira aurat dan konsep menutup aurat. Secara ringkasnya aurat perempuan adalah seluruh anggota kecuali muka dan tapak tangan. Jadi kita kena tutuplah seluruh anggota kecuali muka dan tapak tangan ni. Menutup aurat ni pula kita kena pakai pakaian yang tak ikut bentuk badan, tak jarang, senang cakap pakaian kita lepas piawaian tutup aurat kalau boleh terus bawa solat tanpa perlu pakai telekung dah. Kalau memang pakai pakaian ‘rogollah saya’ tu memang tak menutup auratlah. Itu dah menarik perhatian kaum lelaki untuk mengeksploitasi tubuh badan perempuan. Mudah kan sebenarnya nak check pakaian kita ni Shariah compliance ke tidak? Hehe.”

            Munirah terdiam selepas mendengar kata-kata Hidayu Aishah. Sedikit sebanyak dia terasa yang piawaian pakaiannya sangat menyimpang dari yang diterangkan oleh Hidayu Aishah sebentar tadi. Hidayu Aishah yang melihat Munirah terdiam baru tersedar akan kata-kata yang keluar dari mulutnya sebentar tadi.

            “Moon, sorry. Aku tak bermaksud nak buat kau kecil hati ke terasa ke apa. Niat aku tadi memang betul-betul nak terangkan bagi jelas.” Hidayu Aishah meminta maaf pada Munirah.

            It’s okay, Hida. Aku faham. Niat kau baik. Thanks sudi bagi pencerahan pada aku. Aku bersyukur dapat roommate yang baik hati macam kau ni. Kau tak kisah nak berkawan dengan aku dan sudi pula bagi pencerahan pada persoalan aku.” Munirah berkata sambil mengukirkan senyuman manis kepada teman sebiliknya itu.

*************
           
Hidayu Aishah yang kepenatan apabila pulang dari kelas yang berakhir pada waktu malam terus membuka tudung yang menutup kepalanya dan diletakkan di birai katil. Dia berdiri di bawah kipas sambil menikmati angin kipas yang mendinginkan tubuhnya yang penat memanjat anak tangga ke biliknya sebentar tadi. Tidak semena-mena dia perasan yang Munirah sedang membuat panggilan video melalui Skype dan kedudukannya yang berada di tengah-tengah ruang bilik tersebut membolehkan pemanggil yang sedang berbual dengan Munirah untuk turut melihatnya. Menyedari hal tersebut Hidayu Aishah terus mencapai tuala yang berhampiran dengannya lalu menutup kepalanya yang terdedah. Dia lantas keluar menuju ke bilik Husna Asyikin. Dalam hati, dia geram dan kesal kerana auratnya berkemungkinan sudah dilihat oleh lelaki yang sedang berpanggilan video dengan Munirah. Dia beristighfar banyak kali dan cuba menenangkan hati.

            Setelah Hidayu Aishah menenangkan diri di bilik Husna Asyikin, dia pulang ke biliknya. Munirah kelihatan sedang membaca nota pelajaran sambil berbaring. Hidayu Aishah menguatkan hati untuk berbicara mengenai isu yang baru berlaku sebentar tadi.

            “Moon, kalau aku nak discuss something dengan kau boleh?” Hidayu Aishah memulakan bicara. Munirah yang berbaring sudah bangun dan duduk menghadapnya.

            “Ok, boleh je. Nak discuss pasal apa ni?”

            “Hmm sebenarnya aku nak cakap pasal kau Skype dengan kawan kau tadi.”

            “Oh, pasal tu ke, aku video call dengan boyfriend aku tadi, kenapa?”

            “Tadi aku rasa berkemungkinan kawan yang Skype dengan kau dah ternampak aku yang tak bertudung tadi.”

            “Oh, yang tu ke, aku perasan juga tadi kau berdiri bawah kipas. Kenapa pula Hida? Bukan ke kita sekarang ni dalam bilik? Takpe lah kan kau buka tudung pun. Aurat kan masa keluar rumah.”

            “Moon, memang betul kita dalam bilik dan aku boleh buka tudung tapi kalau orang lelaki yang tengah Skype dengan kau ternampak aurat aku, tetap berdosa. Selagi orang tu bukan mahram aku, dekat mana-mana kalau ternampak aurat aku memang berdosa juga. Walau aku dalam rumah tapi ada tetamu bukan mahram yang nampak aurat aku, malaikat tetap akan catat dosa aku.” Hidayu Aishah bersuara dengan nada yang lembut menerangkan situasi itu kepada Munirah.

            “Oh macam tu ke Hida. I’m so sorry. Aku tak tahu. Jahilnya aku ni Hida.” Munirah sudah rasa bersalah kepada Hidayu Aishah. Dia seharusnya lebih peka akan hal ini.

            “Benda dah jadi dan dah lepas. Sebagai hamba Allah kita perlu bertaubat. Aku maafkan kau tapi kau kena janji kalau lain kali kau tengah Skype dengan orang lelaki, kau bagi aku red alert awal-awal tau.” Hidayu Aishah berkata sambil menghadiahkan senyuman kepada rakan sebiliknya itu. Dia tidak mahu Munirah berterusan bersedih.

            Thanks Hida tegur aku dengan baik. Kau sangat baik dan kau orang paling baik yang aku pernah jumpa. Kalau orang lain aku rasa aku dah kena perli dua tiga das.” Ujar Munirah kembali.

            Overlah kau. Mustahillah aku orang paling baik yang kau pernah jumpa. Kita ni nampak baik pada mata orang lain sebab Allah dah tolong tutup aib kita. Dan semua orang layak jadi orang baik tau.” Hidayu Aishah kembali bersuara. Dia berdoa di dalam hati supaya suatu hari nanti Munirah akan menerima hidayah dari Allah untuk menjadi muslimah yang lebih baik.

*************

Semester kedua tahun akhir pengajian bermula…

Pejam celik–pejam celik sudah sebulan semester terakhir bagi pengajian Hidayu Aishah bermula. Projek Tahun Akhir yang senantiasa menantikan perhatiannya membuatkan Hidayu Aishah seperti tidak cukup masa. Namun begitu persahabatannya dengan Munirah masih baik seperti biasa. Walaupun pada semester ini mereka tidak dapat bilik yang sama, mereka masih lagi berhubung melalui laman Facebook ataupun Whatsapp.

            Sujud syukur Hidayu Aishah dan Husna Asyikin apabila Munirah sudah mula mengenakan hijab dan menutup aurat dengan sempurna. Mengalir air mata gembira tatkala pertama kali berjumpa setelah Munirah mengenakan hijab. Tidak putus-putus Hidayu Aishah dan Husna Asyikin memberi semangat dan dorongan kepada Munirah. Masih terbayang perbualan mereka bertiga mengenai penghijrahan Munirah itu pada hujung minggu awal semester bermula.

            “Alhamdulillah Moon. Selamat kembali kepada fitrah.” Ujar Hidayu Aishah kepada Munirah. Tidak lekang senyuman di bibirnya dan tentunya mampu untuk membuat dia tersenyum gembira untuk suatu jangka masa yang lama.

            “Alhamdulillah. Aku bersyukur Allah ‘tegur’ aku. Macam yang kau pernah cakap, bila hidayah tu datang menyapa kita perlu teguh memilihnya. Aku harap kau orang berdua boleh tolong bimbing dan tegur aku.” Munirah berbicara sambil memandang Hidayu Aishah dan Husna Asyikin.

            “Insya Allah. Kita tegur-menegur antara satu sama lain. Kami pun tak perfect dan tiada siapa yang perfect. Tapi kita boleh saling ingat-mengingatkan ke arah kebaikan.” Husna Asyikin tersenyum gembira pada setiap tutur bicaranya.

            “Moon, kalau kau tak keberatan, kongsilah cerita penghijrahan kau ni.” Husna Asyikin menyambung bicara. Munirah sudah kelihatan sedikit serba salah.

            “Hmmm panjang ceritanya Nash. Nanti kalau aku cerita mahu tak cukup satu episod, kena bersambung episod akan datang pula.”

            Overlah kau! Berepisod-episod bagai. Kau pendekkanlah, cerita main points je, walaupun aku sebenarnya tak kisah nak dengar full story sampai perlu buat appointment untuk book kau bercerita pun aku sanggup. Hehehe. Betul tak Hida?” Hidayu Aishah hanya mengangguk dengan pertanyaan dari Husna Asyikin yang ditujukan kepadanya. Dia masih lagi ‘terkejut gembira’ dengan penghijrahan Munirah. Selebihnya dia dapat merasakan yang Munirah belum bersedia untuk bercerita kepada mereka. Gaya Munirah seperti dia ada menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuan mereka berdua. Namun, Hidayu Aishah cuba sedaya upaya untuk bersangka baik dengan Munirah. Dia sanggup menunggu selama mana untuk Munirah bersedia bagi berkongsi cerita dengan mereka.

            It’s okay Moon kalau kau belum sedia nak cerita. Aku faham. Tapi kalau kau ada apa-apa nak kongsi, you have me 24 hours. I’ll be there for you, remember that.” Ujar Hidayu Aishah untuk meredakan keadaan kerana Munirah kelihatan begitu serba salah untuk bersuara. Riak wajahnya gembira namun pada sinar matanya ada duka.

            “Insya Allah aku akan ceritakan penghijrahan aku suatu hari nanti. Sekarang aku cuma sedih. I mean, bukan bersedih pasal aku kembali pada fitrah ni. Aku sangat-sangat bersyukur masih belum terlambat untuk aku kembali kepada fitrah asal hamba Allah. Sebagai insan yang lemah, aku sedih sebab ada kawan-kawan aku yang tak boleh terima penghijrahan aku ni. Ada yang perli aku nak tunjuk baik, nak jadi ustazah. Hakikatnya aku bukan nak tunjuk baik tapi aku nak jadi baik. Aku nak baik pada pandangan Allah.” Munirah meluahkan isi hatinya yang terpendam. Hidayu Aishah dan Husna Asyikin tidak menyangka perkara seperti itu terjadi kepada Munirah. Mereka memegang tangan Munirah untuk menyalurkan kekuatan.

            “Astaghfirullahal`azim. Sabar Moon, kau kena tabah. Aku tak sangka kau akan hadapi macam ni. Macam mana dengan penerimaan boyfriend kau?” Tanya Husna Asyikin kepada Munirah. Hidayu Aishah fokus memandang wajah Munirah. Munirah menggelengkan kepala.

            “Kami dah putus.” Ujar Munirah sambil tersenyum kelat. Spontan Hidayu Aishah terus memeluk Munirah. Dia menggosok-gosok perlahan belakang Munirah.

            “Insya Allah Moon, kau akan dapat yang lagi baik dari dia. Janji Allah itu pasti.” Hidayu Aishah meleraikan pelukan mereka. Mujurlah tidak ramai orang yang lalu di gazebo kolej kediaman mereka ini. Mungkin kerana ini merupakan hujung minggu pertama semester baru jadi ramai pelajar menghabiskan masa di luar kerana masih belum mendapat banyak tugasan.

            “Okey kawan-kawan. Tak mau sedih-sedih. Moon, you have the two of us. Kami dengan ini menyokong anda berhijab dan menutup aurat dengan sempurna. Jangan peduli apa orang lain nak cakap, esok lusa mereka dah penat senyaplah tu. Dan ingat, aku dan Hida akan sentiasa support kau. Kalau kau ada apa-apa masalah cari je kitorang. Talian hayat dibuka 24 jam.” Kata Husna Asyikin sambil tangan kanannya diangkat separas bahu seperti berikrar. Munirah dan Hidayu Aishah sudah tergelak dengan gelagat Husna Asyikin.

            Yup, betul tu. Talian hayat dibuka 24 jam tau Moon.” Tambah Hidayu Aishah meyakinkan lagi ikrar Husna Asyikin. Munirah mengangguk tanda faham. Hidayu Aishah mengeluarkan telefon bimbitnya dan memainkan sebuah lagu yang bertajuk Jangan Bersedih nyanyian Edcoustic. Mereka bertiga menghayati lagu tersebut sambil memegang tangan satu sama lain.

                                                                 *************
           
Kehidupan pada semester akhir ini diteruskan seperti biasa. Sekali lagi kumpulan Hidayu Aishah perlu bergabung dengan kumpulan B dan C bagi salah satu subjek wajib yang telah ditetapkan. Adenan Faiz telah dilantik menjadi wakil kelas setelah semua pelajar sebulat suara melantiknya berdasarkan kewibawaan dia menjadi wakil kelas pada semester lepas. Hidayu Aishah pula tidak terkecuali dari menjadi mangsa dilantik sebagai penolong wakil kelas.

            Hidayu Aishah menerima dengan hati yang separuh terbuka kerana semester ini merupakan semester akhir dan dia perlu menumpukan lebih perhatian kepada Projek Tahun Akhir yang memang diwajibkan kepada para pelajar. Melalui Husna Asyikin, dia mendapat sedikit kekuatan untuk meneruskan amanah menjadi penolong wakil kelas ini. Apakan daya, dia sangkakan yang panas akan sampai ke petang, namun telahannya tidak tepat apabila rupa-rupanya ribut petir sudah melanda selepas waktu Dhuha.

            Terdapat segelintir pelajar yang tidak suka melihat Hidayu Aishah yang baik dengan Adenan Faiz. Mereka merasakan bahawa Adenan Faiz memberi layanan istimewa kepada Hidayu Aishah. Berita mengenai hal ini akhirnya sampai juga ke telinga empunya diri. Hidayu Aishah hanya mampu beristighfar mendengar tohmahan itu. Dia tidak merasakan bahawa Adenan Faiz memberi layanan istimewa kepadanya. Adenan Faiz merupakan seorang yang suka menolong orang lain yang dalam kesusahan. Bukan Hidayu Aishah sahaja yang ditolongnya, rakan-rakan perempuan dan lelaki yang lain turut mendapat pertolongan ikhlas dari Adenan Faiz yang tidak pernah mengharapkan balasan. Dan semestinya dengan perangainya yang gila-gila dan peramah itu membuatkan dia senang bergaul dengan semua lapisan perangai pelajar.

            Hidayu Aishah cuba untuk tidak memikirkan gosip liar yang tersebar namun perasaannya yang berkecamuk gagal mencerna arahan dari otaknya untuk tidak memikirkan perkara tersebut. Sedang dia berbaring merenung kosong siling biliknya selepas membaca surah Al-Mulk, telefon bimbitnya mengeluarkan bunyi tanda ada panggilan masuk. Dia bangun mencapai telefon bimbitnya yang berada di meja belajar dan kembali berbaring semula.

            “Helo, Assalaamu`alaikum. Hmm, kenapa call?”

            “Wa`alaikumussalam. Aku nak cakap something ni. Kau tengah sibuk ke?”

            “Kalau pasal pelajaran cakap je lah, kalau pasal benda lain lupakan je lah.”

            “Ok, benda ni tak ada kaitan dengan pelajaran, tapi kalau tak dibendung mungkin boleh menjejaskan pelajaran.”

            “Ada-ada je kau kan. Apa dia?” Hidayu Aishah bersuara tegas. Dia sememangnya tidak suka berurusan dengan lelaki jika tiada sebarang keperluan.

            “Aku tahu kau mesti ada dengar gosip liar yang langsung tak merangsang sel-sel otak untuk berhubung dekat fakulti kita kan? And aku tahu kau mesti stress pasal tu. So, aku nak cadangkan sesuatu pada kau ni.”

            “Aku malas nak layan benda-benda macam tu. Yang kau beria sampai call aku ni kau nak cadangkan apa?”

            “Aku nak cadangkan supaya kita couple. Kau sudi tak?”

            “Astaghfirullahal`adzim, Aden! Apa yang kau merepek ni?” Hidayu Aishah yang terkejut dengan cadangan Adenan Faiz itu serta-merta terbangun dari pembaringan.

            I’m so sorry Hida. Kau jangan salah faham pula. Matlamat aku cuma nak mereka stop cakap pasal kita. Kalau mereka tahu kita couple, maka lojiklah kalau mereka nampak macam aku layan kau dengan baik.”

            I’m so sorry, Aden. Aku tak boleh terima cadangan kau yang ni. Kalau kita couple sekalipun mana ada jaminan yang mereka  akan tutup mulut. Kita seolah-olah mengiyakan apa pandangan mereka pada kita. Sedangkan itu semua tak betul. Kau tolong aku sama macam kau tolong kawan-kawan kita yang lain. Tak ada bezanya pun. Aku pun tak faham apa yang mereka nampak lainnya.” suara Hidayu Aishah sudah sedikit meninggi.

            Okay, I’m so sorry Hida. Aku tak patut cadangkan kita couple.”

            It’s okay Aden. Kita manusia tak lepas dari melakukan kesilapan. Aku tak nak couple walau dengan kau atau orang lain sekalipun. Allah dah pesan jangan menghampiri zina dan couple tu dah selangkah ke arah zina. Pasal apa yang mereka gosipkan tu biarlah. Allah tak akan uji kita kalau kita tak mampu untuk hadapi ujian tu. Ujian yang Allah beri tu adalah nikmat sebenarnya. Peluang untuk kita meningkatkan keimanan. Wallahu`alam.” Suara Hidayu Aishah kini sudah mengendur.

            “Astaghfirullaahal`adzim. Aku hampir terpedaya  dengan hasutan syaitonirrojim. Thanks Hida sebab tolak cadangan aku ni. Baru aku tersedar.”

            Usai menjawab salam Adenan Faiz, Hidayu Aishah memperbaharui wudhuknya dan duduk menghadap komputer riba di meja belajarnya. Dia menadah tangan membaca doa untuk memulakan pelajaran dan usai membaca doa, dia memainkan lagu Muhasabah Cinta. Lirik lagu tersebut sungguh mendalam dan tidak pernah gagal untuk membuatnya insaf akan kekerdilan dirinya di sisi Yang Maha Esa. Dia biarkan lagu itu terus berulang-ulang sepanjang dia menyiapkan tugasannya.

*************

Pada masa yang sama di suatu sudut yang lain…

Astaghfirullahal`adzim. Apa yang aku dah buat ni? Macam manalah aku boleh sanggup nak ajak anak dara orang menghampiri zina. Astaghfirullahal`adzim. Ampunkan kelalaianku Ya Allah. Nasib baik Hida tak terima cadangan tu, kalau tak, sampai sekarang aku tak tersedar. Memanglah matlamat aku nak orang lain tutup mulut, tapi betul macam yang Hida cakap tadi, walau kami couple sekalipun belum ada jaminan yang mereka akan tutup mulut. Dan aku hampir-hampir terlupa yang matlamat tidak menghalalkan cara. Hida tu terlalu baik, layakkah dia untuk kau, Aden? Sedangkan Allah sendiri dah terang-terang cakap perempuan yang baik untuk lelaki yang baik. Mohonlah kalau kau nak berubah jadi baik, niat kerana Allah Ta’ala bukan kerana Hida.

Adenan Faiz meramas-ramas kepalanya ketika dia sedang berperang dengan diri sendiri. Hanif Hanzalah yang sedari tadi melihat kerenah rakannya itu menggeleng-gelengkan kepala. Dia sebenarnya sudah dapat mengagak perkara yang merunsingkan rakannya itu. Tidak lain dan tidak bukan gosip yang melanda antara Adenan Faiz dan Hidayu Aishah.

“Aden, kau kenapa ni dari tadi aku tengok runsing semacam?” Hanif Hanzalah memulakan bicara. Dibiarkan seketika kerjanya di komputer riba. Lagu yang terpasang di komputer ribanya juga dibiarkan terus beralun mengisi ruang bilik tersebut. Dia menghampiri rakannya yang duduk bersandar di katil.

“Eh, takde apa-apalah Anip. Kau jangan risau,” balas Adenan Faiz acuh tidak acuh.

“Kau jangan nak menipu aku lah Aden. Sejak tadika aku ni berjodoh dengan kau. Sekilas ikan di air aku dah tahu jantan ke betina, inikan pula sekilas air muka kau tu, aku dah tahu runsing ke gembira.”

“Amboi Anip, kau bab-bab mengkaji riak muka orang ni laju je kan? Tak payah nak guna ayat berjodoh sangatlah. Tak pasal-pasal orang label kita gay. Dah lah ke mana-mana pun kita memang selalu berdua. Aku straight okey, tak bengkang-bengkok.”

“Hampeh punya kawan! Aku pun straightlah! Aku buat ayat nak sedapkan hati dia tapi dia balas macam tu pula. Betul-betul lah bro, kau okey tak ni? Risau pasal gosip liar kau dengan Hida ek? Jangan risaulah bro, Hida is a very tough girl. I’m 200% sure that she can get through this tough time.” balas Hanif Hanzalah kepada serangan Adenan Faiz sebentar tadi.

“Insya Allah. Harap-harap macam tu lah. Aku ni ha yang patut kena tarbiyah. Eh, kau tengah play lagu apa ni Nip?”

“Oh, ini lagu Nantikan Ku di Batas Waktu.”

“Eh, macam bukan Anip yang aku kenal pula. Haha. Siapa yang menanti dan dinanti ni?”

“Kalau ada orang yang sudi menanti, adalah orang yang dinanti.”

“Ha macam nilah kawan! Kata berjodoh dari tadika, sikit pun kau tak cerita.”

Chill out, bro. Insya Allah one sweet day, I’ll tell you. This I promise you. Fuyoo~ Macam lagu N’Sync pula. Haha.”

“Haha. Okey, aku akan tuntut Nip. Ingat tu.”

Adenan Faiz menghayati bait-bait lagu Nantikan Ku di Batas Waktu. Dalam hati, dia melafazkan doa, jika ini jodoh yang terbaik buatnya, dia memohon agar si dia diberi kekuatan untuk menantinya. Menanti Adenan Faiz yang lebih baik dari sekarang.

*************

Menghampiri bulan akhir sebelum peperiksaan akhir bermula merupakan masa yang kritikal bagi setiap mahasiswa. Bagi pelajar tahun akhir pula sudah tentu tekanannya lebih tinggi berbanding biasa. Namun, pihak universiti tidak memandang remeh masa kritikal ini. Pasti ada persatuan yang akan menganjurkan aktiviti bagi mendekatkan para pelajar kepada yang Maha Esa. Munirah berhajat untuk mengajak Hidayu Aishah dan Husna Asyikin mengikuti satu ceramah yang akan diadakan pada hari Jumaat malam Sabtu nanti. Sudah tiga minggu mereka tidak bersua kerana masing-masing mempunyai komitmen yang tersendiri.

Bagi Hidayu Aishah pula, pelawaan Munirah bagi mengikuti ceramah di masjid universiti mereka merupakan sesuatu yang sangat dia syukuri. Setelah lama bergelumang dengan segala macam tugasan yang melemaskan, menyertai ceramah seperti ini ibarat terapi untuk mindanya. Membawa minda untuk bersantai dan berfikir mengenai perkara selain dari pelajaran lalu persetujuan diberikan kepada Munirah dan Husna Ayikin juga turut bersetuju untuk ikut serta.

            Seusai ceramah, mereka bertiga beratur untuk mengambil kudapan yang telah disediakan oleh pihak penganjur. Setelah itu mereka mengambil keputusan untuk terus pulang ke kolej kediaman. Sewaktu mereka bertiga menuruni anak tangga untuk ke tempat menunggu bas, mereka terpandang dua orang pelajar lelaki yang sudah berada di hujung anak tangga dan berjalan ke arah tempat yang bakal mereka tujui. Sebaik sahaja mereka bertiga tiba di tempat menunggu bas, salah seorang dari pelajar lelaki tadi menegur Munirah.

            “Assalaamu`alaikum. Ra, awak datang ceramah tadi juga?” ujar pemuda tersebut. Di dalam hati dia sudah mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi. Munirah hanya tersenyum kecil. Hidayu Aishah dan Husna Asyikin sudah berpandangan sesama sendiri dengan dahi yang sudah berkerut-kerut.

            “Ra?!” ujar Hidayu Aishah dan Husna Asyikin serentak seraya memandang Munirah seperti meminta penjelasan.

            “Wa`alaikumussalam. Ha’ah Hanz. Alhamdulillah berkesempatan untuk join ceramah tadi. Kena berterima kasih pada Hida dan Nash yang sudi temankan saya.” Munirah menjawab soalan dari pemuda tadi. Hidayu Aishah dan Husna Asyikin makin keliru dan dahi berkerut seribu.

            “Hanz?!” sekali lagi Hidayu Aishah dan Husna Asyikin bersuara. Kali ini memandang lelaki yang digelar Hanz pula.

            “Ya Allah, kau orang janganlah terkejut macam tu sekali! Aku memang akan beritahu kau orang pun tapi dah alang-alang jadi macam ni aku beritahu teruslah ya. Kenalkan ni Hanif Hanzalah. Insya Allah kami akan bertunang lepas habis final exam ni nanti.”

            Terbeliak mata Hidayu Aishah dan Husna Asyikin dengan berita yang begitu mengejutkan itu.

            For serious? Why so sudden? Anip, bila masa kau ushar Moon ni?” soal Husna Asyikin.

            Seriouslah weyh. Sorrylah, mana aku tahu kau orang berdua kenal Ra. The rest of the story aku rasa kau orang patut claim from Ra sendiri. Eh, Ra, kenalkan ni jodoh saya sejak tadika, Adenan Faiz. You can call him Aden.” Hanif Hanzalah berbicara sambil turut mengenalkan Adenan Faiz kepada Munirah. Adenan Faiz hanya tersenyum dan menunduk sedikit tanda hormat, begitu juga dengan Munirah. Sebetulnya Adenan Faiz sudah diberitahu oleh Hanif Hanzalah yang dia bakal bertunang tetapi baru hari ini dia diperkenalkan dengan bakal tunangan jodoh-sejak-tadikanya itu.

            “Amboi, Anip. Kalau Aden ni jodoh kau sejak tadika, Moon ni sejak bila?” tanya Husna Asyikin.

            “Ra jodoh aku sejak di luh mahfuz.” jawab Hanif Hanzalah dengan yakin dan tersengih sehingga menampakkan gusinya. Munirah sudah tertunduk malu.

            “Cewahh bukan main lagi Anip kita ni ya. Sekarang dia panggil Moon, Ra. Dah kahwin nanti lagi panjang dia panggil Moon.” Hidayu Aishah bersuara. Adenan Faiz hanya memasangkan telinga tanpa memberikan sebarang komen. Sejak peristiwa dia mengajak Hidayu Aishah untuk ber‘couple’, dia sudah segan untuk berbicara dengan Hidayu Aishah. Dia hanya berhubung apabila ada isu berkaitan dengan tugasan pelajaran.

            “Apa dia Hida?” Husna Asyikin pula yang teruja bertanya. Hanif Hanzalah dan Munirah turut memandang Hidayu Aishah dengan tanda tanya.

            “Dah kahwin nanti Anip panggil Moon, ‘Rasa sayang hei, rasa sayang sayang hei, hei lihat nona jauh rasa sayang sayang hei’” ujar Hidayu Aishah sambil membacakan lirik lagu ‘Rasa Sayang’. Kesemua yang mendengar sudah ketawa riang.

*************

Setibanya mereka bertiga di kolej kediaman, mereka terus menuju ke bilik Husna Asyikin. Secara kebetulan, sudah menjadi kebiasaan bagi rakan sebilik Husna Asyikin untuk pulang ke rumah pada hujung minggu kerana rumahnya tidak begitu jauh dari universiti. Tidak sabar Hidayu Aishah dan Husna Asyikin ingin bertanya dengan lebih lanjut perihal bakal tunangan Munirah yang tidak mereka sangka adalah Hanif Hanzalah. Sebaik sahaja mereka membuat bulatan kecil di bawah kipas bagi menyejukkan badan yang kepanasan, Husna Asyikin yang terlebih teruja terus bersuara.

            “Okey Moon, kali ni kau tak boleh nak cerita main points je. Kau wajib cerita full version, aku tak peduli nak ambil masa bermusim-musim sekalipun.”

            “Haha. Ambil kau! Wajib tu. Habislah kau Moon. Kami akan korek cerita sampai ke lubang cacing. Haha.” Hidayu Aishah pula menambah. Munirah sudah ketawa dengan gelagat rakan-rakannya itu.

            “Okey insya Allah aku cerita. Aku rasa Allah dah beri aku kekuatan untuk cerita pasal ni pada kau orang berdua.” Ujar Munirah bersahaja. Mata Hidayu Aishah dan Husna Asyikin sudah tertumpu padanya. Dia menyambung bicara.

            “Aku kenal Hanz masa cuti semester yang lepas. Kenal bukan dalam erti kata kami memang sengaja berkenalan tapi lebih kepada selepas dia dah selamatkan aku.”

            “Selamatkan kau? Ya Allah Moon, ada apa-apa terjadi pada engkau ke? Kenapa tak beritahu kami berdua?” Hidayu Aishah sudah bersuara bimbang. Terkejut sebenarnya dengan mukadimah penceritaan dari Munirah. Husna Asyikin turut mempamerkan riak terkejut. Berdebar-debar hati mereka menunggu Munirah menyambung ceritanya.

            “Salah aku juga sebenarnya. Macam yang Hida pernah cakap pada aku semester lepas, kalau dah pakai pun pakaian cap ‘rogollah saya’, memang macam minta kena rogollah. Alhamdulillah dia tak sempat buat apa-apa pada aku. Hanz pukul kepala dia sampai pengsan dan selamatkan aku dari dia.”

            “Ya Allah, alhamdulilah kau takde apa-apa. Macam mana Hanz boleh ada dekat situ? Then kau buat laporan polis tak?” giliran Husna Asyikin pula bertanya kepada Munirah. Munirah hanya menggelengkan kepala.

            “Aku tak berani nak buat laporan polis, plus aku malu dan takut. Waktu tu Hanz pun ada offer nak hantar aku ke balai polis untuk buat laporan tapi aku tolak. Aku suruh dia hantar aku balik rumah je. Hanz cakap dia sebenarnya nampak yang lelaki tak guna tu curi-curi letak something dalam minuman aku masa aku pergi ladies. Then dia cakap lepas aku minum air tu aku nampak macam pening-pening dan lelaki tak guna tu pimpin aku ke kereta dia. Masa tu Hanz tengah tunggu kawan-kawan dia nak makan dekat kedai tu tapi bila dah nampak apa yang jadi pada aku dia terus ekori kami. Dipendekkan cerita, Hanz pukul lelaki tu dan selamatkan maruah aku.” Hidayu Aishah dan Husna Asyikin terus menerpa Munirah. Mereka bertiga berpelukan.           

            “Ya Allah, Moon kenapa kau tak pernah cerita pada kami selama ni.” Hidayu Aishah dan Husna Asyikin sudah mengalirkan air mata mendengar cerita dari Munirah. Munirah pula yang tenang dengan situasi itu.

            “Kawan-kawan mohon lepaskan aku, nak lemas dah ni, aku okey insya Allah.” Ujar Munirah namun Hidayu Aishah dan Husna Asyikin masing-masing tidak melepaskan pelukan.

            “Sudah-sudah la tu weih. Aku dah nak lemas dah ni. Nanti apa-apa jadi pada aku tak kahwin la si Hanz tu. Menduda sebelum masa. Haha.” mendengar Munirah berkata sedemikian, meletus tawa dari Hidayu Aishah dan Husna Asyikin seraya melepaskan pelukan.

            “Amboi ‘Rasa sayang hei’, sejak nak bertunang ni tak habis-habis dengan Hanz dia.” ujar Husna Asyikin sambil mengelap sisa air mata.

            “Tahu takpe. Sangat pelik bila kau panggil Anip tu Hanz. Ye la kami dah biasa panggil dia Anip kat kelas, alih-alih bila kau panggil dia Hanz sangat janggal dengar. Nak cair tahi telinga tau. Haha.” tambah Hidayu Aishah pula.

            “Nak buat macam mana weih. Dah terbiasa panggil dia Hanz lah. Dari awal dia perkenalkan diri dia Hanz. Katanya sebab muka dia ala-ala Hans Isaac padahal aku tengok tak gaya pun. Cuma sebab kulit dia cerah je.” Munirah pula memberikan komen.

            “Haha. Nak buat macam mana, dah kau dapat orang yang perasan Mat Romeo padahal takde pengalaman bercinta pun. But it’s kind of cute to hear you call him Hanz and he calls you Ra.” komen Hidayu Aishah pula.

            “Haip! Apa kutuk Hanz ni, bakal imam aku tu!” Kata Munirah sambil sengaja buat muka yang kononnya garang. Hidayu Aishah dan Husna Asyikin hanya mampu ketawa. Di dalam hati mereka panjatkan doa agar kebahagian sahabat mereka ini akan berkekalan sampai syurga.

            “Tapi kau orang nak tahu tak part yang bila aku teringat balik, aku akan tergelak?” Munirah memancing minat Hidayu Aishah dan Husna Asyikin untuk tahu lebih lanjut.

            “Pasal Hanz kau ke? Apa dia?” Husna Asyikin sudah teruja. Munirah menyambung bicara.

            “Lepas Hanz selamatkan aku dan hantar aku balik rumah, tak pasal-pasal dia dapat sedas penumbuk free dari ayah aku. Ayah aku ingatkan dia yang cuba nak buat benda tak senonoh pada aku. Hanz tu pula mungkin dia jadi blur lepas kena tumbuk dia tadah telinga je apa ayah aku marah-marah dia. Aku yang tengah trauma tu pula yang terangkan pada ayah aku yang sebenarnya boyfriend aku sendiri yang cuba untuk ragut maruah aku.” Hidayu Aishah dan Husna Asyikin sudah terbeliak mata mendengar cerita Munirah. Tidak sangka bahawa Hanif Hanzalah belum apa-apa sudah merasa penangan penumbuk sulung bakal bapa mertua.

            “Dan aku rasa tu salah satu sebab ayah aku terima dia jadi menantu kot. Haha.”

*************

Dua tahun dua bulan kemudian…
           
Para tetamu masing-masing menikmati menu yang tersedia. Ada di antara mereka yang mengambil kesempatan untuk bergambar dengan rakan-rakan lama dan juga di pelamin nan indah. Tidak terkecuali segelintir yang berborak panjang setelah sekian lama tidak berjumpa. Majlis perkahwinan rakan-rakan ibarat reunion kecil-kecilan semua yang sudah lama tidak berjumpa. Waktu inilah mereka bertukar-tukar cerita dan ada juga yang akan tersengih-sengih menghulurkan kad jemputan untuk majlis perkahwinan mereka pula.

            Hidayu Aishah sibuk melayan rakan-rakan yang sudah lama tidak berjumpa sejak tamat pengajian. Rakan-rakan yang baru tiba akan dipelawa untuk menjamu selera manakala rakan-rakan ingin pulang akan dia beri beg kecil dari keluarga pengantin. Ibunya turut sibuk melayan tetamu. Hidayu Aishah ditugaskan untuk menguruskan rakan-rakan dari universiti memandangkan kebanyakan rakan-rakan si mempelai merupakan rakan-rakannya juga. Ibunya turut hadir dan membantu kerana sudah kenal dengan pengantin perempuan yang sememangnya sahabat baik anaknya dan sering berkunjung ke rumah mereka.

            Hidayu Aishah yang sudah kehausan menghampiri tempat yang terdapat air minuman. Belum sempat untuk dia capai gelas minuman yang tersedia sudah ada tangan lain yang terlebih dahulu mencapai gelas tersebut. Air anggur diisikan sehingga hampir penuh dan gelas tersebut disuakan kepadanya.

            “Adakah ini dinamakan cinta?” ujar si pemuda yang menyuakan air tersebut. Hidayu Aishah mengambil gelas yang disuakan.

            Or maybe not.” Sambung pemuda tersebut setelah ternampak cincin di jari manis Hidayu Aishah. Dia kemudiannya mengisikan air ke dalam gelas lain pula untuk dirinya.

            “Aden, ini namanya air dalam gelas, bukan cinta. Thanks.” ujar Hidayu Aishah dengan senyuman bersahaja. Terkenang pula dia di saat Adenan Faiz berkata lebih kurang sedemikian semasa memulangkan bekas penselnya yang terjatuh berdekatan tempat Adenan Faiz suatu ketika dahulu. Adenan Faiz hanya mampu membalas senyuman itu.

            How’s life?” tanya Hidayu Aishah kepada Adenan Faiz. Sudah sekian lama mereka tidak berjumpa, tidak dia sangka mereka akan berjumpa kembali pada majlis perkahwinan Husna Asyikin ini.

            Alhamdulillah. Everything’s okay. How about you?

            Alhamdulillah. A few things happen but I can get through them, insya Allah.

            “Hida dah lama sampai? Hida datang dengan siapa?” tanya Adenan Faiz.

“Kelmarin dah datang tidur rumah Nash. Seorang diri. Tapi balik nanti dengan my mom. Dia ada datang awal pagi ni.” jawab Hidayu Aishah. Agak janggal di telinganya untuk mendengar Adenan Faiz memanggilnya Hida kerana sebelum ini mereka berbahasa ‘aku-kau’. Adenan Faiz hanya mengangguk apabila mendengar jawapan yang keluar dari mulut Hidayu Aishah.

Kenapa aku rasa ada sesuatu yang berbeza pada Aden kali ni ya? Hmm… cuba ingat balik Hida... Ha, janggut sejemput tu! Patutlah dia nampak lain sikit. Dah ala carte dah. Eh, kau ingat Aden ni makanan ke ada ala carte dengan set bagai? Dah ala ustaz dah, baru betul. Hehe.

Dari jauh kelihatan kelibat Hanif Hanzalah bersama Munirah muncul. Adenan Faiz meletakkan gelas yang telah digunakan olehnya dan Hidayu Aishah ke tempat yang telah disediakan lalu mereka bergerak menghampiri Hanif Hanzalah dan Munirah. Adenan Faiz bersalaman dan memeluk Hanif Hanzalah manakala Hidayu Aishah pula bersalaman dan memeluk Munirah.

“Dah berapa bulan? Lupa pula aku. Baby boy or girl? Wah, tak sabarnya aku nak jadi mak cik!” tanya Hidayu Aishah sambil tangannya mengusap perut Munirah.

“Kalau ya pun Mak Cik Hida, tanyalah kami ni dah makan ke belum. Kalau aku makan maknanya baby dalam ni pun makan juga tau. Alhamdulillah dah masuk enam bulan. Kami tak nak scan jantina, tak kisah baby boy or girl janji sihat.” ujar Munirah sambil menekankan perkataan ‘Mak Cik’. Si suami hanya memandang dua sahabat baik itu berbicara.

“Haha. Sorrylah, excited nak jadi mak cik punya pasal. Hehe. Kau orang jemputlah makan. Aku ada kerja sikit ni. Sekejap lagi insya Allah, Nash dengan suami dia siap untuk bersanding pula. Aku pergi dulu tau, nanti aku datang semula.”

Okay, no worries. Pandai-pandailah si Hanz ni bagi bini dia makan. Hehe.” balas Munirah memberi jaminan kepada Hidayu Aishah. Hidayu Aishah bergerak pergi meninggalkan mereka.

            Hanif Hanzalah memberi isyarat mata kepada Adenan Faiz ke arah Hidayu Aishah yang baru berlalu pergi. Adenan Faiz hanya mengangkat kedua-dua belah bahunya. Munirah perasan akan bahasa badan kedua-dua sahabat baik itu.

            “Aden, tak teringin nak jadikan Hida kekasih halal ke?” tanya Munirah.

            “Betul tu Aden. Aku tahu kau sebenarnya sejak zaman belajar lagi sukakan Hida kan?” kata Hanif Hanzalah pula. Dua orang suami isteri ini seperti sudah berpakat pula.

            I just don’t know. What do you guys expect? Hida dah bertunang kan? Aku nampak dia pakai cincin. Tak kan aku nak rampas dia dari tunang dia.” Adenan Faiz bersuara perlahan. Cukup untuk didengari oleh Hanif Hanzalah dan Munirah.

            “Oh, pasal tu ke. Ajal maut, jodoh pertemuan kan di tangan Tuhan. Hida memang dah bertunang tapi dah ditakdirkan tunangan dia meninggal dunia tak lama lepas mereka bertunang. And insya Allah aku rasa dia takda calon lain buat masa ni. Pasal cincin tu kau kena tanya dia sendirilah kenapa dia still pakai.”  jelas Munirah panjang-lebar.

            Seriously? Innalillahiwainnailaihirajiun.” kata Adenan Faiz.

            Yup, seriously.” ujar Munirah pula.

            “Eh, mak Hida ada datang juga kan? Boleh tak kau orang kenalkan kat aku yang mana satu?” kata Adenan Faiz sambil matanya sudah melilau memandang sekeliling mencari kelibat yang berkemungkinan adalah ibu kepada Hidayu Aishah. Munirah sudah memandang suaminya di sisi dan mereka berdua sudah tersenyum simpul di bibir dan di hati.

*************
           
Usai Adenan Faiz mendendangkan lagu Kau Ditakdirkan Untukku buat isterinya yang tercinta, dia menghampiri si isteri yang duduk di sofa. Hidayu Aishah kelihatan tersenyum gembira sepanjang suaminya mendendangkan lagu tersebut. Dia mencapai kedua-dua belah tangan isterinya dan mengucup lembut tangan isterinya itu.

            Abang, I’m so sorry. Because of me, we have to cancel our dinner date.” Hidayu Aishah melafazkan kata-kata maaf kepada suaminya.

            Hey, it’s okay, dear. Don’t you remember that you are like this because of me?And this is just our second anniversary, we have many more anniversaries to celebrate. Insya Allah. Dah, jangan nak dok minta maaf lagi. Dekat seratus lima puluh juta kali dah abang dengar awak minta maaf. Yang penting kita bersyukur dan berdoa pada Allah agar jodoh kita berpanjangan sampai syurga. Aamiin.” Adenan Faiz bersuara bagi mengurangkan rasa bersalah isterinya yang sejak pagi tidak henti-henti meminta maaf.

            “Aamiin. Abang hiperbola sangatlah. Mana ada saya minta maaf sampai seratus lima puluh juta kali. Daripada saya minta maaf sampai seratus lima puluh juta kali, lebih baik saya berzikir sampai seratus lima puluh juta kali.”

            “Tahu takpe! So, please stop saying sorry. It’s not your fault my dear.” Adenan Faiz mengusap lembut pipi isterinya. Hidayu Aishah hanya mampu tersenyum dan menganggukkan kepala.

            “Ok, abang ada one last song nak dedicate dekat awak. Buat isteri abang yang baik hati ni.” Adenan Faiz mencium ubun-ubun isterinya sebelum kembali berdiri dan bersungguh-sungguh memegang alat kawalan jauh yang dia jadikan seperti mikrofon. Dia mula mendendangkan sebuah lagu popular berjudul ‘Can’t Take My Eyes Off Of You’.

            Hidayu Aishah tersenyum gembira berselang ketawa kecil dengan gelagat suaminya itu. Mana tidaknya, si suami telah menukar lirik lagu dari ‘can’t take my eyes off of you’ kepada ‘can’t take my heart off of you’. Suatu perkara yang kecil kalau dinilai dengan mata kasar tetapi cukup untuk membuat dirinya berasa dihargai dan disayangi. Tidak putus-putus dia berdoa agar jodoh mereka berkekalan sampai syurga. Dia bersyukur dengan segala nikmat yang Allah kurnia.      

            ‘Sayang, dengar tak tu? Cinta hati kita. Insya Allah nanti bila sayang dah keluar kita minta siaran ulangan ya.’ Hidayu Aishah bermonolog dalaman sambil mengusap-usap perutnya. Dia tersenyum bahagia membayangkan kehidupan mereka yang bakal ceria berganda-ganda dari sediakala. Semuanya dengan izin-Nya.

- TAMAT -

                         
Kepada semua yang sudi membaca,

Terima kasih kerana meluangkan masa anda untuk membaca karya saya yang tidak seberapa ini. Ini adalah cubaan keempat saya menulis cerpen. Segala kritikan dan teguran amatlah saya alu-alukan. Andai tidak keberatan, boleh tinggalkan komen (positif mahupun negatif) Mucho gracias~! Terima Kasih~! *mohon baca macam nada Alleycats ;) *

.:|[ Suha Fasihah ]|:.

No comments:

Post a Comment

manis bicara indah tutur kata...
selamat meninggalkan jejak kasih anda...