USAI
mendirikan fardhu Isyak berjemaah bersama dengan dua orang rakan serumahnya,
Najwan kembali ke biliknya. Setelah meletakkan songkok di tepi meja kecil, dia
merebahkan diri di atas katil bujang bilik yang disewanya ini. Mata dipejamkan
namun tidak lama dek kerana bunyi telefon pintarnya yang berbunyi minta
diangkat. Dari lagu yang sudah ditetapkan khas itu dia sudah tahu siapa
gerangan yang membuat panggilan telefon tersebut tanpa perlu melihat nama yang
tertera di skrin telefon. Panggilan telefon dia jawab.
“Assalaamu`alaikum mak. Kenapa
tiba-tiba call?” tanya Najwan.
Alamak! Tersilap tanya soalan pula. Habislah kalau mak merajuk! Sebenarnya
tidaklah pelik untuk ibunya ini membuat panggilan terlebih dahulu cumanya dia
baru sahaja pulang ke kampung jadinya dia tidak menyangka yang si ibu akan
membuat panggilan secepat ini.
“Wa`alaikumussalam Wan. Bertuah punya
budak! Sepatutnya Wan kena rasa bertuah mak call
Wan, ini tanya soalan macam tu pula. Yalah kalau tak suka mak call lain kali mak tak call
dah.” Jawab Puan Mazni dengan nada rajuk. Najwan sudah tersengih dan
menggelengkan kepalanya.
“Mana adalah mak. Wan tanya aje.
Mestilah Wan suka mak sudi call wan.
Memang Wan bertuah sangat-sangat dapat ibu macam mak ni. Sudahlah cantik,
sempoi pula tu. Bertuah siapa yang dapat jadi menantu mak nanti, dapat mak
mertua yang tak cerewet macam mak.” Ujar Najwan segera dengan ayat mengambil
hati ibunya. Tetapi memang dia akui bahawa ibunya itu sentiasa cantik di
matanya. Apa orang putih cakap? A father
is a daughter’s first boyfriend kiranya situasi aku dengan mak aku ni, a mother is a son’s first girlfriend. Haha.
Puan Mazni di hujung talian sudah
tersenyum-senyum dengan pujian si anak. Terlupa seketika dengan tujuan sebenar
dia membuat panggilan kepada anaknya ini.
“Sudah, jangan dok puji-puji mak lagi. Saja nak ambil hati maklah tu. Bercakap
pasal menantu ni, mak memang tak cerewet pun. Ni ha mak nak cakap mak dah ada calon
menantu untuk mak ni.” Akhirnya Puan Mazni menyuarakan hajat asalnya. Najwan
yang mendengar sudah berkerut dahi.
“Fiza nak kahwin dah ke mak? Siapa
calon menantu mak tu? Orang mana? Wan kenal tak? Kenapa tak beritahu awal-awal
masa Wan ada kat sana? Senang kita nak berbincang.” Najwan menghujani si ibu
dengan bermacam-macam soalan. Hafizah adalah satu-satunya adik yang Najwan ada.
Walaupun jarak umur mereka jauh, Najwan begitu mengambil berat akan adiknya itu
dan selalunya Hafizah akan merungut kerana abangnya ini akan bersikap terlebih
melindungi.
“Merepek apa Fiza nak kahwin pula
ni? Dia tu mak nak suruh habis belajar dulu baru boleh nikah.” Puan Mazni
menyangkal pertanyaan anak lelakinya itu.
“Mak ni buat gempak aje. Wan
ingatkan Fiza nak kahwin dah tadi. Habis tu calon menantu untuk anak mak yang
mana?” tanya Najwan tanpa berfikir dan tanpa mengesyaki apa-apa.
“Astaghfirullahalazim, budak Najwan
ni. Mak ada dua orang anak je tahu! Dah kalau bukan untuk Fiza dah tentulah
untuk Wan. Kalau tak untuk siapa lagi?” Puan Mazni bersuara di corong telefon.
“Kenapa pula untuk Wan? Wan belum
nak kahwin lagilah mak. Kan Wan cakap Wan nak tengok Fiza kahwin dulu baru Wan
akan kahwin.” Najwan segera menolak mentah-mentah niat ibunya itu untuk
menjodohkannya dengan calon menantu pilihan ibunya sendiri. Namun, apa yang si
ibu tidak tahu adalah pintu hatinya kini sudah diketuk oleh orang lain. Aduhai,
kenapa sekarang? Kenapa mak tak tanya dulu aku ada calon sendiri ke tidak?
Selama ni mak sentiasa tanya aku ada calon sendiri ke belum.
“Tak payah nak tunggu Fiza nikah
dulu. Wan tu abang, Wanlah nikah dulu. Sampai bila Wan nak elakkan dari
bercakap soal ni dengan mak? Nak tunggu mak tutup mata dulu ke baru Wan nak
dirikan rumahtangga?” Puan Mazni sudah membuat suara syahdu pada ayat terakhir
yang diungkapkannya.
Najwan sudah menggaru-garu kasar
kepalanya yang tidak gatal. Serabut! Sekelip mata sahaja dia dapat rasa
dunianya yang aman bakal porak-peranda. Tapi bagaimana harus dia katakan kepada
ibunya yang kini hatinya sudah dicuri? Dia perlukan masa untuk memastikan
apakah benar perasaannya ini. Namun apa yang lebih penting, dia perlukan masa untuk
memastikan si dia yang berjaya mencuri hatinya mempunyai rasa yang sama.
Tapi
macam mana? Mak dah ada calon mak sendiri. Mampu ke aku nak tolak? Mampu ke aku
nak kecewakan mak? Najwan menarik nafas dalam-dalam dan dia hembus nafas. Mengumpul
kekuatan untuk mengeluarkan kata-kata.
“Okey, tapi Wan ada syarat.” Ujar Najwan.
Puan Mazni yang berada di hujung talian sudah melebar dengan senyuman.
“Syarat apa?” tanya Puan Mazni
dengan suara yang teruja.
“Wan nak jumpa dulu calon mak tu.
Wan nak berkenalan dulu dengan dia. Lepas tu baru Wan akan buat keputusan untuk
teruskan dengan perkahwinan ataupun tidak.” Najwan menyatakan syaratnya. Puan
Mazni berpuas hati kerana sekurang-kurangnya anak lelakinya ini sudi untuk
mengenali calon menantu yang sudah berjaya menambat hati tuanya ini.
“Okey, nanti mak beritahu belah
perempuan. Jumaat ni Fiza nak ke rumah Mak Long, nanti bila Wan nak jumpa calon
menantu mak tu, Wan bawa Fiza sekali ya. Tempat nak jumpa ke apa buat janji
melalui Fiza. Fiza ada nombor telefon adik calon menantu mak tu.” Ujar Puan
Mazni. Najwan menarik nafas dan menghembuskannya dengan berat sekali.
“Okey.” Hanya itu jawapan dari
Najwan. Suaranya kedengaran tidak ceria.
“Terima kasih Wan.” Kata Puan Mazni.
Najwan hanya tersenyum segaris. Senyuman yang tidak mampu ibunya lihat melalui
panggilan telefon itu.
“Jangan berterima kasih lagi mak.
Wan belum buat keputusan untuk kahwin dengan calon mak tu. Wan baru aje setuju
nak berkenalan dengan dia.” Ujar Najwan. Tidak mahu si ibu terlalu mengharap.
“Takpe, itu pun mak dah bersyukur
dah.” Puan Mazni bersuara. Ikhlas.
Sekali lagi Najwan hanya mampu untuk
tersenyum segaris. Sekurang-kurangnya dia dapat melengah-lengahkan masa dan
dalam masa yang ada ini dia boleh gunakan masa yang dilengahkan ini untuk
mencari si dia yang berjaya mencuit hati. Soalnya sekarang, aku nak cari dia dekat
mana?
PINTU
dikuak kasar dari luar. Najwan yang leka memetik gitar membelakangi pintu tidak
perasan yang pintu biliknya dikuak dari luar. Dia meneruskan nyanyian sambil
jari-jemari terus bermain dengan kod lagu.
Tuhan
jagakan dia
Dia
kekasihku ‘kan tetap milikku
Aku
sungguh mencintai
Sungguh
menyayangi setulus hatiku
“Bro,
tak lawak okey. Sudah-sudahlah tu nyanyi lagu ni. Aku dah tak rasa apa-apa dah.”
Firhan sudah bersuara lantang. Lagu itu lagu yang pernah dia nyanyikan dahulu
semasa sedang menyimpan hati kepada jiran sebelah rumah sewa mereka ini. Jiran yang
menjadi rebutan antara dirinya dan Wijdan. Sudahnya kedua-dua mereka melepas
apabila mereka mendapat kad jemputan ke majlis resepsi jiran yang diminati itu.
Najwan yang terdengar suara Firhan segera menoleh ke arah pintu bilik. Kelihatan
Wijdan dan Firhan sudah terpacak berdiri segak bersedia untuk keluar.
“Bila masa aku buat lawak? Haha. Aku
menyanyi je lagu tu. Kalau kau dah tak
rasa apa-apa sepatutnya kau tak rasa apa-apa dan senyap. Ke kau masih rasa apa-apa
dan sentap? Haha.” Seronok Najwan mentertawakan rakan rumah sewanya. Lenyap seketika
permasalahan calon menantu ibunya.
“Haha. Betul tu Wan. Tengok aku ni,
rileks je.” Wijdan bersuara bangga. Rilekslah sebab bukan aku yang dok nyanyi lagu
tu. Hahaha. Ketawa kejam Wijdan di dalam hati.
“Apa-apalah. Aku malas nak gaduh,
tenaga tak cukup. Jomlah pergi makan, lapar gila ni! Nak sambung gaduh tunggu
lepas makan nanti.” kata Firhan. Pelik mereka dengan Najwan yang masih belum
menukar kain pelikat yang dipakainya sedangkan sebelum solat Isyak berjemaah
tadi mereka sudah membuat keputusan untuk keluar makan malam bersama-sama.
“Kau orang berdua pergilah. Aku
takde selera pula.” Balas Najwan ringkas. Sebenarnya dia lapar tetapi selepas
mendengar perkhabaran dari si ibu, hilang sudah laparnya.
“Betul ni? Tak menyesal? Nak kirim
apa-apa tak?” tanya Wijdan. Masih tak percaya yang Najwan tidak mahu ikut
serta. Setahu dia, Najwan adalah salah seorang spesies yang kuat makan tetapi
badan susah nak naik. Orang kata, orang yang macam tu kadar metabolisma dia
tinggi. Entahlah. Aku tak pandai Biologi jadinya aku tak tahu. Haha.
“Betul. Kau orang pergilah. Elok-elok
tu makan berdua. Jangan bergaduh.” Kata Najwan. Sengaja membuat provokasi.
“Woi, kitorang dah lama berdamai dan
hidup aman damailah!” Firhan cepat-cepat bersuara. Teringat akan termeterainya Perjanjian
WiFi di mana Wijdan dan Firhan kedua-duanya berjanji untuk tidak lagi menyukai
gadis yang sama pada masa akan datang. Sengajalah tu Najwan ni nak ingatkan
pasal kisah kasih tak kesampaian tu!
“Haha. Okey.. Okey.. Dah, pergilah
cepat tadi kata lapar gila.”
“Kitorang gerak dulu. Kalau tiba-tiba
kau rasa nak kitorang belikan makanan roger-roger
je.” Kata Wijdan pula.
Wijdan dan Firhan meninggalkan bilik
Najwan. Mereka meneruskan niat asal untuk mengisi perut yang lapar. Najwan
masih lagi termenung seorang diri sambil memegang gitar. Kalau dulu, dia memang
sengaja menyanyikan lagu Tuhan Jagakan Dia dendangan Motif band itu untuk ‘bikin panas’ Wijdan dan Firhan tetapi hari ini dia
benar-benar menyanyi lagu tersebut tanpa niat untuk ‘bikin panas’. Takkanlah nak
nyanyi Jaga Dia Untukku yang Dato’ Siti Nurhaliza nyanyi tu. Tak sesuai. Boleh nak
menyanyi juga lagu tu tapi kalau nak kena gelak golek-golek dengan si Wijdan
dan Firhan tu nyanyilah lagu tu!
Dia tidak tahu di mana si dia yang
berjaya mencuit hatinya itu berada. Tetapi dia berharap walau dimanapun si dia itu
berada, Tuhan akan tolong jagakan si dia untuk dirinya. Walaupun si dia bukan
kekasihnya. Itu doa dan harapan Najwan.
*---*---*---*---*---*---*
Assalaamu`alaikum...
Oopss, I did it again... seriously... 'ter'taip... jalan cerita memang dah ada dalam kepala tapi memang tak plan akan taip cerita ni dalam masa terdekat... plan asal nak fokus kat Saya Isteri Baru Belajar... Oh man, what I've done? *macam lagu Linkin Park pulak*
ini bukan tajuk sebenar cerita ni...
cerpen atau enovel? tungguuuu~
tajuk sebenar? cover tak start buat pun lagi. so, tungguuuu~
cerita tipikal kahwin paksa? tungguuuu~
insya Allah semuanya nanti akan terjawab...
terima kasih buat yang sudi baca...
semoga tidak mengecewakan hendaknya...
Xsaba nk tugu smbng nye
ReplyDeleteHai lebah comel :)
DeleteTerima kasih sudi baca dan komen... Mohon tunggu dgn sabar... Sbb tak pasti bila dapat siapkan... Hehe
I'll try my best OK ;)