“KAU dapat
interview kerja ke Nada? Bila?
Bertuahnya kau baru habis exam orang
dah panggil untuk interview. Bila kau
apply kerja tu sebenarnya?” tanya
Mufidah kepada rakan satu rumah sewanya sewaktu dia sedang mengemaskan
barang-barangnya di ruang tamu rumah sewa mereka.
“Alhamdulillah. Tapi bukan panggil interview Fida. Aku kena jawab online assessment dulu, kalau lulus online assessment tu baru company tu panggil untuk interview pula. Aku apply masa tengah final exam
dulu. Aku saja je emel resume and cover
letter dekat company tu tapi tak high hopelah sebab final result untuk sem ni belum tahu lagikan. Tapi Alhamdulillah company tu bagi peluang untuk aku jawab online assessment dia dulu.” Jawab
Qatrunnada kepada persoalan teman serumahnya itu.
Mereka
sudah setahun menyewa di rumah teres tersebut. Walaupun belajar berlainan
bidang, mereka masih mampu untuk bergaul dengan baik. Pada asalnya rumah teres
tersebut disewa oleh tujuh orang pelajar termasuk Qatrunnada dan Mufidah tetapi
lima orang penyewa yang lain sudah selamat pulang ke kampung halaman
masing-masing sebaik sahaja peperiksaan akhir semester tamat. Secara kebetulan,
mereka semua adalah pelajar tahun akhir maka sebaik sahaja rakan-rakan yang
lain pulang ke kampung, kosong sahaja terasa rumah sewa ini dek kerana yang
tinggal hanyalah barang-barang tuan rumah dan barang-barang Qatrunnada serta
Mufidah sahaja.
“Bila
online assessmentnya? Macam mana kau
nak jawab?” tanya Mufidah prihatin. Dia sedia maklum yang kebanyakan dari
penghuni di rumah sewa ini banyak menghabiskan masa di universiti maka sebarang
kerja yang memerlukan internet akan dilakukan di universiti kerana kemudahan internet
percuma yang ada di seluruh universiti.
“Itulah
yang aku tengah risau sekarang ni. Silap aku juga sebab lambat semak emel. Aku
baru check petang tadi betul-betul
sebelum Maghrib. Online assessment tu malam esok. Dari 8.30
sampai 11.30 malam. Kalau aku nak pergi buat dekat cyber café, aku pun tak pasti CC biasanya tutup pukul berapa.
Lagipun bahayalah pukul 11.30 malam nak berjalan balik rumah. Sayangnya Anis
dah balik rumah dia, kalau tak bolehlah aku pinjam broadband Anis je.” Qatrunnada sudah runsing memikirkan bagaimana
harus dia menjawab ujian dalam talian nanti.
“Itulah
kau, once dah mula apply kerja, kena sentiasa check emel. Kalau kau check sebelum office hour company tu habis tadi
bolehlah kau call mereka minta ubah
masa jawab online assessment tu tapi
sekarang ni dah terlambatlah. Kalau nak call
pagi esok memang mustahillah sebab esok hari Sabtu orang cuti.” Kata
Mufidah. Tangannya ligat memasukkan barang-barangnya ke dalam beg sementelah
pagi esok kakak serta abang iparnya akan datang menjemputnya pulang.
“Itulah
Fida. Salah aku juga lambat check
emel. Kau rasa aku nak buat macam mana ek? Buat tak tahu aje ke pasal online assessment tu? Tapi macam rugi
pula.” Qatrunnada bertanya pendapat Mufidah. Dia sudah tidak senang duduk memikirkan
nasib dirinya. Walaupun belum pasti akan diambil bekerja oleh syarikat
tersebut, dia seharusnya mencuba sedaya upaya untuk melakukan yang terbaik bagi
ujian dalam talian itu nanti.
“Ish,
ada pula nak buat tak tahu! Bukan macam rugi lagi dah cik kak oi, memang rugi
pun kalau kau buat tak tahu aje. Dah ada peluang, cubalah dulu. Aku rasa, apa
kata kau guna WiFi rumah sebelah?”
Mufidah memberi cadangan kepada Qatrunnada. Dia sudah mengangkat-angkat
keningnya sewaktu pandangan mata dilabuhkan kepada sahabatnya itu.
“Kak
Risya aku dah buat muka tak malu lepas Maghrib tadi pergi tanya. Dia cakap dia
memang takde WiFi.” kata Qatrunnada. Kak
Risya ataupun nama sebenarnya Batrisyia, merupakan jiran sebelah kanan rumah
mereka. Batrisyia merupakan seorang suri rumah sepenuh masa yang berusia pertengahan
tiga puluhan. Hubungan mereka agak baik dengan Batrisyia kerana Batrisyia
merupakan seorang yang peramah dan rajin menegur pelajar-pelajar perempuan yang
menyewa di sebelah rumahnya.
“Bukan
Kak Risya, jiran satu lagi.” Kali ini Mufidah sudah tersengih-sengih. Fahamlah
Qatrunnada bahawa Mufidah memaksudkan jiran sebelah kiri mereka iaitu beberapa orang
anak teruna yang sudah bekerja dan menyewa di sebelah rumah sewa mereka ini. Maklumat
yang mereka tahu tentang jiran sebelah kiri mereka ini hanyalah rumah sewa yang
dihuni oleh lima orang pemuda yang sudah bekerja tetapi mereka hanya menyenali
tiga orang sahaja. Itu pun mereka kenal kerana berjumpa semasa Batrisyia
mengadakan rumah terbuka semasa Hari Raya Aidilfitri. Dan juga semasa mereka
terpaksa meminta pertolongan cemas jiran sebelah kiri mereka ini untuk
menggantikan dua biji lampu kalimantang yang terbakar serentak semasa mereka
semua sedang berjuang dengan mid sem.
Dua dari jiran tersebut rajin juga bertegur sapa apabila terserempak.
“Ha?
Jiran satu lagi? Aduhai, lemah lutut kalau nak kena guna WiFi diorang. Celah mana aku nak ada password diorang.” Qatrunnada bersuara.
“Lah,
kau kan belajar bidang IT. Bukan ke sekarang ni berlambak tools boleh guna untuk hack WiFi
orang?” kata Mufidah.
“Helo,
Cik Fida! Kau ingat bila belajar bidang IT tu semua bendalah aku boleh tahu?
Okey, memang betul sekarang berlambak tools
yang boleh guna untuk hack WiFi
orang tapi kita ada akal dan iman untuk berfikir dan bezakan mana yang baik dan
buruk. Katakanlah aku hack WiFi
diorang then guna masa aku nak jawab online assessment malam esok, then ditakdirkan Allah aku pass pula online assessment tu dan dipanggil interview. Lepas tu aku pass
interview dan diterima bekerja kat syarikat tu. Aku kerja nak cari rezeki
yang halal tapi permulaan aku tadi dah tak betul, aku dah guna WiFi orang tanpa kebenaran. Nampak tak?”
panjang Qatrunnada berhujah. Mufidah sudah mengangguk-anggukkan kepalanya
memahami situasi yang dimaksudkan oleh Qatrunnada.
“Allah
ada sebut dalam Surah Al-Baqarah ayat 188 yang bermaksud; Dan janganlah kamu makan (atau
mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan
jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim
kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan
(berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya). Ayat tu mengenai
larangan memberi dan menerima rasuah tapi ustaz dalam Al-Kuliyyah yang aku
tengok dulu cakap perkataan batil yang disebut dalam ayat tu samalah macam
situasi kita guna WiFi orang tanpa permission ni. Kita dah ambil hak orang
lain secara batil.” Qatrunnada menyambung hujahannya. Mufidah sudah khusyuk
mendengar kerana baru hari ini dia tahu akan kewujudan larangan seperti itu.
“Betul
juga apa yang kau cakap tu. Kalau macam tu, kau ada satu cara aje lagi. Kau
pergi jumpa diorang dan minta permission
nak guna WiFi diorang untuk tiga jam
aje.” Sekali lagi Mufidah memberikan cadangan kepada Qatrunnada. Qatrunnada
sudah memandangnya sambil membuat muka meraih simpati. Mufidah hanya mampu
untuk tersengih sambil menggelengkan kepalanya.
*
* * * * * * * * * * * *
SUDAH
lama Qatrunnada bertapa di pintu rumah sewanya itu. Sejak jam 7.30 pagi lagi
dia sudah terjenguk-jenguk ke arah rumah sebelah kirinya jika penyewa rumah
sebelah ada keluar dari rumah. Untuk mengetuk sendiri pintu rumah sebelah dia
rasakan kurang manis pula. Mufidah yang pada awalnya berniat murni ingin
menemaninya untuk mendapatkan keizinan bagi menggunakan WiFi rumah sebelah sudah selamat dijemput pulang oleh kakak dan
abang iparnya sebentar tadi. Mufidah pulang tidak lama. Dia hanya membawa
pulang barangan bersaiz besar yang boleh dimuatkan ke dalam kereta abang
iparnya sahaja memandangkan saiz kereta tidaklah besar mana. Dia akan kembali
untuk mengambil saki-baki barangannya yang boleh dia bawa sendiri menaiki bas
beberapa hari lagi.
Qatrunnada
mengerling jarum jam yang sudah menunjukkan angka 10.00 pagi. Dia kembali
menjenguk ke arah rumah sebelah. Seorang pemuda baru sahaja keluar dari rumah
dan menghampiri keretanya. Qatrunnada yang menyedari akan hal tersebut segera
keluar dari rumah sewanya. Dia tidak risaukan auratnya kerana dia sememangnya
memakai pakaian yang menutup aurat dan tudungnya juga sudah sedia tersarung di
kepala sejak dia melancarkan misi menunggu kemunculan jiran sebelah rumah lagi.
Dia hanya mengenali tiga dari lima orang penyewa rumah sebelah dan mujurlah
pemuda yang baru keluar dari rumah sebentar tadi adalah pemuda yang dia kenali.
Dia berjalan menghampiri pagar yang memisahkan rumah sewanya ini dengan rumah
sewa jiran sebelah.
“Assalaamu`alaikum.”
Qatrunnada memulakan sapaannya. Pemuda yang baru sahaja membuka pintu kereta
tempat pemandu itu menutup semula pintu kereta. Segera pemuda tersebut berjalan
menghampiri pagar bersama senyuman lebar.
“Wa`alaikumussalam,
Nada. Ada problem ke? Nak minta
tolong tukarkan lampu? Abang Fir boleh tolong.” Firhan yang suka membahasakan
dirinya dengan nama Abang Fir menjawab salam dari Qatrunnada sambil terus
memberi tawaran pertolongan.
Huwaaa!!
Dia ni tengah perli aku ke apa? Mentang-mentanglah kitorang pernah minta tolong
tukarkan lampu dulu. Bersangka baik okey, Nada! Dia memang ikhlas nak tolong
kalau ada masalah.