Social Icons

Wednesday, July 23, 2014

eNovel | Saya Isteri Baru Belajar .:|[ BAB 1 ]|:.



“AKU terima nikahnya Naj.. Najla…” kedengaran suara lelaki itu seperti tersekat-sekat. Oh, bukan seperti lagi, memang tersekat-sekat. Dia menelan liur. Acapkali dia berlatih sebelum ini namun dia tidak dapat mengawal debaran di dada saat tangannya mengenggam erat tangan tok kadi sebentar tadi. Ataupun, sebenarnya digenggam erat oleh tangan tok kadi? Tetamu yang hadir sudah tersenyum simpul. Ada juga yang tanpa segan silu melepaskan tawa kecil. Menambah debaran si pengantin lelaki. Upacara akad nikah yang diadakan pada sebelah malam di rumah pengantin perempuan ini hanya dihadiri oleh keluarga terdekat sebelah perempuan dan lelaki serta jiran terdekat pengantin perempuan. Esok hari akan diadakan kenduri di sebelah pengantin perempuan.


Najla Naqiyah memandang sekilas ke arah lelaki yang bakal menjadi suaminya bila-bila masa dari sekarang, dengan syarat si dia berjaya melafazkan akad. Dia turut berdebar namun akal nakalnya sempat terfikir untuk menjadikan peristiwa tersebut sebagai bahan usikan sepanjang hayat kepada bakal suaminya nanti. Hehehe. Sepanjang hayat? Insya Allah. Najla Naqiyah kembali fokus dan…


“Sah!”


“Sah!” kedengaran kedua-dua orang saksi mengesahkan akad yang telah dilafazkan. Serta-merta air mata Najla Naqiyah bergenang-genang di pelupuk mata. Dia kini sudah menjadi seorang isteri. Pengapitnya yang merupakan sahabat baiknya, Auni Atiqah memainkan peranan dengan memberi tisu kepada Najla Naqiyah untuk dia mengelap air mata sebelum air mata tersebut sempat menjamah pipinya. Najla Naqiyah tidak melepaskan peluang untuk memeluk ibunya yang sentiasa di sisinya.