Social Icons

Sunday, April 26, 2015

eNovel | Ramalan Kaji Cinta .:|[ BAB 4 ]|:.





what doesn’t kill you makes you stronger, stronger
just me, myself and I


KERETA selamat diparkirkan di tempat letak kereta. Ainul Mardhiah memandang ke kiri dan kanan. Hairan dengan persekitaran di sekelilingnya. Enjin kereta dia matikan dan dia galas beg tangan lalu keluar dari kereta. Pintu kereta dia tutup dan setelah kereta dikunci, dia bergerak ke arah lif. Lah, aku dekat PAS ke? Lamanya otak loading tapi bila masa aku datang sini? Haish, kronik dah aku ni sampai bila masa aku drive ke sini pun aku boleh tak sedar. Sedar-sedar dah parking kereta, keluar kereta dan sekarang dah ada dalam lif.

            PAS merupakan singkatan kepada Plaza Alam Sentral. Sejak zaman universiti sememangnya dia dan rakan-rakan merujuk Plaza Alam Sentral sebagai PAS kerana agak panjang untuk menyebut nama penuh pusat membeli-belah ini. Keluar sahaja dari perut lif dia mendapat panggilan telefon dari ibu di kampung. Dia ke tepi untuk menjawab panggilan tersebut.

            “Assalaamu`alaikum, ibu. Ibu apa khabar? Sihat? Ayah sihat?”

            “Wa`alaikumussalam Ain. Alhamdulillah ibu dan ayah dua-dua sihat. Ain sihat? Adik?” Puan Adila menjawab salam anaknya dan turut sama bertanya khabar.

Ain adalah panggilan buat Ainul Mardhiah. Keluarga dan jiran terdekat yang mengenalinya selalunya memanggilnya dengan panggilan Ain manakala kawan-kawan memanggilnya dengan panggilan Mar. Adik pula merupakan panggilan buat Amira. Hanya Ainul Mardhiah yang memanggil Amira dengan panggilan Mira. Ahli keluarga yang lain memanggil Amira dengan panggilan adik memandangkan Amira merupakan anak bongsu.

            “Alhamdulillah Ain sihat aje bu. Mira pun sihat. Dia duduk lepak-lepak je dekat rumah. Ada juga dia keluar dengan kawan-kawan universiti dia yang duduk dekat-dekat sini. Kak Long balik ke minggu ni bu?” Ulas Ainul Mardhiah. Dia turut bertanyakan perihal kakak sulungnya, Afiqah. Afiqah sudah berumah tangga dan mempunyai dua orang anak lelaki. Dia tinggal lebih dekat dengan kampung halaman mereka oleh itu dia lebih kerap pulang ke kampung berbanding Ainul Mardhiah.

            “Fiqa tak balik minggu ni. Insya Allah minggu depan dia balik. Ain, hari esok Ain pergi jumpa anak Auntie Mazni kan?” tanya Puan Adila dengan teruja.

Ainul Mardhiah sudah tarik muka masam apabila perkara itu diingatkan. Huarghhh! Esok kena jumpa dia. Kalaulah masa boleh diundurkan memang aku dah suruh ibu jangan setuju dengan permintaan Wan Baju Biru tu nak jumpa aku. Memang betul ibu setuju tanpa tanya aku terlebih dahulu tapi takkan nak salahkan dan marah ibu pula? Tak sanggup aku.

“Hmmm, esok.” Jawab Ainul Mardhiah lambat-lambat dan perlahan.

“Elok-elok jumpa anak Auntie Mazni tu. Jangan tiba-tiba nak buat perangai. Jaga nama baik ibu dan ayah. Ibu memang berharap sangat kali ni jadilah dengan anak Auntie Mazni tu. Tapi ibu tahu ibu tak boleh nak paksa-paksa Ain. Ain sudi nak kenal dulu dengan dia ni pun ibu happy dah.” Puan Adila berpesan kepada Ainul Mardhiah.

“Okey ibu. Insya Allah, Ain ingat pesanan ibu.” Jawab Ainul Mardhiah.

“Okeylah kalau Ain dah cakap macam tu. Ibu memang tak paksa Ain terima dia tapi ibu percayakan Ain dan ibu tahu Ain akan buat keputusan yang terbaik. Okeylah Ain, ada orang beri salam pula kat depan tu. Mak Lang kamu kut. Nanti esok ibu call Ain lagi ya. Assalaamu`alaikum.”

“Insya Allah ibu. Wa`alaikumussalam.” Ainul Mardhiah menjawab salam si ibu.

Selepas tamat panggilan, Ainul Mardhiah terpaku seketika. Seperti tidak tahu apa yang sedang dia lakukan. Jam di pergelangan tangan dia pandang lemah. Sudah 6.25 petang. Memandangkan dia sudah solat Asar di tempat kerja, dia bercadang untuk pulang selepas Maghrib ataupun Isyak. Dia tidak mahu pulang sekarang kerana tidak mahu adik bongsunya melihat keadaannya yang serabut ini.

Langkah kaki dia atur walaupun tanpa hala tuju. Fikirannya ligat memikirkan tentang perkara lain. Hari ni dah hari Jumaat. Esok dah Sabtu. Esok kena jumpa Wan Baju Biru tu. Tapi aku nak cakap atau tanya apa kat dia? Oh no, persoalan yang lagi penting sekarang ni ialah apa yang dia akan cakap atau tanya kat aku? Tak boleh nak agaklah apa yang dia akan tanya. Kalau sekarang ni aku tengah nak ambil SPM bolehlah juga aku pergi kedai buku beli buku soalan ramalan walaupun takde jaminan yang soalan ramalan tu akan sama dengan soalan peperiksaan sebenar.

Sekarang ni apa yang aku kena prepare sebelum jumpa dia esok? Buat karangan siap-siap apa yang aku akan cakap ke? Perlu ke aku cerita segala kisah aku terutamanya peristiwa aku pernah putus tunang? Agak-agak kalau aku cerita aku pernah putus tunang tu dia akan reject tak idea mak-mak kita orang ni nak jodohkan kita orang? Kena cuba ni! Kalau dia yang dah reject idea tak berapa nak bernas ni maka aku tak payahlah nak cari alasan untuk reject idea ni. Haha!

“Ain!” Ainul Mardhiah yang sedang leka berfikir tanpa mempedulikan keadaan sekeliling terkejut apabila ada orang memanggil namanya seraya merentap lengan kanannya. Tubuhnya terpusing ke belakang.

“Lepaskan saya!” Ucap Ainul Mardhiah dengan suara yang keras.

Dia sungguh meluat dan menyampah apabila diperlakukan sebegitu rupa oleh lelaki yang berdiri di hadapannya sekarang ini. Dia cuba untuk menarik lengannya tetapi tangan lelaki itu lebih kuat mencengkam. Dia ingat aku ni apa? Ikan kat pasar yang boleh suka-suka hati nak pegang dulu sebelum beli?

Hey, relax. Fiq bukannya buat apa-apa pada Ain. Ain kan pakai lengan panjang. Berlapik ni.” Lelaki yang membahasakan diri sebagai Fiq itu akhirnya melepaskan lengan Ainul Mardhiah.



“Encik Taufiq oi, berapa kali saya nak cakap? Berlapik tu bukan alasan untuk sesedap rasa pegang anak dara orang. Yang haram tetap haram. Kalau nak kira berlapik, kita sekarang ni sama-sama dah pakai baju, so boleh berpelukanlah? Dengan alasan sebab berlapik, macam tu? Kalau dekat akhirat nanti awak boleh jawab sebijik-sebijik macam tu then silakanlah. Tapi bukan dengan saya, itu sudah pasti!” Ainul Mardhiah sudah naik suara. Tidak dia peduli jika ada mata-mata yang memandang mereka. Geramnya aku dengan dia ni! Kenapa dia boleh muncul kat sini pula? Ceh, ayat bajet macam shopping complex ni bapa aku yang punya! Suka hati dialah kan nak ada dekat mana-mana. Tapi dia tak boleh nak suka-suka hati pegang-pegang aku! Ingat aku ni beras cap Suka Hati? Sorry!

Lelaki yang bernama Taufiq itu sudah menggaru-garu belakang kepalanya yang tidak gatal.

“Okey, Fiq minta maaf. Tadi Fiq panggil Ain banyak kali tapi Ain tak menoleh juga itu yang Fiq kejar Ain and tarik lengan Ain tu.” Taufiq membuat penjelasan.

Ainul Mardhiah buat muka tanda tetap tidak boleh menerima penjelasan yang lelaki itu berikan. Melihat Ainul Mardhiah yang berdiam diri, Taufiq kembali bersuara.

“Ain dah dinner? Kalau belum jom dinner dengan Fiq. Sebagai tanda minta maaf Fiq pada Ain.”

Erk? Tanda minta maaf dengan belanja aku dinner? Dia ingat maruah diri orang perempuan ni semurah tu ke? Kalau dia bawa pergi makan kat tempat paling mahal dalam dunia ni sekalipun, maruah diri orang perempuan tetap lebih mahal dari semua tu.

Sorry Fiq, saya dah ada janji dengan orang lain.” Ujar Ainul Mardhiah walaupun dia sebenarnya tiada janji untuk makan malam dengan sesiapa.

Please Ain. I have something to discuss about us.” Taufiq sudah merayu. Ainul Mardhiah alihkan pandangan ke arah lain. Dia menarik nafas dan menghembuskan nafas, cuba untuk tetap bersabar.

I’m so sorry Fiq. There is no ‘us’. Kita dah takde apa-apa hubungan dan takde apa yang nak dibincangkan lagi.” Tegas suara Ainul Mardhiah.

“Ain, Fiq tahu yang Ain masih sayangkan Fiq. Dah tiga tahun kita putus tapi Ain tetap single. Fiq tahu dan yakin yang Ain masih tunggu Fiq.” Taufiq bersuara mendayu-dayu.

Riak wajah Ainul Mardhiah berubah. Bukan kerana apa yang Taufiq katakan sebentar tadi adalah benar tetapi kerana apa yang dikatakan langsung tidak benar. Dia ni sewel ke apa? Aku sekali pun tak pernah cakap yang aku sayangkan dia. Aku single and ready to mingle ni takde kaitan langsung dengan dia. Dah kalau jodoh aku belum sampai lagi memanglah aku still single. Takde maknanya aku nak tunggu dia. Terlebih yakin pula dia ni. Simpan sikit yakin tu untuk masa depan!

That is totally not true. Saya tak pernah cakap yang saya sayangkan awak dan dalam masa tiga tahun ni satu saat pun saya tak pernah tunggu awak. I’m late. I’m sorry, I got to go.” Ujar Ainul Mardhiah mula melangkah untuk meninggalkan Taufiq. Taufiq segera mengekorinya. Ainul Mardhiah berhenti berjalan dan berpusing menghadap Taufiq.

“Kalau awak tak nak saya menjerit dekat tengah-tengah shopping complex ni baik awak jangan ikut saya. And one more thing, stop calling me Ain!” Ainul Mardhiah terus berlalu meninggalkan Taufiq. Langkah cepat-cepat dia atur keluar dari Plaza Alam Sentral tersebut.



AINUL MARDHIAH menoleh-noleh ke belakang bagi memastikan Taufiq betul-betul tidak mengekorinya. Dia menarik nafas lega apabila sudah pasti yang dia tidak diekori. Sememangnya dia tidak akan teragak-agak untuk menjerit jika Taufiq benar-benar mengekorinya tadi. Langkah kaki dia hayunkan ke pusat membeli-belah yang tidak jauh dari Plaza Alam Sentral. Dia terus berjalan meskipun tiada tujuan.

Ya Allah, macam manalah boleh terserempak dengan dia? Dalam banyak-banyak orang yang ada dalam dunia ni kenapa mesti dia? Dah lah dia tu tak faham bahasa. Aku tak tahulah aku nak kena cakap bahasa apa nak bagi dia faham. Aku sayang dia? Aku tunggu dia? Pfftt! Bermimpi di siang hari betul! Pada aku bila sesuatu perhubungan tu dah putus then it is over. Tak perlu nak dikenang-kenang. Just move on.

Dia hilang ingatan sekejap kut. Dia lupa agaknya yang selama tiga tahun ni dia yang beria call and text aku. Aku tak pernah respond pun. Dia contact bukan sebagai seorang sahabat tapi sebab nak jalinkan semula ikatan yang dah putus tu. Tak nak aku! Ni tak pasal-pasal aku sampai ke SACC Mall ni semata-mata nak lari dari dia. Tetap kena patah balik ke sana sebab kereta kat sana.

            Aplikasi WhatsApp di telefon pintar dia buka. Mesej buat satu-satunya teman serumahnya dan juga buat si adik di rumah dia karang dan hantar. Setelah itu dia membawa diri untuk ke surau. Sengaja dia bergerak awal ke surau supaya apabila masuk waktu Maghrib nanti dia tidak perlu beratur panjang untuk mengambil wudhuk.



KERETA dipandu sederhana laju. Mahu tidak mahu Ainul Mardhiah perlu juga pulang ke rumah sewanya dan bersedia untuk menghadapi hari esok. Kasihan juga jika dibiarkan adik perempuannya itu seorang diri di rumah. Tidak mahu membiarkan fikirannya terus menerawang jauh, dia menghidupkan radio agar ada bunyi-bunyian dan tidaklah terlalu sunyi. Alunan muzik memenuhi ruang kereta. Ketika itu bahagian korus sebuah lagu popular nyanyian Kelly Clarkson sedang berkumandang.

What doesn’t kill you makes you stronger
Stand a little taller
Doesn’t mean I’m lonely when I’m alone
What doesn’t kill you makes you stronger
Footsteps even lighter
Doesn’t mean I’m over cause you’re gone
What doesn’t kill you makes you stronger, stonger
Just me, myself and I
What doesn’t kill you makes you stronger
Stand a little taller
Doesn’t mean I’m lonely when I’m alone

            Ainul Mardhiah tersenyum sendiri mendengar lagu tersebut. Dia dapat rasakan bahawa peribahasa yang diulang-ulang dalam lagu itu agak bersesuaian dengan keadaan dirinya sekarang. Aku runsing-runsing pasal kena jumpa Wan Baju Biru tu buat apa kan? Setakat ibu suruh berkenalan dulu dengan dia then berkenalan ajelah. Tak mati pun setakat kena jumpa dia, itupun kalau ajal aku bukan masa jumpa dia lah! So, try to chill Ain. Cheer up! What doesn’t kill you makes you stronger.

            Namun tidak lama dia dapat berfikiran positif, datang pula babak Taufiq yang menarik lengannya ditambah dengan apa yang Taufiq ucapkan. Dia ingat dia tu siapa? Seriously dia ingat aku still tunggu dia? Seribu tahun lagi pun aku takkan pernah tunggu dia. Serik dah dengan apa yang pernah jadi. Ayat dia bajet macam tak ada orang yang boleh ganti tempat dia. Kau silap oranglah Fiq! Bukan takde orang yang boleh ganti tempat kau, cuma aku je yang belum rasa nak cari pengganti. And again, try to chill Ain. What doesn’t kill you makes you stronger, remember?

            Ainul Mardhiah akhirnya tiba di rumah sewanya. Dari luar dia dapat lihat lampu bahagian ruang tamu terpasang. Dia keluar dari kereta untuk membuka pintu pagar dan kembali masuk ke dalam kereta untuk memarkirkan kereta di halaman rumah sewanya ini. Setelah itu enjin kereta dimatikan dan dia sandang beg tangan lalu keluar dari kereta. Usai mengunci kereta, dia bergerak ke arah pintu pagar untuk menutup pintu pagar pula. Sambil berjalan ke arah pintu rumah, dia menyeluk beg tangan untuk mencapai segugus kunci. Belumpun sempat untuk dia keluarkan gugusan kunci dari beg tangannya, pintu rumah sudah dibuka dari dalam.

            “Assalaamu`alaikum.” Ainul Mardhiah memberi salam kepada adik bongsunya itu. Ketika itu si adik sudah berjalan semula ke ruang tamu. Ainul Mardhiah mengunci pintu grill dan pintu rumah.

            “Wa`alaikumussalam. Lama Kak Ngah OT hari ni. Duit OT Kak Ngah nanti bolehlah belanja Mira. Alhamdulillah, rezeki.” Amira sudah meraup muka. Dia sangka yang kakaknya itu bekerja lebih masa apabila dia menerima mesej dari kakaknya melalui aplikasi WhatsApp yang mengatakan kakaknya itu ada hal.

            Ainul Mardhiah memandang jam dinding yang berada di ruang tamu itu. Sudah pukul 9.27 malam. Lambatnya aku balik. Seriously tak sedar pun masa berlalu. Mendalam sangat berfikirnya. Haha!

            “Angah bukan OT, ada hal lain. Alah Mira tak payah nak tunggu duit OT sebab duit OT ke duit tak OT memang Angah sentiasa belanja Mira pun kan.” Ujar Ainul Mardhiah. Tidak dia ceritakan hal yang dia maksudkan adalah berjalan tanpa arah tujuan di pusat membeli-belah.

            Amira sudah tersengih kerana sememangnya betul apa yang kakaknya itu katakan. Matanya kembali tertancap pada skrin televisyen.

            “Kak Ngah, lupa nak beritahu, esok jumpa dia orang dekat Mid tau. Terus jumpa dekat food court pukul 11.30 pagi.” Amira mengkhabarkan kepada Ainul Mardhiah tempat perjumpaan pada esok hari. Mid yang disebut Amira merujuk kepada pusat membeli belah Mid Valley.

            Ainul Mardhiah tidak memberi sebarang reaksi dengan berita yang baru diterima itu.

            “Mira dah dinner kan? Angah ada pesan pada Shud minta tolong belikan makanan untuk Mira.”Ainul Mardhiah bersuara.

            “Dah. Ada Kak Shud belikan masa dia balik dari kerja. Lepas dia kemas-kemas barang sikit then dia terus gerak balik kampung.” Jawab Amira. Ainul Mardhiah sudah mengangguk-anggukkan kepalanya. Sememangnya Shuhadah ada memberitahu Ainul Mardhiah bahawa dia akan pulang ke kampung halaman pada minggu itu.

            “Oh, okey. Ada dia beritahu yang dia memang nak balik kampung minggu ni. Hmm, Angah masuk bilik dulu ek. Kalau lapar lagi cakap tau.”

            Tidak tunggu lama, Ainul Mardhiah terus membawa diri masuk ke dalam biliknya. Suis lampu dan kipas dia petik. Tudung yang telah dia buka semasa di ruang tamu sebentar tadi dia letakkan di dalam bakul baju untuk dibasuh pada hari esok ataupun Ahad nanti. Beg tangannya pula dia letakkan di atas katil sementara dia duduk bersila di atas lantai. Telefon pintarnya yang sememangnya dari tadi dia pegang dibuka. Nama Shila dia cari dan dia terus membuat panggilan. Tidak lama menunggu, panggilannya dijawab.

            “Assalaamu`alaikum Cik Mar. May I help you?” Shila bersuara dengan nada ceria.

            “Wa`alaikumussalam. Sorry Shila ganggu kau malam-malam macam ni.” Ujar Ainul Mardhiah. Setelah itu dia mendiamkan diri. Apabila terpandang pintu bilik yang tidak bertutup, dia bangun dan segera menutup pintu biliknya. Tidak mahu si adik terdengar apa yang akan dia luahkan kepada teman baiknya itu. Setelah menutup pintu bilik, dia kembali duduk bersila.

            “Ish, mana ada ganggu. Untuk kawan baik aku ni aku sentiasa ada masa. Kau kenapa ni? Ada masalah ke? Cuba cerita kat aku.” tanya Shila.

            “Masalah tu hmmm… tak dikira masalah kut tapi aku geram sebenarnya ni.”

            “Geram dengan siapa pula ni?” Shila bertanya lagi.

            “Aku geram kat dia! Ada ke patut dia cakap aku sayang dia, aku still tunggu dia. Apa kejadahnya aku nak tunggu dia? Takde motif langsung. Aku boleh teruskan hiduplah walau takde dia. Lagi aman hidup aku tanpa dia. Dia tu yang selalu ganggu ketenteraman hidup aku dia tak sedar pula.” Ainul Mardhiah melepaskan apa yang terbuku dalam hati.

            “Wow! Dahsyat apa yang dia dah buat kat kau sampai takde intro langsung dah pasal dia. Dia mana pula ni?”

           “Taufiq.” Lambat-lambat Ainul Mardhiah sebut juga nama si dia yang berjaya membuat dirinya geram pada hari ini.

            “Taufiq? Bila masa kau jumpa dia?” Shila terkejut.

            “Memang taklah aku nak jumpa dia! Terserempak dengan dia petang tadi.” jawab Ainul Mardhiah. Dia menarik nafas dalam-dalam dan dihembuskan nafasnya itu.

            “Lepas tu apa jadi? Dia cakap semua-semua tu kat kau lah ya? Dia cakap kau sayang dia dan kau still tunggu dia?” bertubi-tubi Shila bertanyakan soalan.

            “Hmm… Itulah yang aku jadi geram tu. Walaupun benda tu memang tak betul tapi bila dia cakap yang aku single dah tiga tahun ni sebab tunggu dia memang lagi geramlah kau. Menyirap je aku dengar. Nasib baik aku boleh control lagi waktu tu.”

            “Alalala, kasihannya kawan aku ni. Biarkanlah dia Mar. Kumbang bukan seekor. Dia perasan dia aje kumbang dalam dunia kau kut. Kau nak geram-geram kat dia pun takde faedahnya juga.” Shila berkata panjang lebar. Ainul Mardhiah sudah menganggukkan kepalanya walaupun Shila tidak dapat melihat anggukannya itu.

            “Itulah, takde faedah kan. Okeylah Shila, aku nak cakap tu aje. Legalah sikit hati aku ni. Thanks for listening and sorry for disturbing you.”
        It’s okay Mar. Tak ganggu pun. Sekurang-kurangnya bila kau luahkan perasaan kau ni kau akan lega.”

            Okay. Good night mommy-to-be. Thanks again. Assalaamu`alaikum.”

            My pleasure auntie-to-be. Hehe. Wa`alaikumussalam.”

            Perbualan mereka tamat. Ainul Mardhiah masih lagi memegang telefon pintarnya. Pandangan mata hanya merenung kosong lantai biliknya itu. Tidak lama kemudian, telefon pintarnya berbunyi menandakan ada mesej baru masuk di aplikasi WhatsApp. Dia sentuh untuk membaca penuh mesej yang dia baru terima dari Shila. Dia ketawa tatkala membaca apa yang tertera pada imej yang dihantar oleh Shila. Ulasan Shila pada imej tersebut menambah perisa.

World population: 7, 810, 423, 756 Just in case your ex is feeling irreplaceable.

            Nampak tak Cik Mar oi? Banyak lagi calon-calon di luar sana yang boleh menggantikan dia! Jangan layan orang mental macam tu. Hahaha! Lagipun esok kau nak jumpa Wan Baju Biru kan. Maybe he is your other half. Who knows? ;p

Shila… Shila… Kau tahu-tahu je nak hiburkan hati orang. Semua orang dalam dunia ni perlukan sahabat macam kau. Haha! Ainul Mardhiah baca kembali tulisan yang tertera pada imej berserta ulasan Shila.

            Wan Baju Biru... Are you my other half?



…insya Allah, akan bersambung… cuma tak boleh nak janji bila…


Kepada anda yang sudi baca,

Terima kasih banyak-banyak… saya tahu masih banyak kekurangan tapi terima kasih kerana tetap sudi meluangkan masa berharga anda untuk baca karya picisan saya ni… As usual, open to any suggestions and criticism… Saya budak baru belajar, kalau salah tolong tunjuk ajarku sifu! *kalau typo harap maaf dan tegur* Mucho gracias~!

ps: during my university life, my friends and I do call Plaza Alam Sentral as PAS... I'm not sure whether the juniors still use it... Anddddd I'm excited nak sambung Bab 5 sebab 'perjumpaan tiga penjuru'... hehe

.:|[ Suha Fasihah ]|:.

Credit: FB Virgin Radio Lebanon


2 comments:

  1. Assalamu'alaikum. Thank you utk Bab 4. Sila rajinkan diri utk menaip Bab 5. ok??? Akan ku tunggu dari mu.. huhu...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumussalam...

      Thank you sudi baca... Hehe
      Bab 5 akan diusahakan... Paling awal last day bulan 4... Kalau takde maknanya bulan 5 baru ada... Haha!

      Delete

manis bicara indah tutur kata...
selamat meninggalkan jejak kasih anda...