Social Icons

Tuesday, October 20, 2015

eNovel | Saya Isteri Baru Belajar .:|[ BAB 15 ]|:.



MOTOSIKAL dibelokkan ke kanan. Najmi Nazrin fokus ke hadapan. Dia tidak tahu kenapa kereta di hadapannya itu perlu membawa dengan laju sedangkan ini merupakan kawasan kedai yang jalannya tidaklah luas mana dan bila-bila masa boleh ada sesiapa sahaja yang tidak berhati-hati melintas jalan. Dia dalam perjalanan untuk ke kedai makan yang selalu dia kunjungi bagi berjumpa dengan rakan lama. Tiba-tiba dia kedengaran hon dibunyikan oleh kereta di hadapannya dan seorang gadis sudah jatuh ke kiri kerana mengelak kereta yang laju itu. Dia segera bertindak membrek motosikalnya. Mujurlah dia tidak membawa dengan laju. Motosikalnya berhenti betul-betul berdekatan dengan gadis yang terjatuh itu.

Najmi Nazrin menoleh ke belakang. Dia menarik nafas lega kerana tiada kenderaan lain di belakangnya jika tidak mungkin sudah terjadi kemalangan pula. Motosikal dia tongkatkan di tepi dan dia menghampiri si gadis yang sudah terduduk. Dia dapat lihat si gadis itu sudah mula duduk memeluk lutut. Tangan gadis tersebut terketar-ketar. Mungkin kerana masih terkejut dengan apa yang baru berlaku. Dia dapat lihat tapak tangan gadis tersebut yang berdarah tetapi tidak diendahkan oleh gadis itu. Najmi Nazrin serba salah. Tidak tahu apa yang patut dia lakukan.

“Cik, cik okey tak ni? Tapak tangan cik berdarah tu. Nak saya bawa cik pergi klinik?” tanya Najmi Nazrin.

Gadis tersebut dia lihat sudah menggelengkan kepala. Air mata mengalir membasahi pipi walaupun dia menangis tidak mengeluarkan suara. Saat itu kenderaan lain yang lalu sudah memandang pelik drama sebabak yang sedang berlangsung di tepi jalan. Najmi Nazrin kaget. Dia sudah menggaru kepalanya yang tidak gatal. Dia tahu yang dia harus lakukan sesuatu tetapi dia tidak tahu apa yang seharusnya dia lakukan. Jika yang sedang menangis itu adalah adik kandungnya sudah tentu dia tahu apa yang perlu dia lakukan.

“Sakit sangat ke luka cik tu? Saya bawa cik pergi klinik ya.”

Segera Najmi Nazrin parkirkan motosikalnya dan mematikan enjin. Dia kembali ke arah gadis tersebut dan memegang lengan gadis yang berbaju lengan panjang itu. Walaupun berlapik, dia tetap rasa bersalah.

Gadis itu hanya menurut dan bangun. Beg tangannya yang sudah terjatuh tidak dia pedulikan. Najmi Nazrin mengutip beg tangan tersebut dan menggalasnya pada bahu kanan. Dia memandang ke kiri dan dia dapat lihat sebuah klinik yang berada tidak jauh dari situ. Langkah kaki dia atur untuk menuju ke klinik tersebut. Si gadis yang kelihatan tidak stabil sudah dia pegang berhampiran pergelangan tangan dan mengikut langkah kakinya. Sekali pandang, Najmi Nazrin kelihatan seperti seorang suami yang tidak segan silu menggalas beg si isteri.

Sesekali pandangan Najmi Nazrin jatuhkan pada si gadis yang masih lagi menangis itu. Mujurlah mereka kini tiba di klinik. Najmi Nazrin membawa gadis tersebut untuk duduk di kerusi menunggu yang disediakan. Dia menuju ke kaunter dan segera cari sebarang pengenalan yang terdapat di dalam beg tangan bagi tujuan pendaftaran. Zinnirah. Sedap nama dia. Sempat Najmi Nazrin puji dalam hati.

“Ni IC dia. Tadi dia jatuh sebab nak mengelak kereta yang laju. Tapak tangan dia luka tapi yang saya nampak tak teruk sangat cumanya dari tadi dia asyik menangis, mungkin sakit sangat kut. Boleh tak kalau saya nak minta tolong rawat dia dulu?” dengan panjang lebar Najmi Nazrin menerangkan kepada pekerja yang berada di kaunter.

“Abang Najmi!”

Tersentak Najmi Nazrin saat namanya dipanggil dengan kuat. Terlepas hos getah yang dia gunakan untuk membilas motosikal kesayangannya. Dia memandang ke arah datangnya suara itu.

“Tina, terkejut aku. Datang rumah orang bukan nak beri salam dulu.” Najmi Nazrin menunduk mengambil hos getah yang terjatuh. Dia kembali membilas motosikalnya di tempat yang masih berbuih sabun.


“Amboi, Abang Najmi tu yang berangan entah sampai planet mana nak kata Tina pula yang tak beri salam. Dah penat Tina beri salam tapi abang Najmi tu yang mengelamun.” Tina membalas tuduhan melulu dari Najmi Nazrin. Tina sebenarnya hanyalah muda setahun dari Najmi Nazrin dan sejak kecil mereka sudah biasa beraku-kau. Najmi Nazrin tidak pasti sejak bila Tina mula memanggilnya Abang Najmi tetapi Najmi Nazrin tetap mengekalkan penggunaan aku-kau.

“Yalah, waalaikumussalam. Sorry, aku yang tak perasan kau datang. Ada apa ni?” tanya Najmi Nazrin tanpa perlu menunggu lama. Motosikalnya juga sudah siap dibilas.

“Ni ha nak bagi karipap yang Abang Najmi suka ni. Ada inti sardin dan inti kentang.” sambil tersenyum Tina menghulurkan satu bekas plastik berisi karipap yang dia maksudkan.

Najmi Nazrin bergerak menutup pili air. Sempat dia bilas tangannya yang bersabun terlebih dahulu. Dia kemudiannya menghampiri pagar menyambut pemberian Tina. Sememangnya karipap adalah kuih kesukaannya namun selepas peristiwa Najla Naqiyah memberitahu perancangan untuk menjodohkan dirinya dan Tina, karipap sardin pun dia rasa tawar sahaja.

“Okey, terima kasih. Bekasnya nanti aku suruh mak aku pulangkan ya.”

Tina sudah mengangguk. Dia masih tersenyum memandang lelaki di hadapannya ini. Najmi Nazrin sudah memandangnya pelik.

“Ada apa-apa lagi ke?” soal Najmi Nazrin.

Tina sudah menggeleng-gelengkan kepalanya, “eh, takde apa-apa dah. Tina balik dulu ya. Assalamualaikum.”

Najmi Nazrin menjawab salam di dalam hati. Takkan nak menyesal sebab bangun awal pula. Hari ni memang sengaja bangun awal sebab nak basuh motor tapi manalah tahu akan jumpa Tina pula. Sambil berkata di dalam hati dia membawa bekas berisi karipap tersebut ke dapur. Ketika itu Puan Nafisah baru sahaja selesai menyiapkan sarapan pagi.

“Tina datang hantar karipap ni ya?” soal Puan Nafisah. Sebenarnya jika dia tidak bertanya pun dia sudah tahu kerana Tina sememangnya selalu menghantar karipap ke rumah mereka.

“Haah, ibu nanti jangan lupa pulangkan bekas dia ni ya.”

Puan Nafisah sudah tersenyum.

“Ibu tahulah Along. Ini bukan kali pertama Tina bagi karipap ni. Kan karipap ni Along punya favourite.”

Najmi Nazrin sudah menelan liur. Cuak. Kalau boleh dia tidak mahu Tina menjadi subjek utama perbualan. Dia rela jika karipap menjadi subjek perbualan tetapi biarlah karipap hasil air tangan orang lain dan bukannya karipap dari air tangan Tina.

“Tina tu baik budaknya. Pandai memasak, pandai buat kerja rumah dan yang paling penting hormat orang tua pula tu. Ibu tengok dia membesar dari kecil. Cumanya yang ibu kurang berkenan dengan bab pemilihan pakaian dia tu. Bertudung tu dah okey tapi baju pula yang ketat. Tapi ibu yakin, dengan bimbingan dan kasih sayang seorang suami Tina boleh berubah ke arah yang lebih baik. Tina tu jenis yang boleh terima apa yang orang cakap,” Puan Nafisah bercerita panjang lebar sambil dua ayat terakhirnya sempat dia jatuhkan pandangan pada wajah anak lelakinya itu.

Sekali lagi Najmi Nazrin telan liur. Sedikit gusar mendengar apa yang si ibu katakan dan apa yang lebih menyeramkan adalah dua ayat terakhir yang si ibu tuturkan sambil memandang dirinya. Dia sudah tidak sedap hati. Ibu, tolong jangan cakap pada Along yang ibu nak Along jadi suami Tina.

Telefon pintar Najmi Nazrin berbunyi. Lega. Sekurang-kurangnya dia boleh lari dari dapur sebelum ibunya menyuarakan perkara yang tidak mahu dia dengar. Dia bergerak laju ke ruang tamu lalu mencapai telefon pintarnya yang berada di atas sofa.

“Assalamualaikum, Jee. Thanks for calling. Timing Jee call memang baik punya. You’re my savior,” ujar Najmi Nazrin.

“Waalaikumussalam. Along kena sampuk dengan apa ni? Pelik semacam je Jee dengar. Jee saje call ingatkan Along tengah tidur, baru plan nak kacau. Tak thrill lah Along dah bangun.”

“Fateenah hantar karipap.” kata Najmi Nazrin dengan suara yang dikawal supaya si ibu di dapur tidak mendengar apa yang dia cakapkan.

Najla Naqiyah di hujung talian sudah berkerut dahi. Fateenah mana pula ni?

“Fateenah tu nama hantu mak cik karipap yang glamour tu ke? Hebat, Along berjaya selidik nama dia! Dia hantar karipap ikut tingkap bilik Along ke?”

“Apa Jee merepek pagi-pagi cakap pasal hantu mak cik karipap pula ni. Fateenah tu Tina itulah, siapa lagi.” Najmi Nazrin sudah membalas geram.

“Oh, Tina Tonggek. Sorry, Jee betul-betul lupa pula nama sebenar dia. Hehe. Dah tu apa salahnya dia hantar karipap? Dari dulu lagi setiap kali hujung minggu dia memang selalu hantar karipap favourite Along tu kan?”

“Memanglah tak salah Jee. Yang tak bestnya bila ibu dah puji dia macam-macam siap cakap kalau dia dibimbing dengan elok insya Allah dia akan berubah ke arah yang lebih baik. Sambil cakap tu ibu pandang Along pula tu. Seram sejuk Along. Nasib baiklah lepas tu Jee call, selamat Along.” Najmi Nazrin menghembuskan nafas lega. Sekurang-kurangnya lega buat masa sekarang.

Najla Naqiyah di hujung talian sudah terbahak-bahak mentertawakan si abang. Alangkah bahagianya jika dia dapat lihat sendiri reaksi abangnya itu di depan mata.

“Makanya Along, kena cepat-cepatlah cari calon Kak Long lain untuk Jee kalau tak nak tengok Tina jadi kakak ipar Jee. Kalau dia jadi kakak ipar Jee maknanya dia jadi bini Along tahu tak?”

“Along tahulah Jee. Masalahnya Jee ingat calon Kak Long untuk Jee tu boleh tiba-tiba jatuh tergolek dari langit ke? Kalau macam tu senanglah hidup.”

All the best Along. Haha!” Najla Naqiyah ketawa lagi.

“Eh, sebelum Jee lupa nak ingatkan Along yang birthday ibu tak lama lagi. Jee ingat instead of cake, tahun ni nak order cupcake pula. Masa Jee scroll FB hari tu ada jumpa satu kedai ni menarik je cupcakes dia. Reviews pun okey. Jee ingat nak try order kat kedai tu. Along setuju tak?”

“Along setuju je. So, kita celebrate kat rumah macam biasalah ni?”

“Yup, macam biasa cuma bertambah seorang ahli je. Manalah tahu tahun depan ada Kak Long pula join kan.”

“Amin… Along aminkan aje tapi Along doa minta-mintalah bukan jiran selang dua buah rumah tu yang jadi Kak Long. Jee pun tolong doa sekali ya.”

Najla Naqiyah sudah tergelak mendengar apa yang si abang doakan. Selepas menamatkan perbualan, Najmi Nazrin duduk termenung memandang skrin televisyen yang tidak dihidupkan. Calon Kak Long. Dan tiba-tiba dia terkenang seraut wajah milik Zinnirah.



… insya Allah akan bersambung…

Khas buat anda yang sudi baca,
Terima kasih kaun keladi, sudi-sudi bacalah lagi… maaf untuk sebarang kesalahan… doakan kita semua dapat mencapai apa yang kita impikan dan semoga urusan kita dipermudahkan… aamiin…
.:|[ Suha Fasihah ]|:.

No comments:

Post a Comment

manis bicara indah tutur kata...
selamat meninggalkan jejak kasih anda...