USAI
mendirikan fardhu Isyak berjemaah bersama dengan dua orang rakan serumah,
Najwan kembali ke biliknya. Setelah meletakkan songkok di tepi meja kecil, dia
merebahkan diri di atas katil bujang bilik yang disewanya ini. Mata dipejamkan
namun tidak lama dek kerana bunyi telefon pintarnya yang berbunyi minta
diangkat. Dari deringan lagu yang sudah ditetapkan khas itu dia sudah tahu
siapa gerangan yang membuat panggilan tersebut tanpa perlu melihat nama yang
tertera di skrin telefon. Panggilan telefon dia jawab.
“Assalaamu`alaikum mak. Kenapa
tiba-tiba call?” tanya Najwan.
Alamak! Tersilap tanya soalan pula. Habislah kalau mak merajuk! Sebenarnya
tidaklah pelik untuk ibunya ini membuat panggilan terlebih dahulu cumanya dia
baru sahaja pulang ke kampung jadinya dia tidak menyangka yang si ibu akan
membuat panggilan secepat ini.
“Wa`alaikumussalam Wan. Bertuah punya
budak! Sepatutnya Wan kena rasa bertuah mak call
Wan, ini tanya soalan macam tu pula. Yalah kalau tak suka mak call lain kali mak tak call dah.” Jawab Puan Mazni dengan nada
rajuk. Najwan sudah tersengih dan menggelengkan kepalanya.
“Mana adalah mak. Wan tanya aje.
Mestilah Wan suka mak sudi call Wan.
Memang Wan bertuah sangat-sangat dapat ibu macam mak ni. Sudahlah cantik,
sempoi pula tu. Bertuah siapa yang dapat jadi menantu mak nanti, dapat mak
mertua yang tak cerewet macam mak.” Ujar Najwan segera dengan ayat untuk
memujuk dan mengambil hati ibunya. Tetapi memang dia akui bahawa ibunya itu sentiasa
cantik di matanya. Apa orang putih cakap?
A father is a daughter’s first boyfriend kiranya situasi aku dengan mak aku
ni, a mother is a son’s first girlfriend.
Haha.
Puan Mazni di hujung talian sudah
tersenyum-senyum dengan pujian si anak. Terlupa seketika dengan tujuan sebenar
dia membuat panggilan kepada anaknya ini.
“Sudah, jangan dok puji-puji mak lagi. Saja nak ambil hati maklah tu. Bercakap
pasal menantu ni, mak memang tak cerewet pun. Ni ha mak nak cakap mak dah ada
calon menantu untuk mak ni.” Akhirnya Puan Mazni menyuarakan hajat asalnya.
Najwan yang mendengar sudah berkerut dahi.
“Fiza nak kahwin dah ke mak? Siapa
calon menantu mak tu? Orang mana? Wan kenal tak? Kenapa tak beritahu awal-awal
masa Wan ada kat sana? Senang kita nak berbincang.” Najwan menghujani si ibu
dengan bermacam-macam soalan. Hafizah adalah satu-satunya adik yang Najwan ada.
Walaupun jarak umur mereka agak jauh, Najwan begitu mengambil berat akan
adiknya itu dan selalunya Hafizah akan merungut kerana abangnya ini akan
bersikap terlebih melindungi.
“Merepek apa Fiza nak kahwin pula
ni? Dia tu mak nak suruh habis belajar dulu baru boleh nikah.” Puan Mazni
menyangkal pertanyaan anak lelakinya itu.
“Mak ni buat gempak aje. Wan
ingatkan Fiza nak kahwin dah tadi. Habis tu calon menantu untuk anak mak yang
mana?” tanya Najwan tanpa berfikir dan tanpa mengesyaki apa-apa.
“Astaghfirullahalazim, budak Najwan
ni. Mak ada dua orang anak je tahu! Dah kalau bukan untuk Fiza, dah tentulah
untuk Wan. Kalau tak untuk siapa lagi?” Puan Mazni bersuara di corong telefon.
“Kenapa pula untuk Wan? Wan belum
nak kahwin lagilah mak. Kan Wan cakap Wan nak tengok Fiza kahwin dulu baru Wan
akan kahwin.” Najwan segera menolak mentah-mentah niat ibunya itu untuk
menjodohkannya dengan calon menantu pilihan ibunya sendiri. Namun, apa yang si
ibu tidak tahu adalah pintu hatinya kini sudah diketuk oleh orang lain. Aduhai,
kenapa sekarang? Kenapa mak tak tanya dulu aku ada calon sendiri ke tidak?
Selama ni mak sentiasa tanya aku ada calon sendiri ke belum.
“Tak payah nak tunggu Fiza nikah
dulu. Wan tu abang, Wanlah nikah dulu. Sampai bila Wan nak elakkan dari
bercakap soal ni dengan mak? Nak tunggu mak tutup mata dulu ke baru Wan nak
dirikan rumahtangga? Tak dapatlah mak nak merasa jadi nenek.” Puan Mazni sudah
membuat suara syahdu pada ayat terakhir yang diungkapkannya.
Najwan sudah menggaru-garu kasar
kepalanya yang tidak gatal. Serabut! Sekelip mata sahaja dia dapat rasa
dunianya yang aman damai bakal porak-peranda. Tapi bagaimana harus dia katakan
kepada ibunya yang kini hatinya sudah dicuri? Dia perlukan masa untuk memastikan
apakah benar perasaannya ini. Namun apa yang lebih penting, dia perlukan masa untuk
memastikan si dia yang berjaya mencuri hatinya mempunyai rasa yang sama.
Tapi
macam mana? Mak dah ada calon mak sendiri. Mampu ke aku nak tolak? Mampu ke aku
nak kecewakan mak? Najwan menarik nafas dalam-dalam dan dia hembus nafas.
Mengumpul kekuatan untuk mengeluarkan kata-kata.
“Okey,
tapi Wan ada syarat.” Ujar Najwan. Puan Mazni yang berada di hujung talian
sudah melebar dengan senyuman.
“Syarat
apa?” tanya Puan Mazni dengan nada suara yang teruja.
“Wan
nak jumpa dulu calon mak tu. Wan nak berkenalan dulu dengan dia. Lepas tu baru
Wan akan buat keputusan untuk teruskan dengan perkahwinan ataupun tidak.”
Najwan menyatakan syaratnya. Puan Mazni berpuas hati kerana sekurang-kurangnya
anak lelakinya ini sudi untuk mengenali calon menantu yang sudah berjaya
menambat hati tuanya ini.
“Okey,
nanti mak beritahu belah perempuan. Jumaat ni Fiza nak ke rumah Mak Long dekat
sana, nanti bila Wan nak pergi jumpa calon menantu mak tu, Wan bawa Fiza sekali
ya. Tempat nak jumpa ke apa buat janji melalui Fiza. Fiza ada nombor telefon adik
calon menantu mak tu.” Ujar Puan Mazni. Najwan menarik nafas dan
menghembuskannya dengan berat sekali.
“Okey.”
Hanya itu jawapan dari Najwan. Suaranya jelas kedengaran tidak ceria.
“Terima
kasih Wan.” Kata Puan Mazni. Najwan hanya tersenyum segaris. Senyuman yang
tidak mampu ibunya lihat melalui panggilan telefon itu.
“Jangan
berterima kasih lagi mak. Wan belum buat keputusan untuk kahwin dengan calon
mak tu. Wan baru aje setuju nak berkenalan dengan dia.” Ujar Najwan. Tidak mahu
si ibu terlalu mengharap.
“Takpe,
itu pun mak dah bersyukur dah.” Puan Mazni bersuara. Ikhlas.
Sekali
lagi Najwan hanya mampu untuk tersenyum segaris. Sekurang-kurangnya dia dapat
melengah-lengahkan masa dan dalam masa yang dapat dia lengahkan ini bolehlah digunakan
untuk mencari si dia yang berjaya mencuit hati. Soalnya sekarang, aku nak cari dia
celah mana?
PINTU
dikuak kasar dari luar. Najwan yang leka memetik gitar membelakangi pintu tidak
perasan yang pintu biliknya telah dikuak. Dia meneruskan nyanyian sambil
jari-jemari terus bermain dengan kod lagu.
Tuhan jagakan dia
Dia kekasihku ‘kan tetap milikku
Aku sungguh mencintai
Sungguh menyayangi setulus hatiku
“Bro,
tak lawak okey. Sudah-sudahlah tu nyanyi lagu ni. Aku dah tak rasa apa-apa dah.”
Firhan sudah bersuara lantang. Lagu itu lagu yang pernah dia nyanyikan dahulu
semasa sedang menyimpan hati kepada jiran sebelah rumah sewa mereka ini. Jiran
yang menjadi rebutan antara dirinya dan Wijdan. Sudahnya kedua-dua mereka
melepas apabila mereka mendapat kad jemputan ke majlis resepsi jiran yang
diminati itu. Najwan yang terdengar suara Firhan segera menoleh ke arah pintu
bilik. Kelihatan Wijdan dan Firhan sudah terpacak berdiri segak bersedia untuk
keluar.
“Bila
masa aku buat lawak? Haha. Aku menyanyi je lagu
tu. Kalau kau dah tak rasa apa-apa sepatutnya kau tak rasa apa-apa dan senyap.
Ke kau masih rasa apa-apa dan sentap? Haha.” Seronok Najwan mentertawakan rakan
rumah sewanya. Lenyap seketika permasalahan calon menantu ibunya.
“Haha.
Betul tu Wan. Tengok aku ni, rileks je.” Wijdan bersuara bangga. Rilekslah
sebab bukan aku yang dok nyanyi lagu tu. Hahaha. Ketawa kejam Wijdan di dalam
hati.
“Apa-apalah.
Aku malas nak gaduh, tenaga tak cukup. Jomlah pergi makan, lapar gila ni! Nak
sambung gaduh tunggu lepas makan nanti.” kata Firhan. Pelik mereka dengan
Najwan yang masih belum menukar kain pelikat yang dipakainya sedangkan sebelum
solat Isyak berjemaah tadi mereka sudah membuat keputusan untuk keluar makan
malam bersama-sama.
“Kau
orang berdua pergilah. Aku takde selera pula.” Balas Najwan ringkas. Sebenarnya
dia lapar tetapi selepas mendengar perkhabaran dari si ibu, hilang sudah
laparnya.
“Betul
ni? Tak menyesal? Nak kirim apa-apa tak?” tanya Wijdan. Masih tak percaya yang
Najwan tidak mahu ikut serta. Setahu dia, Najwan adalah salah seorang spesies
yang kuat makan tetapi badan susah nak naik. Orang kata, orang yang macam tu
kadar metabolisma dia tinggi. Entahlah. Aku tak pandai Biologi jadinya aku tak
tahu. Haha.
“Betul.
Kau orang pergilah. Elok-elok tu makan berdua. Jangan bergaduh.” Kata Najwan.
Sengaja membuat provokasi.
“Woi,
kitorang dah lama berdamai dan hidup aman damailah!” Firhan cepat-cepat
bersuara. Teringat akan termeterainya Perjanjian WiFi di mana Wijdan dan Firhan
kedua-duanya berjanji untuk tidak lagi menyukai gadis yang sama pada masa akan
datang. Sengajalah tu Najwan ni nak ingatkan pasal kisah kasih tak kesampaian
tu!
“Haha.
Okey.. Okey.. Dah, pergilah cepat tadi kata lapar gila.”
“Kitorang
gerak dulu. Kalau tiba-tiba kau rasa nak kitorang belikan makanan roger-roger je.” Kata Wijdan pula.
Wijdan
dan Firhan meninggalkan bilik Najwan. Mereka meneruskan niat asal untuk mengisi
perut yang lapar. Najwan masih lagi termenung seorang diri sambil memegang
gitar. Kalau dulu, dia memang sengaja menyanyikan lagu Tuhan Jagakan Dia
dendangan Motif band itu untuk ‘bikin
panas’ Wijdan dan Firhan tetapi hari ini dia benar-benar menyanyi lagu tersebut
tanpa niat untuk ‘bikin panas’. Takkanlah nak nyanyi Jaga Dia Untukku yang
Dato’ Siti Nurhaliza nyanyi tu. Tak sesuai. Boleh nak menyanyi juga lagu tu
tapi kalau nak kena gelak golek-golek dengan si Wijdan dan Firhan tiga hari
tiga malam, bolehlah cuba nyanyi! Haha.
Najwan
bersandar pada dinding. Katil bujangnya ini sememangnya sudah dirapatkan ke
dinding bagi memudahkan dirinya untuk bersandar pada bila-bila masa. Tangannya
masih setia dengan gitar yang sudah lama menjadi peneman setia. Dia tidak tahu
di mana si dia yang berjaya mencuit hatinya itu berada. Tetapi dia berharap
walau dimanapun si dia itu berada, Tuhan akan tolong jagakan si dia untuk
dirinya. Walaupun si dia bukan kekasihnya. Walaupun si dia mungkin bukan jodoh yang
telah dicatatkan buat dirinya. Itu doa dan harapan Najwan.
“BARU balik dari makan malam?” tanya
Firhan ramah kepada jiran sebelah rumah. Kisah cinta yang tidak kesampaian
seharusnya tidak menjadi penghalang untuk dia terus kekal ramah. Si jiran yang
ditegur menghampiri pagar yang memisahkan rumah sewa mereka.
“Haah.
Baru balik dari makan. Nada mengidam nak makan char kuey teow. Alhamdulillah
tak mengidam yang pelik-pelik. Layankan ajelah.” jawab Salam dengan mesra. Salam
merupakan suami kepada Qatrunnada, jiran sebelah rumah yang pernah menjadi
rebutan Wijdan dan Firhan. Salam bersalaman dengan Wijdan dan Firhan. Mereka
berbalas senyuman.
“Eloklah
tu. Kalau tak layan nanti kempunan nak makan orang tua-tua kata apa? Bila dah lahir
nanti anak tu meleleh je air liur? Haha. Tak tahulah betul ataupun tak.” Wijdan
pula bersuara.
“Kau
orang pun baru balik dari makan malamlah ni? Berdua aje?” tanya Salam. Ketika
itu Qatrunnada sudah berdiri di sebelahnya. Senyuman segaris terukir di bibir.
“Haah.
Baru balik dari makan juga ni. Berdua aje, Wan dia takde selera nak makan tapi
kitorang tapaukan juga makanan untuk dia ni.” Ujar Firhan. Dari luar mereka
boleh dengar suara Najwan menyanyi sambil memetik gitar. Pasti dia sedang
bermain gitar di ruang tamu. Pelik juga entah kenapa hari ini dia seperti
melepas gian bermain gitar itu sampai tiada peluang langsung untuk Firhan
ataupun Wijdan memetik gitar.
“Oh,
baik cepat-cepat bagi dia makanan tu. Entah-entah memang tengah lapar cuma
takde mood nak keluar makan.”
“Yelah.
Kitorang masuk dululah ya. Assalaamu`alaikum.” ujar Firhan lagi. Dia dan Wijdan
bersalaman dengan Salam lalu menuju ke dalam rumah.
Jarang sekali terdengar bunyi
Ketukan di pintu hatiku ini
Kalau adapun bilaku buka
Tiada siapa yang berada di luar
Tapi sejak dua menjak ini
Ku merasakan bagai ada tetamu
Tanpa dijemput sudi menjenguk
Pada waktu sepi menemaniku
Tidak mungkin tiada di sini
Kerana tiada siapa pernah kisah
Akan aku tertanyaku siapa kamu
Kenapa singgah kalau tak masuk ke dalam
hatiku
Jarang sekali ku rasa rindu
Menantikan waktu untuk bertemu
Biasakah bersua walau seminit
Agar lahir peluang berterima kasih
Jarang sekali ku sebegini
Mengharapkan hati untuk diselami
Jangan biar fikiranku buntu
Memikirkan mimpi dalam jagaku
Selesai menyanyikan lagu tersebut, Najwan
bersandar pada satu-satunya sofa yang tuan rumah letak di ruang tamu ini. Dia
selesa duduk di atas lantai manakala kepalanya sudah dia daratkan pada sofa.
Mata dia pejamkan. Entah kenapa dia rasa situasinya kini sangat berpadanan
dengan lagu Kenapa Singgah Kalau Tak Masuk nyanyian Flava itu. Seseorang yang tidak
dia kenali, mengetuk pintu hatinya tetapi setelah pintu hati dibuka, tidak
kelihatan sesiapa di mana-mana. Ya Allah, perasaan apa ni?
Tidak
mahu terus melayan fikiran dan hanyut dalam perasaan yang dia sendiri sukar
untuk tafsirkan, Najwan membuka mata. Terkejut dirinya saat satu plastik berisi
satu bekas polisterina betul-betul di hadapan matanya. Segera dia duduk sambil
tangan tetap setia memegang gitar.
“Bila
kau orang balik?” tanya Najwan. Wijdan sudah meletakkan plastik berisi makanan
tersebut betul-betul di hadapan Najwan. Firhan sudah setia menghadap
televisyen. Merehatkan diri seketika sebelum masuk tidur.
“Kitorang
siap beri salam sampai tiga kali, dengar lagu Ketuk-Ketuk Ramadhan yang kau
nyanyi tu dari awal sampai habis, tu Fir siap tukar baju lagi kau baru nak tanya
bila kitorang sampai? Kenapa tak tanya esok pagi sebelum pergi kerja je?” kata
Wijdan. Dia sudah menggeleng-gelengkan kepala. Memang pelik Najwan hari ni.
Bukan Najwan biasa ni!
Najwan
sudah menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Bila masa aku nyanyi lagu
Ketuk-Ketuk Ramadhan? Dia betul-betul tidak sedar yang Wijdan serta Firhan
sudah pulang dari makan malam. Gitar yang sedari tadi dia pegang sudah dia
letak ke tepi. Bungkusan yang diletakkan oleh Wijdan sebentar tadi segera dia
sambar. Dia menghidu bau dari bekas polisterina tersebut. Nasi goreng ni cuma
nasi goreng apa tak tahulah. Najwan berkata di dalam hati.
“Untuk
aku ke ni? Bila masa aku roger korang
suruh beli?” tanya Najwan musykil. Sekali lagi dia menggaru-garu kepalanya yang
tidak gatal. Ah sudah! Kronik dah aku ni kalau aku sendiri tak sedar bila masa
aku roger dia orang minta tolong beli
makanan. Dia orang masuk rumah pun aku boleh tak sedar padahal aku memang ada
dekat ruang tamu ni. Apa nak jadi dengan kau ni Wan?
“Memang
kau takde roger kita orang suruh beli
pun. Kita orang yang sengaja beli takut kau lapar. Tak pernahlah aku tengok kau
kurang makan macam ni Wan.” Firhan menjawab kemusykilan Najwan. Matanya masih
menatap skrin televisyen. Najwan lega mendengar jawapan dari Firhan. Dia tidak
membalas apa yang Firhan katakan sebaliknya dia terus ke dapur bagi membasuh
tangan dan mengambil air minuman. Mujur juga Jay dan Fir belikan nasi goreng ni
kalau tak, kelaparanlah aku sepanjang malam. Silap-silap tak dapat nak tidur
langsung. Kalau gitar tu boleh digulai-gulai buat makanan takpe juga. Haha.
Firhan
memandang Wijdan sebaik sahaja Najwan berlalu ke dapur.
“Jay,
kau tak rasa pelik ke dengan Wan hari ni?” tanya Firhan. Wijdan sudah
mengangguk.
“Pelik
gila weh! Entah kena sampuk apa entah dia tu. Dia ada pergi mandi dekat mana-mana
air terjun ke masa balik kampung minggu lepas? Macam bukan Wan yang kita kenal
selama ni. Kenapa dengan dia?” soal Wijdan. Firhan hanya mengangkat kedua-dua
belah bahunya tanda tidak tahu. Persoalan hanya kekal sebagai persoalan kerana
yang pasti Wijdan mahupun Firhan tidak ada sebarang jawapan tentang kelakuan
pelik Najwan.
…insya Allah, akan bersambung… tapi tak boleh janji
bila…
Assalaamu`alaikum…
Terima kasih buat
sesiapa yang sudi baca… semoga tidak mengecewakan anda hendaknya… cik
proofreader saya yang setia ada menyuarakan kebimbangan dia pasal cerita ni
jadi e-novel… katanya takut terabai Saya Isteri Baru Belajar… saya cakap kat
dia yang insya Allah cerita ini akan jadi mini e-novel… pendek je… mungkin
kalau tak layak masuk kategori mini e-novel boleh masukkan dalam kategori
cerpan… cerita panjang… tak kisahlah kategori apapun…
Saya berbesar hati
sekiranya anda sudi untuk meninggalkan komen… Segala bentuk kritikan mahupun
kutukan *positif mahupun negatif atau
rasa tidak puas hati* berserta teguran amatlah saya alu-alukan. Apa-apa komen dari
anda tetap jadi pembakar semangat saya. Mucho gracias~! Terima Kasih~! *mohon
baca macam nada Alleycats ;) *
.:|[ Suha Fasihah ]|:.
Seriously suke sgt2.. looking forward to next chapter.. moge sy pon dapat ilham nak tulis cerpen2 & novel2 bes mcm suha ^_^
ReplyDeleteThanks for your comment ^^
DeleteMana ada best... Biasa2 je... Idea tu semua apa yang terilham...
Cubalah taip satu cerita, insya Allah lepas tu akan rasa nak menaip selalu...