Social Icons

Saturday, January 17, 2015

eNovel | Saya Isteri Baru Belajar .:|[ BAB 7 ]|:.


ASSALAAMU`ALAINA WA`ALA `IBADILLAHISSOLIHIN. Najla Naqiyah memberi salam sebelum dia masuk ke dalam rumah. Beg beroda yang sarat dengan stok novel dan pelbagai jenis buku serta beberapa barang lain dia bawa masuk ke dalam. Setelah memastikan pintu rumah dan grill berkunci, dia mengheret beg beroda tersebut ke ruang tamu dan diletakkan di tepi sofa. Suis kipas dia petik dan sejurus itu dia menuju ke arah pintu gelangsar. Dibukanya pintu gelangsar tersebut berserta grill dan dia melangkah ke balkoni.

Najla Naqiyah pandang pemandangan yang baru sehari tidak dia lihat. Tiada apa-apa yang menarik. Trafik bergerak menghala ke Shah Alam dan menghala ke Kuala Lumpur seperti biasa. Masih lagi menghadap sebuah bangunan milik Universiti Malaya dan jauh di depan sana masih dapat melihat dari jauh bangunan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Okey, ini sangat poyo Jee! Baru sehari kau tak balik sini memang takkan ada apa-apa perubahanlah.

Najla Naqiyah kembali masuk ke dalam rumah dan grill dikunci tetapi pintu gelangsar terus dibiarkan terbuka. Televisyen dihidupkan dan tudung dibuka lalu dicampakkan ke arah sofa. Tanpa membuang masa dia terus membawa diri ke arah dapur. Mug diambil dan pintu peti sejuk bahagian sejuk beku dibuka. Beberapa ketul ais diambil dan dimasukkan ke dalam mug. Seterusnya dia isi mug dengan air mineral yang tersedia. Langkah kaki kembali dihalakan ke ruang tamu. Dia menghenyakkan diri di atas sofa. Air diteguk bagi menghilangkan dahaga.

Nafas ditarik dan dihembus perlahan-lahan. Sambil tersenyum dia memandang sekeliling rumah. Entah kenapa dia membuat keputusan yang boleh masuk kategori gila bagi seorang makhluk yang bernama Najla Naqiyah. Semalaman dia tidak tidur mengemas stok buku dan beberapa barang yang ingin dia bawa pulang. Pagi-pagi lagi kalau diikutkan hati ingin terus dia bawa diri untuk pulang tetapi berjaya dihalang oleh si ibu dan si abang. Ibunya memberi syarat jika dia ingin terus pulang dia perlu terlebih dahulu makan tengah hari bersama-sama.  Hasilnya, makan tengah hari mereka pada hari Ahad itu adalah pada jam 11.35 pagi setelah Najla Naqiyah dengan bersungguh-sungguh membawa ibunya ke dapur untuk memasak masakan tengah hari lebih awal dari biasa. Dia dengan ringan tulangnya menolong si ibu memasak lauk-pauk untuk mereka bertiga.

Selesai menikmati juadah, Najla Naqiyah bagaikan lipas kudung berkemas dan membasuh pinggan mangkuk tanpa pertolongan dari Puan Nafisah mahupun Najmi Nazrin. Tergeleng-geleng kepala Puan Nafisah dengan gelagat anak bongsunya itu. Najmi Nazrin pula sudah puas memujuk adiknya itu supaya jangan pulang terlebih dahulu. Alasannya, dia masih belum puas untuk makan berjemaah bersama-sama. Selebihnya dia masih belum puas membuli dan mengusik si adik. Seronok dia apabila si adik yang sebelum ini susah untuk dia baca fikiran berjaya dia usik. Tidak dia sangka bahawa perkahwinan membawa perubahan kepada si adik. Semoga Jee bahagia dengan perkahwinan ni sebab kalau Jee tak bahagia, sampai mati aku akan rasa bersalah dan sampai mati aku takkan dapat maafkan diri aku sendiri.


Telefon yang berdering minta diangkat berjaya membawa Najla Naqiyah kembali ke alam nyata. Suara dari televisyen diperlahankan terlebih dahulu sebelum dia menjawab panggilan.

“Helo, Assalaamu`alaikum.” Kata Najla Naqiyah.

“Wa`alaikumussalam. Jee dah sampai rumah?” tanya si abang bimbang.

“Alhamdulillah sampai dah. Baru juga sampai ni ha.” Jawab Najla Naqiyah.

“Alhamdulillah. Duduk seorang diri tu elok-elok. Kalau ada apa-apa terus beritahu Along okey.” Najmi Nazrin berkata lebih kepada memberi arahan.

“Okey Along. No problem. Jee dah bertahun-tahun dengar ayat ‘kalau ada apa-apa terus beritahu Along’ tu. Don’t worry okay Long. Jee okey aje ni.” Najla Naqiyah tidak mahu si abang terus risau akan dirinya.

“Memanglah dah bertahun-tahun Jee dengar dah Jee tu adik Along. Kalau Along tak pesan dekat Jee nak pesan dekat siapa lagi? Kalau Jee tu sepupu anak tiri jiran sebelah rumah memang taklah Along nak pesan macam tu.” Balas Najmi Nazrin bersahaja. Najla Naqiyah sudah melepaskan tawa. Ada-ada je Along ni.

Rest assured big bro. Jee ingat pesanan Along. Alonglah satu-satunya abang Jee dunia dan akhirat.” Ujar Najla Naqiyah memberi jaminan.

“Bagus! Macam nilah adik Along. Pada Jee mungkin Along dah tak penting sebab Jee dah bawah tanggungjawab Fitri tapi pada Along selagi Along bernafas, Jee masih lagi sebahagian dari tanggungjawab Along. You are my cute lil sister long before you become Fitri’s wife. Remember that!” Najmi Nazrin mengingatkan si adik. Najla Naqiyah sudah terharu. Along ni saje je buat ayat touching macam tu. Along penting buat Jee tahu! Along tetap abang Jee dulu, kini dan selamanya okey. Sayang Along ketat-ketat gitu…

“Baiklah Alongku sayang. Jee sentiasa ingat.” Kata Najla Naqiyah.

Hmm… Good then. Eh, adikku sayang, Along sebenarnya nak tanya something, tadi lupa gila nak tanya, dok pujuk Jee jangan balik sampai lupa nak tanya persoalan yang penting. Jee sebenarnya ni dah minta izin dari Fitri ke Jee balik sana awal?” tanya Najmi Nazrin.

“Perlu minta izin ke Long? Jee bukannya nak pergi shopping ke apa, Jee balik rumah kami aje pun.” Jawab Najla Naqiyah.

“Najla Naqiyah!!” Najmi Nazrin sudah meninggi suara apabila mendengar jawapan dari si adik. Segera dia beredar ke dalam biliknya supaya si ibu yang turut berada di ruang tamu ketika itu tidak mendengar bebelan seterusnya buat si adik.

“Jee sedar tak apa yang Jee dah buat ni?” tanya Najmi Nazrin sejurus pintu biliknya dia tutup. Si adik di hujung talian sudah menjarakkan telefon dari telinga akibat suara si abang yang begitu kuat mengetuk gegendang telinganya.

“Jee cuma balik rumah kami aje Long bukannya Jee buat benda yang tak senonoh yang menjatuhkan maruah suami Jee.” Jawab si adik membela diri. Along tak faham dan takkan faham! Jee sendiri tak terfikir yang Jee akan balik sini seawal ni. Jee rindu orang tua tu Along faham tak? Balik sini je boleh buat Jee rasa dekat dengan dia. Najla Naqiyah memberontak di dalam hati. Tidak sedar yang dirinya sudah mengakui ada rindu yang hadir buat si suami.

“Ya Allahu Ya Rabbi… Najla Naqiyah, Jee sedar tak yang seorang isteri perlu minta izin suami sebelum keluar rumah? Atas urusan apa-apa sekalipun Jee sepatutnya beritahu Fitri dulu. Waktu Jee pergi kursus praperkahwinan dulu ustaz atau ustazah takde beritahu ke? In case mereka lupa nak beritahu ataupun Jee yang lupa apa yang mereka beritahu, ni Along nak ingatkan Jee, seorang isteri wajib minta izin suaminya sebelum keluar dari rumah.” Najmi Nazrin bersuara tegas. Perkataan ‘wajib’ itu dia tekankan. Naik gerun Najla Naqiyah mendengar nada suara si abang. Abangnya sangat jarang marahinya tetapi sekali si abang melepaskan kemarahan bermakna memang dia betul-betul marah.

“Okey Along, Jee mengaku yang Jee salah. Jee minta maaf. Puas hati? Yang Along tu nak marah-marah kenapa? Dah tak reti nak tegur orang elok-elok?” Najla Naqiyah memberanikan diri untuk berkata-kata walaupun dengan suara yang tertahan-tahan sambil menahan sebak di dada serta air mata yang mungkin akan jatuh pada bila-bila masa.

“Tengok tu! Bila orang cakap ada je yang dia nak jawab. Along takkan saja-saja nak marah Jee tanpa sebab. Along cakap ni sebab Jee tu adik Along. Jee kena fa…” belum sempat Najmi Nazrin menghabiskan ayatnya Najla Naqiyah sudah memutuskan talian. Air matanya jatuh berjujuran. Sedih apabila dimarahi sebegini oleh orang yang dia sayang walaupun dia harus akui sememangnya dirinya sendiri yang bersalah dan mencari masalah.

Najla Naqiyah menukar posisinya dari duduk kepada berbaring di atas sofa. Air mata yang sememangnya tidak dapat dia bendung semakin laju menjamah pipi. Pandangan matanya semakin lama menjadi semakin kabur. Perlahan-lahan dia pejamkan matanya. Membawa segala perasaan yang bercampur-baur bersama.



NAJMI NAZRIN campak telefon pintarnya ke atas katil sambil mengambil tempat duduk di birai katil. Tangannya meramas-ramas rambut. Dia pasti yang si adik sedang menangis dimarahinya sebegitu. Dia sendiri tidak pasti bila kali terakhir dia memarahi si adik dan dia tahu adik kesayangannya itu memang sensitif apabila dimarahi, pasti berjuraian air matanya membasahi pipi. Najmi Nazrin kuatkan hati. Dia tidak mahu mendail nombor telefon si adik sekali lagi. Si adik perlu refleksi diri.

Sudahnya Najmi Nazrin bangun dan memulakan langkah menuju ke ruang tamu. Dia duduk bersebelahan dengan si ibu yang sedang meluangkan masa dengan membaca buku. Alat kawalan jauh dicapai dan televisyen dihidupkan. Segera dia cari mana-mana saluran yang memaparkan berita sukan. Puan Nafisah menghentikan pembacaan dan membuang pandang ke arah anak terunanya.

“Jee dah sampai rumah?” tanya Puan Nafisah kepada si anak.

“Dah ibu. Jee cakap dia baru juga sampai rumah.” Jawab Najmi Nazrin memandang ibunya. Sekejap cuma dan dia terus mengalihkan pandangan pada skrin televisyen.

“Alhamdulillah dia dah sampai. Risau juga ibu dia sorang-sorang tu. Ibu ingat kejap lagi ibu nak call Jeelah.” Kata Puan Nafisah.

“Ibu nak call Jee? Tak payahlah bu. Kan Along baru aje call je. She’s just fine. Dia nak tidur tu, kan dia tak cukup tidur.” Najmi Nazrin segera memberi alasan supaya si ibu tidak meneruskan niat untuk membuat panggilan buat si adik. Dia bimbang jika si ibu bercakap dengan adiknya nanti, si ibu dapat mengesan si adik yang menangis melalui nada suara si adik.

“Alah itu Along yang call, ini ibu pula yang nak call. Kan lain tu. Tapi betul juga, biarlah Jee tidur dulu. Dia memang tak cukup tidur tu. Ibu pun tak faham kenapa Jee nak balik sana hari ni sedangkan Fitri mungkin seminggu di Singapore.” Puan Nafisah kembali menyambung pembacaannya. Najmi Nazrin sudah menarik nafas lega kerana si ibu tidak memanjangkan perbualan itu.

“Eh, Along tadi kenapa tiba-tiba sebut nama penuh Jee? Kuat pula tu.” tanya Puan Nafisah. Mendengar pertanyaan dari si ibu membuatkan Najmi Nazrin rasa tiba-tiba dia kekurangan oksigen untuk bernafas. Adoyai, nak jawab apa ni? Aku tak nak tipu ibu tapi dalam masa yang sama aku tak nak ibu risau pasal Jee. Ibu, ampunkan dosaku…

“Eh, takde apa-apalah bu. Along cuma terkejut Jee cakap dia lapar lagi tapi dah mengantuk gila. Macam biasalah Jee tu ibu, antara mengantuk dan lapar dia akan pilih layan rasa mengantuk. Dia tu kalaulah boleh tidur sambil makan agaknya dia orang pertama yang amalkan.” Jawab Najmi Nazrin. Sungguh hatinya rasa sangat bersalah kerana telah menipu si ibu. Puan Nafisah sudah tergelak kecil. Faham benar dengan perangai anak bongsunya itu.

“Itulah Jee tu memang ibu faham sangat. Confirm dia tidurlah tu. Jangan Fitri nanti tak cukup makan sudah, dah isterinya suka tidur. Kadang-kadang ibu sendiri tak percaya yang Jee dah berumah tangga. Perasaan ibu ni, ibu rasa macam Jee tu masih lagi anak kecil ibu.”

Hmm… Samalah ibu. Along pun kadang-kadang tak percaya yang Jee dah kahwin. Tok kadi tu berwakil walikan Along pula tu. Perasaan Along rasa macam Jee tu masih lagi budak hingusan yang Along selalu buli.” Najmi Nazrin sudah tersengih sendiri mengingatkan si adik. Terlupa seketika sengketa antara mereka yang baru tercipta. Puan Nafisah turut tersenyum. Dia menepuk paha anak terunanya.

“Jee dah lepas. Along bila pula? Ibu dah dapat menantu lelaki ni nak juga rasa ada menantu perempuan.” Puan Nasifah sudah tersenyum lebar memandang Najmi Nazrin. Si teruna sudah menelan liur saat mendengar soalan yang dilontarkan oleh si ibu.

Err… Along bu? Insya Allah. Bak lagu Afgan tu, jodoh pasti bertemu. Adalah tu jodoh Along dekat mana-mana tunggu masa untuk bertemu.” Najmi Nazrin tersengih memberikan jawapan yang dirasakan selamat. Erm, sekurang-kurangnya selamatlah buat masa sekarang kan?



MATA perlahan-lahan dibuka. Tangan kanan memegang kepala yang terasa berdenyut-denyut sambil tangan kiri menampung diri untuk bangun dari pembaringan. Televisyen masih terpasang seperti sebelum dia menutup mata. Suasana di dalam rumah agak kelam kerana selain daripada televisyen yang terpasang, tiada sebarang lampu yang menyala. Dipandangnya jam dinding yang sudah menunjukkan angka 7.05. Terduduk tegak dirinya melihat waktu yang dipaparkan pada jam dinding tersebut.

Ya Allah, dah subuh? Lamanya aku tertidur. Dari petang semalam sampai pagi ni! Memanglah tak perlu risau pasal solat sebab aku masih ‘cuti bulanan’ tapi takkan sampai lama macam ni sekali aku tidur? Nak jadi spesies giant panda tidur sampai 12 jam sehari ke apa aku ni? Haish.

Najla Naqiyah membuang pandang ke luar apartment. Pintu gelangsar masih terbuka sepertimana dia tinggalkan sebelum tertidur. Dahinya berkerut. Kenapa gelap semacam sedangkan dah 7.05 pagi? Selalunya duduk tingkat belas-belas ni cepat je nampak langit cerah. Segera telefon pintarnya dicapai dan jam pada telefon pintarnya yang telah disetkan berformat 24-jam diteliti. Buat masa sekarang dia malas ambil peduli sebarang panggilan yang tidak berjawab mahupun mesej yang masuk.

19:06

Najla Naqiyah menepuk dahi. Waktu Maghriblah Jee bukannya Subuh! Padanlah gelap semacam je kat luar. Tengok! Dah biul kepala otak kau tidur masa peralihan waktu. Sebab itulah Islam tak galakkan tidur selepas Asar. Ingat tu Jee! Masalahnya aku tadi lagi teruk, bukan setakat lepas Asar, sebelum Zohor lagi dah tidur. Tak beragak betul mata aku ni. Tahulah nak qadak aku tak tidur langsung malam tadi tapi janganlah sampai terlajak ke Maghrib.

Najla Naqiyah bangun dan memetik suis lampu. Terang-benderang kawasan ruang tamu itu. Setelah itu dia cepat-cepat bergerak ke arah pintu gelangsar dan ditutupnya pintu gelangsar tersebut. Sememangnya sudah menjadi amalannya baik di rumah ibunya atau di asrama dahulu dia akan menutup pintu dan tingkap sebelum waktu Maghrib. Setelah itu televisyen pula dia tutup. Dia terus bergerak menuju ke biliknya bagi membersihkan diri. Sementara belum azan Maghrib ni baik aku pergi mandi cepat-cepat, nanti lagi malam lagi takut nak mandi. Dahlah duduk sorang diri. Itulah Jee kau dah tahu kau tu spesies penakut yang kau buat keputusan berani mati balik sini awal-awal kenapa? Cari nahas namanya!



SELESAI menjamu selera dengan menu dari makanan tengah hari yang dibekalkan oleh Puan Nafisah, Najla Naqiyah membawa diri kembali ke sofa di ruang tamu. Televisyen dihidupkan supaya dapat memecah kesunyian. Telefon pintar dicapai dan senarai panggilan tidak berjawab diberi perhatian. Walaupun dia gembira yang semua panggilan tidak berjawab itu adalah dari si suami, namun hari ini dalam sejarah, dia tidak rasa segembira semalam. Pada saat ini dia lebih mengharapkan panggilan dari abangnya. Dia tahu yang abangnya itu takkan membuat panggilan terlebih dahulu. Mesej buat si suami dikarang seadanya dan dihantar melalui aplikasi WhatsApp. Setelah itu mesej buat abangnya pula dia taip dan hantar.

+ Assalaamu`alaikum… Along, jangan beritahu ibu pasal hal ni ya… Please… Jee janji lepas ni Jee tak buat lagi… Sorry Long…

Tidak lama selepas itu Najla Naqiyah buka kembali perbualannya dengan Najmi Nazrin di aplikasi WhatsApp. Huwaaa!!! Ini yang rasa nak menangis ni… Dah blue tick tapi Along tak reply. Maknanya Along dah baca tapi dia memang sengaja tak nak reply. Sampai hati Along buat Jee macam ni. Replylah apa-apa Long. Along dah tak sayang adik Along ni ke? Ini semua salah WhatsApp! Siapa suruh update bagi ada double blue tick tu? Kalau dulu double tick biasa je boleh lagi bersangka baik yang dia tak baca lagi mesej tu. Err, Jee, WhatsApp pun kau nak salahkan? Kalau tak suka tak payah guna! Pergi main jauh-jauh. Kalau tak pun kau pergi taip coding buat apps kau sendiri. Kau mampu? Hahaha! Najla Naqiyah berperang dengan diri sendiri di dalam hati.

Sudahnya dia mengambil keputusan untuk tidak terus merunsingkan diri memikirkan abangnya. Aku pun salah juga sebenarnya. Nanti-nantilah pujuk Along. Nak kena face-to-face kalau pujuk Along ni. Aku balik Shah Alam sekarang pujuk Along karang mahu Along tambah lagi satu sesi ceramah dalam keadaan marah, pergi balik pergi balik je kerjanya. So, baik aku diam bagi Along cool down dulu. Insya Allah marah Along tak lama. Bukan ke aku ni intan payung pengarang jantung Along? Najla Naqiyah membuat ayat menyedapkan hati.

Aplikasi WhatsApp di telefon pintar tidak terus dia tutup sebaliknya dia tenyeh WhatsApp Group AHAHAH. AHAHAH terdiri daripada Najla Naqiyah, Auni Atiqah dan Hasni Hidayah. Mereka bertiga menggelarkan diri mereka AHAHAH salah satunya adalah kerana penghujung nama mereka berakhir dengan huruf AH dan sebab lainnya adalah kerana apabila mereka bersama, mereka akan selalu ketawa. AHAHAH apabila disebut dari kiri atau kanan kedua-duanya adalah bunyi ketawa. Ia adalah lambang yang persahabatan mereka akan kekal sampai bila-bila tidak kira dari arah mana ujian yang datang melanda, mereka akan tetap bersama. Memikirkan kedua-dua orang sahabat baiknya itu sahaja sudah membuatkankan Najla Naqiyah tersenyum lebar. Segera mesej ditaip dan dihantar.

Jee: AHs sekalian…  Aku bo bo bo bo bosan…

Najla Naqiyah menunggu balasan dari rakan-rakannya. Selalunya apabila salah seorang dari mereka menghantar mesej berbunyi lirik lagu, yang lain akan menyambung baris seterusnya lagu tersebut kerana kebanyakan lagu kesukaan mereka adalah sama. Saja dia hantar sebaris lirik lagu Bosan dendangan Stacy kerana sememangnya dia sedang bosan tidak berbuat apa-apa. Tidak lama selepas itu ada balasan diterima. Dia kembali membuka AHAHAH.

Auni: Hai bosan :p

Auni: Bosan tengah buat apa? Atau Bosan tengah bosan sebab Bosan tak buat apa-apa? Kikiki

Najla Naqiyah sudah melepaskan tawa. Hampeh punya kawan! Tiba-tiba hari ni mengada-ada pulak ek. Selalunya kau orang elok je main sambung-sambung lirik lagu.

Dayah: Hai bosan… Salam perkenalan… Nak panggil apa ni? Bo ataupun Bobo? Ahahah~

Najla Naqiyah sudah terbeliak mata melihat balasan dari Hasni Hidayah. Apa dia Dayah? Bobo?! Hampehlah kau orang berdua. Mana adil dua-dua bahan aku ni! Najla Naqiyah kembali ketawa. Ini kalau orang lain tengok aku ketawa macam ni silap-silap ada orang yang pergi lapor kepada pihak berwajib cakap ada pesakit terlepas dari hospital sakit jiwa. Adoyai.

Jee: Oit! Kau orang sengaja bersekutu bertambah kutu kenakan aku ek? Mana adil dua lawan satu… Kau orang ni dari dulu suka sangat sakat aku… Huwaaa!!

Auni: Hahaha~ Nasib kaulah Jee dapat kawan yang baik hati lagi berbudi pekerti serta comel sekali macam kita orang ni… lalala~

Jee: Buekkk!! Nak muntah aku dengar…

Dayah: Woot woot! Jee nak muntah… Jee, berapa bulan? ;p

Auni: Uuuu~ Jee nak muntah…

Jee: Sengallah kau orang! Memang kalahlah aku lawan kau orang berdua… Weh, aku serius ni… Aku bosan gila kut… Cadangkanlah something yang boleh hilangkan bosan aku…

Dayah: Poyolah kau Jee! Dah ada cik abang tu nak bosan apanya? Pergilah berborak dengan dia… Main congkak ke, batu Seremban ke, tak pun main karom best juga… Kalau kita orang yang single and ready to mingle ni yang bosan taklah pelik… Kan Auni?

Auni: Yup! Betul betul betul!

Jee: Tak payah nak ready to mingle sangatlah weh… Orang tua tu tak ada, dia outstation ke Singapore dalam seminggu… Aku sorang aje ni ha…

Dayah: Woot woot! Jee sejak bila ada sugar daddy? Aku tak tahu pun… Hahaha~

Auni: Kahkahkah! Sekali lagi kau kena Jee…

Jee: Dayahhh!!!! Hampeh kau… Sama je dengan Auni… Orang tua tu laki aku tu laa… Uishh janganlah sebut pasal sugar daddy ni… Minta simpang empat puluh keturunan tahu!

Dayah: Hahahahaha! Seronok kenakan kau Jee… Dah lama tak jumpa kau orang… Rinduuu…

Jee: Aku pun rindu kau juga! Kenapalah kau duduk jauh kat Melaka sana. Sekurang-kurangnya hari tu ada juga aku jumpa Auni…

Auni: Insya Allah kalau ada rezeki nanti kita reunion bertiga okey… Aku rindu kau orang…

Dayah: Insya Allah…

Jee: Insya Allah… Kau orang belum cadangkan lagi aktiviti yang aku boleh buat untuk hilangkan rasa bosan aku ni…

Dayah: Hahaha… Tak habis lagi isu bosan ni rupanya… Aku ingat dah stop dah…

Auni: Jee, ingat lagi tak apa yang kita bertiga selalu buat waktu bosan dekat kolej dulu? ;)

Jee: Ingat!! Mana boleh lupa… Kenangan terindah kita bertiga kut… Tapi tak syoklah aku seorang je…

Dayah: Seorang pun syok apa weh… Takde orang komen lebih-lebih… Hahaha~

Auni: Apa lagi Jee, trylah… Nanti share dekat sini ek… Lalala~

Najla Naqiyah menimbang-nimbang cadangan sahabat baiknya itu. Dipandangnya jam dinding yang sentiasa setia di tempat yang sama mengingatkan tentang masa. Baru pukul 8.47 malam. Kira okeylah juga ni. Bolehlah cuba sekejap alang-alang tengah bosan tak buat apa-apa ni. Hehehe.

Jee: Okey AHs sekalian… Aku try ek… Kau orang jangan jealous

Auni: Trylah… Tak jealous pun, cemburu je… Hahaha~
Dayah: Hahaha~ All the best Jee!

Jee: Okay AHs, I’ll get back to you guys later ;) Thanks for the unexpected suggestion ;p

Segera Najla Naqiyah keluar dari aplikasi WhatsApp dan mendaratkan telefon pintarnya di atas meja kopi. Televisyen dibiarkan terus terpasang walaupun sebentar lagi dia bakal memulakan operasinya yang tersendiri. Muehehe! Go Jee go! You can do it! This is not your first time. Bila datang idea gila macam ni tiba-tiba rasa macam zaman kanak-kanak ribena baru nak kenal dunia. Hehe. Kuala Lumpur, tunggu… Aku cabar kau! Err, kau dah kenapa Jee? Meroyan nak shooting KL Menjerit 3 pulak ke?



...insya Allah, akan bersambung. Doakan saya istiqomah menaip...



Kepada semua yang sudi baca,

Terima kasih buat masa berharga anda untuk baca karya saya yang tidak seberapa ni. Bab 7 ni panjang sikit dari bab lain dan banyak phone and WhatsApp conversations… Sorry if they annoy you… Sorry juga kalau tak best dan tak menepati citarasa anda… As usual, open to any suggestions and criticism… Saya budak baru belajar, kalau salah tolong tunjuk ajarku sifu! *kalau typo harap maaf dan tegur* Mucho gracias~!

ps: Thanks sis Hannah Safiyah atas komen entry ‘3 – 1’ yang lepas… Memberi motivasi kepada saya untuk taip hari-hari walaupun satu ayat… Thanks buat semua yang sudi komen di cik belog mahupun penulisan2u… I really really really appreciate those comments… Anda memberi saya semangat untuk terus sambung cerita mereka…



.:|[ Suha Fasihah ]|:.

7 comments:

  1. sis ada banyak pengajaran dlm bab ni....teruskan usaha sis ye...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Thanks sudi baca dan komen cik Anonymous :)

      Sy risau kalau cerita ni tak kena dengan selera pembaca tapi dalam masa yang sama kalau pengajaran tu sampai saya dah bersyukur dah... insya Allah saya akan teruskan usaha selagi ada ilham dan idea yang Allah kurnia...

      Delete
  2. Replies
    1. Terima kasih sudi baca dan komen sis Hazwani Janudin :)

      Terima kasih juga untuk menyukai cerita ni... Insya Allah akan cuba sambung secepat yang mampu...

      Delete
  3. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hai hai hai sis Ainaa Ghazali ;)
      Terima kasih sudi baca dan komen... Alhamdulillah kalau sis boleh terima cerita ni... insya Allah sy cuba sambung secepatnya...

      Delete
    2. Hai hai hai sis Ainaa Ghazali ;)
      Terima kasih sudi baca dan komen... Alhamdulillah kalau sis boleh terima cerita ni... insya Allah sy cuba sambung secepatnya...

      Delete

manis bicara indah tutur kata...
selamat meninggalkan jejak kasih anda...