Social Icons

Saturday, April 18, 2015

eNovel | Ramalan Kaji Cinta .:|[ BAB 2 ]|:.




Akulah awanmu yang sedia melindungi dirimu

MAR, kenapa aku tengok kau sejak minggu lepas lain macam aje? Kemurungan ke apa?” tanya Shila tanpa perlu menapis terlebih dahulu kata-kata yang dilontarkan kepada sahabat baiknya itu. Seingat Shila, sahabatnya ini begitu gembira sekali semasa menemaninya pergi berjumpa doktor dan tatkala dia diberitakan hamil sepuluh minggu, sahabatnya ini adalah orang yang paling gembira kerana sama-sama mendengar berita tersebut dari doktor. Selepas itu sahabatnya pulang ke kampung dan balik dari kampung, dia tidak pernah nampak sahabatnya ini gembira seperti hari-hari sebelumnya. Senyuman yang diukirkan oleh sahabatnya itu juga dia tahu semuanya itu senyuman palsu belaka.

            “Ibu aku ada beritahu aku cita-cita baru dia, cuba kau teka apa?” Ainul Mardhiah tidak menjawab pertanyaan Shila sebaliknya dia pula yang mengajukan soalan kepada sahabat baiknya ini.

            “Manalah aku tahu Cik Mar oi. Itu ibu kau dan dia beritahu pada kau, bukannya pada aku. Kalau dia beritahu aku maka tak perlulah aku bersusah-payah nak soal-siasat kau sekarang ni.” Jawab Shila. Sedikit geram pertanyaannya dibalas dengan satu soalan yang dia tidak punya jawapan.

            Ainul Mardhiah sudah buat muka. Tak sportinglah Shila ni. Orang suruh teka aje pun. Penyedut air minuman dia gunakan untuk mengacau air teh aisnya laju-laju. Dia menarik nafas pendek dan dihembusnya nafas tetapi agak kuat. Pada telinga Shila, hembusan nafas sahabatnya itu kedengaran seperti satu keluhan.

“Dia nak jadi besan bestfriend dia.” kata Ainul Mardhiah ringkas.

Agak lama dia memendamkan hal tersebut dan tidak bercerita kepada sesiapa. Selalunya Shila tempat dia meluahkan perasaan. Dia sedut air teh ais yang masih berbaki separuh gelas. Mereka berdua baru sahaja selesai menikmati makan tengah hari. Hari ini mereka makan tengah hari berdua sahaja, melayan Shila yang mengidam mahu makan laksa. Menurut Shila tekaknya tidak boleh menerima nasi.

            “Jap-jap! Aku tengah loading lagi ni. Mak kau nak jadi besan bestfriend dia, maknanya dia nak salah seorang dari kau orang adik-beradik kahwin dengan anak bestfriend dialah kan? Memandangkan Kak Long kau dah nikah dan adik bongsu kau tengah belajar, jadinya mak kau suruh kau lah ya? Betul ke ni Mar?” tanya Shila. Separuh terkejut dan separuh teruja. Okey, tipu. Teruja tu lebih dari separuh.

            Ainul Mardhiah hanya memandang baki air di dalam gelas. Penyedut air minuman dia pegang dan kembali mengacau-ngacau teh ais tersebut. Dia hanya mengangguk-anggukkan kepala tanda apa yang Shila katakan tadi semuanya benar belaka. Dia kemudiannya menarik nafas panjang dan dilepaskan dengan sedikit berat. Pandangan dia halakan pada manusia lain yang sedang menikmati juadah makan tengah hari di medan selera tersebut. Rata-rata mereka kelihatan ceria dan ada juga yang ketawa semasa berbual bersama rakan sekerja. Agaknya aku dengan Shila aje yang tengah berbual isu serius sekarang ni.

            “Wow! That’s great! Tak payahlah kau susah-susah nak cari siapa soulmate kau Mar. Dah ada calon depan mata, terima je. Habis cerita! Aku sure calon ibu kau tu okey. Takkanlah ibu kau nak cari calon yang tak tentu pasal untuk kau. Lagipun dah tiga tahun Mar kau putus tunang. Mungkin memang dah tiba masanya untuk kau bahagia.” Ujar Shila panjang lebar. Ainul Mardhiah kembali menghalakan pandangan pada Shila.

            “Macamlah sekarang ni aku tengah menderita. Aku bahagia aje jadi anak ibu dan ayah aku. Aku bahagia aje dengan kehidupan aku sekarang. Happiness is a journey, not a destination. Ingat tu Puan Shila. So far, Alhamdulillah aku bahagia aje sepanjang perjalanan hidup aku ni. Susah senang silih berganti tu perkara biasalah.” Jawab Ainul Mardhiah.

Sememangnya perkahwinan adalah salah satu topik yang boleh mengusutkan fikirannya selain dari topik mengenai berat badan. Haha! Biasalah perempuan, BMI normal pun sibuk nak turunkan berat badan lagi.

            “Ya, aku ingat. Dah banyak kali dah kau cakap. Tapi Mar, bahagia bila dah kahwin ni lain. Lagipun kau kena faham perasaan ibu kau. Mula-mula mungkinlah ibu kau okey je tapi ni dah tiga tahun kau masih tak tunjuk tanda-tanda nak dirikan rumah tangga. Sebagai ibu mestilah dia risau. Lagipun kau ni nak Nabi Muhammad tak mengaku kau sebagai umat ke?” tanya Shila.


            “Ish kau ni, sampai ke situ pula! Nauzubillahiminzalik. Aku bukan sampai tahap menolak perkahwinan. Aku cuma belum bersedia je lagi. Kahwin ni bukan untuk sehari dua, kahwin ni untuk selama-lamanya.” Ainul Mardhiah segera membalas apa yang Shila ucapkan.

            “Mar, kalau kau nak tunggu sedia, sampai bila-bila kau takkan rasa kau dah bersedia. Satu yang kau kena yakin, Allah akan hantar calon kat kita bila kita dah bersedia. Perasaan kita mungkin kita rasa kita belum bersedia tapi pada pandangan Allah, Dia tahu bila yang kita dah bersedia. Dan mungkin sekarang dah tiba masa ‘sedia’ kau tu.” Shila memberi nasihat kepada Ainul Mardhiah. Cuba meyakinkan rakannya itu untuk mula fikirkan tentang mendirikan rumah tangga. Ainul Mardhiah hanya mengangkat kedua-dua belah bahunya. Tidak mahu mengulas lanjut. Shila mengambil kesempatan untuk terus berbicara.

            Mar, it’s a good thing you know. Lagipun dah tiga tahun kau buat tak tahu soal jodoh. Untuk isu ni, aku setuju dengan ibu kau. Dah sampai masanya kau mula fikirkan calon suami untuk kau.” 

            “Shila, tiga tahun kau nampak aku buat tak tahu soal jodoh tu bukannya aku buat tak tahu langsung. Aku tetap berdoa supaya Allah kurniakan jodoh yang terbaik untuk aku. Aku tetap buat solat istikharah. Solat istikharah tu bukan hanya buat bila tengah nak pilih calon aje. Dari awal sebelum ada calon pun kita boleh buat solat istikharah tu.” Ainul Mardhiah menjawab lemah. 

            Shila menganggukkan kepalanya. Dia tahu dan faham benar dengan sahabat baiknya ini. Dalam hati dia berdoa agar sahabatnya ini dibukakan pintu hati untuk cuba menerima kehadiran seorang insan yang sesuai dijadikan suami.

            “Okey, cuba kau cakap kat aku apa yang jadi penghalang terbesar buat kau sekarang ni?” Shila cuba untuk menyelami isi hati Ainul Mardhiah. Dia memandang tepat ke dalam anak mata sahabat baiknya itu. Lama juga mereka tidak berbual isu berat seperti soal jodoh ini.

            “Aku bukannya apa. Aku takutlah. Aku takut kali ni pun sekerat jalan juga. Aku ni memang memilih sangat ke Shila?” Ainul Mardhiah menginginkan jawapan yang jujur dari sahabatnya itu. Shila menggeleng-gelengkan kepalanya.

            “Tak. Memang patutpun kau memilih. Malahan kita ada garis panduan untuk memilih.  Rasulullah S.A.W pernah bersabda, seorang wanita itu dinikahi kerana empat: kerana harta, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka hendaklah diutamakan yang beragama, nescaya kamu berbahagia. See! Islam sendiri ada garis panduan untuk memilih calon. Bukan untuk lelaki sahaja, untuk perempuan pun kriteria pemilihan dia sama.” Shila tersenyum dan mencuba untuk kembali meyakinkan sahabatnya itu. Ainul Mardhiah tersenyum segaris. Betul apa yang Shila cakapkan dan itulah apa yang aku cuba terapkan masa memilih calon selama ni.

            “Tak nak share dengan aku ke siapa calon yang ibu kau cadangkan tu?” Shila bersuara dengan nada ceria. Matanya kelihatan bersinar-sinar teruja.

            Ainul Mardhiah buat muka bosan. Dia memandang sekeliling. Kebanyakan orang yang menjamu selera sebentar tadi sudah mula beredar. Mungkin waktu makan tengah hari mereka hampir tamat. Dia mengerling jam yang berada di pergelangan tangan kanannya.

            “Wan Baju Biru.” Ujar Ainul Mardhiah. Shila sudah berkerut dahi.

            “Siapa Wan Baju Biru tu? Aku tak pernah dengar pun.” Kata Shila. Ainul Mardhiah sudah menjulingkan bebola matanya ke atas.

            “Memanglah tak pernah dengar Puan Shila oi, dah aku tak pernah cerita.”

            Then ceritalah kat aku weh!” Shila bersuara semakin teruja. Ingin tahu siapakah gerangan Si Wan Baju Biru itu.

            “Esok lusalah aku cerita. Jom gerak, lunch hour nak habis dah ni.” Ujar Ainul Mardhiah dan serta-merta dia bangun dari kerusi lalu berpusing ke belakang untuk mengambil jalan pulang ke pejabat.

            Tindakan Ainul Mardhiah yang tidak dijangka itu telah menyebabkan seorang lelaki yang sedang berjalan memegang segelas air minuman terpaksa berhenti dengan mengejut dan mengundur setapak untuk mengelakkan pelanggaran dengan Ainul Mardhiah berlaku. Hasilnya, air yang berada di dalam gelas yang sedang dipegang oleh lelaki tersebut telah tertumpah mengenai tangan dan juga baju yang lelaki itu pakai.

            Ainul Mardhiah yang terkejut sudah menekup mulut. Pandangan matanya jatuh pada tangan lelaki yang sedang memegang gelas minuman itu dan beralih pula pada baju lelaki tersebut yang sudah sedikit basah. Shila yang menjadi saksi kejadian terus bangun dan mengeluarkan satu paket tisu yang sentiasa dia bawa di dalam beg tangannya. Segera dia hulurkan sepaket tisu tersebut kepada Ainul Mardhiah. Beberapa orang di sekeliling yang perasan akan kejadian tersebut memilih untuk menjadi pemerhati tidak berbayar.

            “Ya Allah, saya minta maaf encik! Saya bangun melulu tak pandang depan belakang dah. Sorry sangat-sangat saya tak tahu encik tengah berjalan kat belakang.” Ainul Mardhiah berkata sambil menghulurkan sepaket tisu yang Shila baru hulurkan kepadanya sebentar tadi.

       Lelaki di hadapannya masih lagi menunduk memandang bajunya yang sudah terkena air minuman. Hampir separuh air minumannya tertumpah. Nasib baiklah gelas yang sedang dipegang oleh lelaki itu tidak terlepas dari genggaman. Lelaki itu sudah menggeleng-gelengkan kepalanya. Seakan tidak percaya dengan apa yang baru berlaku. Ainul Mardhiah pula di dalam hati sudah berdoa agar lelaki di hadapannya ini tidak memaki hamun dirinya di khalayak ramai ini. Huluran tisu dari Ainul Mardhiah disambut oleh lelaki tersebut. Buat masa sekarang Ainul Mardhiah lega kerana tiada kata-kata kesat keluar dari mulut lelaki itu.

            “Takpelah cik, benda dah jadi nak bu…” ayat lelaki tersebut tergantung sebaik sahaja dia angkat muka dan memandang Ainul Mardhiah.

            Terpamer riak terkejut pada wajah Ainul Mardhiah. Shila masih setia di sisi sahabatnya itu. Pelik kerana masing-masing kehilangan kata.

            “Aw…” lelaki tersebut kembali membuka mulut tetapi dia ditinggalkan terpinga-pinga apabila Ainul Mardhiah sudah cepat-cepat menarik tangan Shila bagi mengekorinya. Shila yang kebingungan hanya menurut langkah sahabatnya itu.



AINUL MARDHIAH berbaring di atas katil bujangnya. Adik bongsunya, Amira, yang turut menumpang di rumah sewanya ini untuk seketika berada di ruang tamu. Mungkin sedang menonton televisyen ataupun mungkin juga sedang ralit bermain permainan Clash of Clans. Sengaja Amira mengikutnya pulang kerana adiknya itu sedang menikmati cuti semester sebelum secara rasminya memulakan tahun akhir pengajian. Sejak ibunya membawa perkhabaran bahawa ibunya telah memberi persetujuan bagi pihak dirinya untuk bertemu dengan anak kawan baik ibunya itu, dia sering tidak senang duduk. Namun dalam masa yang sama dia tetap terus berdoa agar Allah pertemukannya dengan jodoh yang terbaik buat dirinya.

            Dia masih lagi mencari dan menanti awan yang akan melindungi dirinya dan sama-sama mempertahankan keluarga yang bakal mereka bina. Telefon pintar miliknya dia capai. Lagu Awan Nano nyanyian Hafiz yang sememangnya sudah lama menjadi lagu kegemarannya dia mainkan di pemain media. Serta-merta permasalahan calon dari ibunya itu hilang seketika saat dia mendengar lagu tersebut. Dalam tidak sedar bibirnya mengukir senyuman lebar.

Akulah awanmu yang sedia melindungi dirimu
Tika panas mencuba menggores pipi dan bibirmu
Akulah awanmu yang sering kau rindu
Dan tak terduga hadirku walau tak tercapai jejarimu

Saat pemain media memainkan rangkap kedua akhir lagu tersebut, Amira masuk ke dalam bilik kakaknya itu. Memandangkan bilik kakaknya ini hanya ada satu katil bujang, dia hamparkan tilam lalu berbaring di atas tilam yang baru dia hamparkan sebentar tadi. Ingin dia bersuara tetapi memandangkan si kakak sedang khusyuk mendengar lagu Awan Nano kegemaran kakaknya itu, dia simpan dulu niatnya untuk bersuara.

Kasihku kasih tiada banding setia tiada tara
Bagaimanapun jua
Aku pelindung dirimu sayang
Walapun tak akan tercapai jejarimu

            Habis sahaja lagu tersebut bermain di pemain media, Amira yang masih lagi menatap skrin telefon pintarnya terus bersuara.

            “Kak Ngah, tarikh dah set tau. Hari Sabtu ni.” Ujar Amira tanpa memandang kakaknya.

            “Tarikh? Tarikh apa pula ni Mira?” tanya Ainul Mardhiah seraya berpusing menghadap adiknya itu. Cuak. Buatnya ibu dah set tarikh bertunang ke nikah ke macam mana? Habislah aku! Tapi mana boleh! Maksud aku, kan ibu dah setuju untuk aku berkenalan dulu dengan anak bestfriend ibu tu, jadinya ibu tak bolehlah buat tindakan drastik set tarikh bertunang apatah lagi tarikh nikah.

            “Aduhai… Tarikh nak jumpa calon Abang Ngah Mira itulah. Berkenalan dengan dia. Kenapa? Kak Ngah nak terus set tarikh bertunang or nikah ke? Nanti Mira beritahu ibu, sure ibu gembira punya.” Ujar Amira. Sengaja hujung ayatnya itu dia mengenakan si kakak.

            “Amboi! Bukan main lagi kau ye Mira. Bab nak kenakan Angah nombor satu. Beranilah Mira cakap benda pelik-pelik kat ibu, nanti apa yang Mira nak lepas ni Angah tak nak belikan dah.” Balas Ainul Mardhiah berserta ‘ugutan’ yang agak keras buat si adik. Amira sudah tersengih memandang kakaknya. Dia sudah membuat isyarat zip mulut tanda tidak akan ‘melaporkan’ sesuatu yang pelik kepada ibu mereka. Setelah itu dia kembali menatap telefon pintarnya.

Ainul Mardhiah menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya lega buat masa sekarang. Dia kembali merenung kipas siling yang ligat berputar. Lagu di pemain media telefon pintarnya sudah dia matikan. Memikirkan yang dia bakal berjumpa dengan anak rakan baik ibunya itu betul-betul merunsingkan fikiran dan menambahkan debaran. Apa yang aku nak cakap dengan dia nanti? Tanya nama penuh dia? Itu aje ke? Lagi? This is not my first time tapi kenapa kali ni aku rasa lain macam aje ye? Ada sesiapa yang ada jawapan untuk aku tak?

Sedang Ainul Mardhiah merenung kipas siling yang ligat berputar, peristiwa seorang lelaki yang hampir melanggarnya pada tengah hari tadi turut sama berputar di fikiran. Dia sedar yang salah dirinya kerana tidak melihat keadaan sekeliling terlebih dahulu sebelum bangun dan mula melangkah tetapi dia sendiri tidak tahu kenapa dia berlalu begitu sahaja sedangkan lelaki tersebut masih lagi mahu meneruskan bicara.

Rasa bersalah! Memanglah aku ada minta maaf tapi takde pun dia cakap yang dia dah maafkan aku. Sepatutnya aku tunggulah dulu dia cakap yang dia dah maafkan aku. Tapi nak buat macam mana kan. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak aku dah terus berjalan buat macam takde apa-apa berlaku, takkan aku nak berundur menghadap semula lelaki tu? Alasan! Sudahlah, tak payah nak cari alasan, tak payah nak ingat apa yang berlaku! Kesimpulannya, lepas ni buat-buat tak tahu dan anggap perkara tu memang tak pernah berlaku. Tutup kes!

…insya Allah, akan bersambung… cuma tak boleh nak janji bila…


Kepada anda yang sudi baca,

Terima kasih banyak-banyak… saya tahu masih banyak kekurangan tapi terima kasih kerana tetap sudi meluangkan masa berharga anda untuk baca karya picisan saya ni… As usual, open to any suggestions and criticism… Saya budak baru belajar, kalau salah tolong tunjuk ajarku sifu! *kalau typo harap maaf dan tegur* Mucho gracias~!

ps: ok, saya ada ‘hutang’ Bab 10 Saya Isteri Baru Belajar… insya Allah lepas ni ye… cuma bila dapat update tu tak boleh nak janji… kena bertabah banyak nak sambung cerita tu… doakan semoga berjalan lancar… aamiin…

.:|[ Suha Fasihah ]|:.

No comments:

Post a Comment

manis bicara indah tutur kata...
selamat meninggalkan jejak kasih anda...