Social Icons

Thursday, November 05, 2015

eNovel | Saya Isteri Baru Belajar .:|[ BAB 17 ]|:.





SUARA hilaian tawa memenuhi ruang tamu. Najla Naqiyah dan Auni Atiqah sudah tergelak saat mereka menonton kembali episod lama rancangan Running Man yang menjadi kegemaran mereka. Ada-ada sahaja gelagat ahli-ahli Running Man yang tidak pernah gagal untuk mencuit hati dan menyebabkan mereka ketawa tidak kering gusi. Najla Naqiyah sudah mendaratkan tangan kanannya pada perut. Dia memandang Auni Atiqah yang secara kebetulan turut sama memandang dirinya.

“Aku laparlah,” serentak Najla Naqiyah dan Auni Atiqah bersuara. Masing-masing sudah menghamburkan tawa. Tidak mereka peduli rancangan Running Man yang masih dimainkan di komputer riba Najla Naqiyah.

“Itulah tadi kita makan awal sangat,” ujar Najla Naqiyah.

Sememangnya mereka makan malam mengikut ‘jadual’ Auni Atiqah. Beberapa minit sebelum jam menginjak ke angka 7.00 mereka sudah menghabiskan makan malam mereka. Najla Naqiyah sudah lali dengan waktu makan malam Auni Atiqah kerana semasa mereka di kolej kediaman dahulu, waktu makan Auni Atiqah itulah yang akan mereka ikut. Bezanya selepas itu Najla Naqiyah dan Hasni Hidayah akan makan mi segera pula apabila mereka berasa lapar di tengah malam. Hari ini dalam sejarah, Auni Atiqah turut lapar belumpun sampai tengah malam. Najla Naqiyah kerling jam dinding yang sudah menghampiri angka 9.30 malam.

“Nak masak ke nak pergi makan kat luar?” tanya Auni Atiqah.

“Kalau ikutkan aku malas nak memasak dah malam macam ni tapi sekarang dah nak dekat pukul sembilan setengah dah. Kalau zaman duduk kolej, waktu macam ni aku rela lagi menapak pergi beli makanan,” jawab Najla Naqiyah pula. Dia masih berkira-kira mahu memasak ataupun makan di luar sahaja.

“Aku okey aje kalau nak keluar tapi kau tu lain, dah jadi bini orang,” balas Auni Atiqah mengingatkan status isteri yang disandang oleh sahabat baiknya itu. Dia dapat lihat dengan jelas wajah berfikir Najla Naqiyah.

Sambil menggosok-gosok perut yang lapar, Najla Naqiyah masih lagi berfikir. Nak keluar ke tak? Nak keluar ke tak? Takpe kut keluar, orang tua tu dah bagi permission in advance untuk keluar ke tempat yang perlu selagi boleh menjaga maruah diri dan suami. Insya Allah, aku boleh buat. Bukannya aku nak berpeleseran tak tentu hala. Aku cuma nak keluar makan dengan Auni lepas habis makan terus balik rumah. Should be no problem right?

Akhirnya dia bertindak menghentikan Running Man dan menutup semua tetingkap pada komputer ribanya. Setelah itu komputer ribanya itu dia matikan. Auni Atiqah seakan tidak percaya melihat apa yang Najla Naqiyah lakukan.

“Jomlah bersiap pergi makan kat luar. Aku mengidam nak makan tom yamlah. Aku mana reti nak masak tom yam. Bahan-bahan nak masak tom yam pun bukannya ada.”

Najla Naqiyah sudah bangun dari duduk. Auni Atiqah sudah ternganga mendengar apa yang Najla Naqiyah tuturkan.

“Jee, kau… kau pregnant ke? Berapa bulan?” soal Auni Atiqah yang masih terkejut.


“Hoi, tutup mulut kau tu. Kalau aku pregnant pun apa salahnya kan? Kau juga yang dapat anak buah.”

Semakin Najla Naqiyah menyuruh Auni Atiqah untuk menutup mulut, semakin besar pula mulut Auni Atiqah terlopong. Kali ini berserta pakej mata yang sudah terbeliak.

“Be… be… betullah ni kau pregnant?” soal Auni Atiqah lagi.

“Haha, taklah weh! Belum rezeki lagi nak timang anak. Kau ni aku cakap macam tu pun nak percaya ke?” Najla Naqiyah sudah ketawa.

Auni Atiqah sudah menghembuskan nafas dengan kuat yang kedengaran seperti keluhan.

“Ish kau ni tak baik main-main macam tu,” mulut Auni Atiqah sudah muncung.

“Mana ada aku main-main. Selama ni kita memang guna perkataan mengidam pun kan bila rasa nak makan apa-apa?” Najla Naqiyah membela diri.

“Memanglah tapi dulu kita single and ready to mingle, kali ni kau tu dah kahwin so perkataan mengidam ni automatik jadi sensitif sikit bila sebut,” balas Auni Atiqah pula.

Hmm yalah Cik Auni, nak pergi keluar makan tak ni? Kalau taknak aku pergi seorang je,” kata Najla Naqiyah padahal dia bukan berani hendak pergi seorang diri. Dia sudah mula berjalan untuk ke biliknya.

“Naklah weh, lapar gila kut!” jawab Auni Atiqah sambil bangun dari duduk.

“Jom kita pergi makan dekat tempat yang kau cerita tu. Apa entah nama dia aku dah lupa. Riang Ria? Riang Gembira? Hilai Tawa?” cadang Auni Atiqah sewaktu dia menurut langkah Najla Naqiyah.

 “Hilai Tawa pun boleh…” ujar Najla Naqiyah yang sudah ketawa kecil sambil menggelengkan kepalanya.




NAJLA NAQIYAH mengenakan skirt jeans labuh berserta t-shirt muslimah. Tudung yang dikenakan pula adalah tudung bawal bidang 55. Dia selesa begitu. Sarung kaki dan tangan tidak dia lupa untuk dipakai. Auni Atiqah pula mengenakan seluar jeans berserta baju muslimah berserta tudung ‘ekspres’. Dia turut mengenakan sarung kaki dan tangan. Pemakaian sarung kaki baru juga mereka amalkan setelah mendapat kesedaran bahawa kaki juga adalah aurat manakala sarung tangan adalah supaya memastikan lengan mereka tidak terdedah sekiranya lengan baju terselak. Sekali pandang mereka sememangnya nampak seperti pelajar. Mana tidaknya itulah ‘fesyen’ mereka selama ini ketika ke kelas atau menghadiri aktiviti-aktiviti lain.
           
Usai menyarung sandal, pintu utama dibuka dan begitu juga dengan pintu grill. Sebaik sahaja Auni Atiqah keluar dari rumah, Najla Naqiyah bertindak mengunci pintu utama dan turut menutup pintu grill. Ketika dia baru sahaja ingin mengunci pintu grill dengan mangga untuk tujuan keselamatan berganda, pintu utama jiran sebelah rumah terbuka. Najla Naqiyah buat tidak endah sahaja kerana sememangnya dia tidak pernah berkenalan dengan jiran sebelah rumahnya. Auni Atiqah yang berdiri sebelah kanan Najla Naqiyah juga tidak mengendahkan jiran Najla Naqiyah yang baru sahaja keluar dari rumah. Selesai sahaja Najla Naqiyah memasang mangga, mereka berdua berpusing ke kiri untuk menuju ke arah lif.

            “Eh, Cik Berry! Cik Berry buat apa kat sini?” tiba-tiba ada satu suara menyapa.

             Terhenti langkah kaki Najla Naqiyah mahupun Auni Atiqah. Mereka berdua yang tadinya berjalan sedikit menunduk kini sudah mengangkat wajah memandang gerangan pemilik suara tersebut. Auni Atiqah terasa seperti déjà vu pula apabila mendengar suara yang menuturkan ayat yang sama itu. Ya Allah, apalah Doktor Jihad ni buat kat sini? Jangan cakap yang apartment sebelah ni dah selamat dia renovate jadi Klinik Mulia pula. Ni yang rasa nak conteng muka macam askar masuk hutan biar dia tak kenal aku. Malu weh, dahlah tadi aku sarung je balik baju yang aku pakai masa datang sini. Aduhai…

            Apa dia cakap tadi? Cik Berry? Siapa Cik Berry? Auni? Sejak bila Cik Apple dah bertukar jadi Cik Berry ni? Acai berry aku pernah dengar, apple berry aku tak pernah dengar lagi. Kena siasat ni! Najla Naqiyah bermonolog sendiri.

            “Oh, ‘moral support’ pun ada. Nak pergi mana ni?” tanya Jihad setelah dia dapat mengenal pasti gerangan wanita yang berjalan dengan Auni Atiqah. Sebentar tadi dia berjaya mengenal pasti Auni Atiqah kerana gadis itu memakai pakaian yang sama semasa berlanggar dengannya di luar kedai serbaneka pada hari ini. Tidak dia sangka daya ingatannya agak kuat. Okey, persoalan yang penting sekarang adalah siapa sebenarnya gadis misteri antara dia orang berdua ni? Macam mana nak tahu?

            “Eh, Doktor Jihad. Doktor baru buka klinik kat sebelah ni ke? Tak tahu pun. Gigih doktor buka klinik kat tingkat belas-belas macam ni. Kita orang nak keluar makan ni.” Najla Naqiyah bersuara apabila Auni Atiqah tidak menunjukkan sebarang tanda untuk bersuara. Sekadar berbasa-basi. Jee, kau berbasa-basi ke kau sengaja perli? Semestinya dia masih ingat lagi lelaki di hadapannya ini kerana nama lelaki tersebut tidak pernah dia jumpa sebelum ini.

            Jihad sudah tersengih dengan apa yang Najla Naqiyah katakan.

            “Ehem ‘moral support’, awak perli saya ke? Saya memang tinggal kat sini. Kebetulan kami pun nak keluar makan ni,” ujar Jihad. Ketika dia sebut perkataan ‘kami’ itu tadi barulah dia teringat akan kehadiran seseorang yang dari tadi sudah menyiku-nyiku dirinya. Dia buat tidak tahu sahaja walaupun dia tahu maksud yang mahu disampaikan oleh gerangan yang menyiku itu adalah supaya diperkenalkan kepada kedua-dua orang wanita di hadapan mereka.

            “Oh, okey. Selamat keluar makan doktor, kita orang gerak dulu,” laju sahaja Auni Atiqah tarik tangan Najla Naqiyah. Memandangkan Jihad masih belum lagi mengunci pintu apartmentnya maka masa berharga itu harus dia gunakan untuk mengelak dari terus berhadapan dengan Jihad. Tahu tak aku tengah malu ni? Takkan nak suruh Jee buka balik pintu semata-mata aku nak tukar baju lain.

            Auni Atiqah sudah berjalan laju. Najla Naqiyah terpaksa mengikut tempo langkah kaki sahabatnya ini kerana tangannya masih dipegang kemas oleh Auni Atiqah. Mereka berdua tidak membelok ke kanan untuk menggunakan lif sebaliknya Auni Atiqah heret Najla Naqiyah untuk turun menggunakan tangga yang paling hujung di blok tersebut. Sebenarnya ada tangga terdekat berdekatan apartment Najla Naqiyah tetapi memandangkan mereka sudah berjalan melintasi Jihad dan seseorang yang tidak mereka kenali maka Auni Atiqah buat keputusan untuk menggunakan tangga di sebelah hujung yang lain.

            “Kau dah kenapa heret aku turun guna tangga ni?” soal Najla Naqiyah. Ketika itu Auni Atiqah sudah melepaskan tangannya dan mereka berjalan menuruni anak tangga.

            “Malaslah nak guna lif. Lif kat apartment kau ni dahlah lembap, nanti masa tunggu lif nak sampai sempat jumpa dia lagi sekali,” balas Auni Atiqah. ‘Dia’ yang dimaksudkan olehnya tidak lain dan tidak bukan adalah Jihad.

            “Sejak bila kau terlebih mesra dengan doktor tu? Tak cerita kat aku pun. Maju setapak nampak! Aku rasa kau orang berdua memang berjodoh ni. Dia siap panggil kau Cik Berry lagi, dia tak tahu agaknya kau ni sebenarnya Cik Apple.”

            Urghh! Malaslah nak cakap pasal dia. Takde kaitan dengan berjodohlah kalau setakat tiga kali jumpa.”

            Uits, tiga kali? Ha, baik kau cerita kat aku bila kali kedua kau jumpa dia,” Najla Naqiyah sudah musykil bercampur teruja.

            Auni Atiqah semakin laju menuruni anak tangga. Dia sudah buat muka.




KERETA Myvi kesayangan si suami Najla Naqiyah parkir di tepi jalan. Dia membawa Auni Atiqah untuk makan di kedai yang pernah dia dan si suami kunjungi sebelum ini. Sememangnya di kawasan kedai ini para pelanggan akan meletakkan kenderaan berderet di tepi jalan. Enjin kereta Najla Naqiyah matikan dan dia sudah bersedia untuk keluar. Dia perlulah berhati-hati dan memandang lalu lintas di sebelah kanannya supaya tidak ada kenderaan lalu ketika dia membuka pintu kereta.

            “Dah sampai dah kedai ‘Hilai Tawa’ yang kau nak cuba ni. Kena menapak sikitlah,” ujar Najla Naqiyah kepada sahabatnya.

            Auni Atiqah sudah tersengih, tahu yang Hilai Tawa bukanlah nama sebenar kedai tersebut tetapi dia sendiri yang terlupa nama kedai itu walaupun Najla Naqiyah pernah bercerita sebelum ini. Auni Atiqah keluar dari kereta. Najla Naqiyah masih lagi memerhatikan kenderaan di sebelah kanannya yang masih bertali arus lalu menyebabkan dia tidak punya kesempatan untuk membuka pintu keretanya. Akhirnya dia buat keputusan untuk keluar melalui pintu di bahagian penumpang sahaja. Auni Atiqah sudah tergelak. Mujurlah Najla Naqiyah mempunyai susuk tubuh yang sederhana maka tidaklah menyukarkan dirinya untuk bergerak dari kerusi pemandu ke kerusi penumpang dan seterusnya keluar melalui pintu penumpang.

Setelah memastikan kereta sudah dikunci, Najla Naqiyah meraih tangan Auni Atiqah. Mereka berjalan beriringan menuju ke kedai yang Najla Naqiyah maksudkan. Masuk sahaja perkarangan kedai, hati Najla Naqiyah sudah tidak senang. Dia lihat ramai orang di setiap meja dan mulalah perasaan seperti sedang diperhatikan mula hadir. Bukanlah dia mahu perasan tetapi berdiri tegak seperti ini bila orang lain sedang duduk benar-benar membuatkan diri mereka seperti diperhatikan oleh orang ramai.

“Cik Berry, jomlah join kita orang sekali. Ada dua tempat kosong,” tiba-tiba satu suara datang menegur dan turut mempelawa Auni Atiqah untuk menyertai mereka.

Auni Atiqah dan Najla Naqiyah sudah berpandangan sesama sendiri. Melihat keadaan kedai yang penuh ini mereka tahu jika mereka memilih untuk menunggu, mereka tidak akan dapat tempat duduk dalam masa terdekat malahan semakin lambat mereka dapat makan semakin lambat jugalah mereka dapat pulang ke rumah. Jihad sudah berjalan kembali ke meja dan dia duduk si sebelah seorang lelaki yang sama Auni Atiqah dan Najla Naqiyah jumpa di luar apartment Jihad sebentar tadi.

“Apalah nasib jumpa dia orang kat sini. Macam mana dia orang boleh sampai lagi awal ni?” Auni Atiqah bersuara cukup untuk didengar oleh Najla Naqiyah.

“Cik Apple, kali keempat dah ni kau jumpa doktor tu. Mana tahu masin mulut aku ni memang berjodoh kau orang berdua. Tak payah nak pelik dia orang sampai lagi awal, tadi kau juga yang bawa aku turun guna tangga kan,” balas Najla Naqiyah.

            Mereka berdua akhirnya bergerak menuju ke meja yang dimaksudkan oleh Jihad. Auni Atiqah melabuhkan punggung di kerusi bertentangan dengan lelaki yang tidak dia kenali itu manakala Najla Naqiyah pula duduk bertentangan dengan Jihad. Sengaja Auni Atiqah mengelak dari duduk berhadapan dengan Jihad. Seorang pelayan dating mengambil pesanan makanan dan minuman dari Auni Atiqah dan Najla Naqiyah.

            Let’s start all over again. I’m Jihad. Just call me Jihad, tak perlu doktor-doktor sebab sekarang you guys are not my patients,” Jihad bersuara setelah pelayan yang mengambil pesanan berlalu pergi. Dia terasa kakinya disepak oleh lelaki yang sedang duduk di sebelahnya. Dia faham maksud itu.

            “Kenalkan, ini sepupu saya, Imtiyaz. Im, this is Cik Berry alias Cik Auni and this is Cik Berry’s moral support. I’m so sorry ‘moral support’, I don’t know your name,” Jihad mengenalkan sepupunya Imtiyaz kepada Auni Atiqah dan Najla Naqiyah tetapi malangnya dia masih tidak tahu nama Najla Naqiyah.

            I’m Imtiyaz, just call me Iyaz.” Imtiyaz memperkenalkan diri sambil turut tersenyum lebar.

            Buekkk! Nak muntah aku rasa. Nama dah elok Imtiyaz suruh panggil Iyaz. Dia ingat dia Iyaz yang penyanyi tu ke? Okey, dia berganda cerah dari Iyaz yang penyanyi tu tapi Iyaz? Seriously Iyaz? Suara dia sedap sangat mengalahkan Iyaz tu ke? Aku dengar tadi biasa aje suara dia. Najla Naqiyah mengomel di dalam hati. Walaupun ini merupakan pertemuan pertama dengan Imtiyaz, dia tidak berkenan dengan cara Imtiyaz memandang dirinya dan Auni Atiqah. Itulah salah satu perkara yang menyebabkan Najla Naqiyah membebel sendiri di dalam hati. Najla Naqiyah sudah menyiku Auni Atiqah. Auni Atiqah kembali menyiku Najla Naqiyah. Pandangan mata mereka larikan dari memandang tepat pemuda yang berada di hadapan mereka itu.

            “Najla, call me Jee. And as you all know this is Auni, she’s my best friend,” ujar Najla Naqiyah ringkas. Sekali lagi dia sekadar berbasa-basi.

Najla Naqiyah membuka aplikasi WhatsApp di telefonnya dan segera dia menaip satu mesej. Setelah mesej dihantar, dia melabuhkan pandangannya pada televisyen yang tergantung. Hendak berbual dengan Auni Atiqah, dia tidak selesa pula kerana wujudnya Jihad dan Imtiyaz. Jadi kaca televisyen sahajalah tempat selamat untuk dia pandang walaupun rancangan di televisyen tidaklah menarik minatnya tetapi sekurang-kurangnya dia boleh mengelak daripada memandang pemuda di hadapannya terutamanya Imtiyaz. Sungguh dia tidak berkenan dengan cara Imtiyaz memandang orang. Tak pernah tengok perempuan ke sebelum ni? Baru keluar dari gua mana ni?

            Auni Atiqah membuka aplikasi WhatsApp apabila dia mendapat notifikasi ada mesej masuk di aplikasi tersebut.

Jee: Makanan sampai aje nanti kita makan cepat-cepat lepas tu terus balik tau.

            Auni Atiqah baca ayat penyata yang dia terima dari Najla Naqiyah. Dia hanya membalas dengan simbol ‘Okey’ dan setelah itu dia turut menonton televisyen. Suasana di meja mereka tidak seperti di meja orang lain yang agak riuh-rendah. Seperti Najla Naqiyah, Auni Atiqah turut tidak selesa dengan pandangan mata Imtiyaz. Sedari tadi pemuda itu bersilih-ganti memandang dirinya dan Najla Naqiyah seperti sedang membuat analisa pula. Seram sejuk dia rasa. Macam tak percaya yang Imtiyaz ni sepupu Jihad pun ada. Jihad dia lihat tidaklah liar memandang sebegitu.

            “Saya tak tahu pun selama ni kita berjiran maklumlah boleh dikira berapa jam aje saya ada kat rumah. Masa lain biasanya memang ada di klinik. Dah lama duduk kat apartment sebelah tu?” soal Jihad. Pandangan mata dia halakan pada Auni Atiqah ketika dia menyuarakan soalan tersebut walaupun Najla Naqiyah yang duduk bertentangan dengannya. Niat asalnya adalah untuk menyiasat siapakah gerangan gadis misteri yang selama ini menjadi tanda tanya.

            “Taklah doktor, saya tak duduk situ pun. Saya cuma temankan Jee sampai pagi Sabtu ni aje,” jawab Auni Atiqah.

            Serentak dengan jawapan yang diberikan oleh Auni Atiqah itu pandangan mata Jihad jatuh pada Najla Naqiyah. Jadinya gadis misteri tu Najla lah kan? Sebab memang dia yang duduk rumah tu. Jihad bermonolog sendiri. Dia tersenyum nipis.

            “Cik Berry, kan tadi dah pesan sekarang awak bukan pesakit saya jadi panggil saya Jihad je,” Jihad bersuara lagi.

            Imtiyaz sedari tadi selesa menjadi pemerhati. Pemerhati yang berjaya membuat orang lain tidak selesa dengan kehadirannya. Najla Naqiyah sudah memandang Auni Atiqah untuk melihat reaksi sahabatnya itu. Auni Atiqah menjulingkan matanya ke atas.

            “Yelah, Jihad Je…” balas Auni Atiqah. Di dalam hati dia berdoa agar makanan yang dipesan akan segera dihantar oleh pelayan. Kalau macam ni hari-hari boleh kurus keding aku, orang tengah lapar boleh jadi terbantut selera makan. Err Auni, kau sebenarnya masih bad mood sebab kau sarung baju yang sama masa kau berlanggar dengan Jihad kan? Hahaha!




…insya Allah akan bersambung…


Kepada semua yang sudi baca,

Sad to say that this is the last chapter that I uploaded to this cik belog… sob sob sob... terima kasih kerana sudi baca cerita Najla Naqiyah & Arif Fitri ni… semoga cerita ini memberi kepuasan kepada anda yang suka membaca dan semoga ada pengajaran yang boleh anda kutip dalam setiap bab yang saya taip… tahukah anda bahawa Bab 17 ni dalam softcopy saya sudah mencecah 143 muka surat? Mestilah anda baru tahu sebab saya sendiri baru beritahu kan? Hehehe~ Jadi, kalau tak puas lagi baca kisah mereka, doa-doakanlah saya berjaya menyiapkan manuskrip penuh cerita ini dan insya Allah ada rezeki anda dapat bacanya dalam versi cetak… aamiin…

ps: Bab 17 berakhir pada muka surat ke 143… what a coincidence! 143… Yup, I LOVE YOU readers… without a doubt ;)

.:|[ Suha Fasihah ]|:.

4 comments:

  1. Best baca kisah Najla & kawan-kawannya. Tahniah Suha sebab masukkan byk info yang bagus dan berbentuk islamik.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Thanks so much kak Sha sudi ikuti kisah ni... Insya Allah org akan cuba buat yang terbaik untuk manuskrip penuh cerita ni...

      Delete
  2. Novel ni dh bercetak ke? Nak tahu kesudahan crita ni.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hai sis merna azim,

      Terima kasih kerana berminat dengan cerita ni.. Maaf, novel ni belum ada dalam versi cetak lagi.. doakan saya ya.. semoga dipermudahkan.. aamiin.. kalau ada rezeki bolehlah kita sama2 peluk versi cetak :)

      Delete

manis bicara indah tutur kata...
selamat meninggalkan jejak kasih anda...